Perselisihan faham, persengketaan kecil, malah konflik ringan ibarat perkara lazim berlaku lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru sahaja mendirikan rumah tangga.

Bak kata pepatah, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula pasangan suami isteri.

Begitu pun, lain pula bagi pasangan suami isteri yang tidak sanggup lagi menahan derita hidup di bawah sebumbung sama atas pelbagai faktor.

Lebih malang, ada yang berlarutan sehingga terjadinya kes jenayah rumah tangga seperti pukul, dera dan sebagainya. Lantaran itu, langkah terakhir yang boleh diambil ialah penceraian.

Menurut Pendakwah Bebas, Ustaz Muhamad Aizuddin Kamarul Zaman, penceraian bukanlah suatu masalah dalam masyarakat, sebaliknya sebagai sebuah jalan penyelesaian yang agama Islam telah berikan.

Walaupun perkara tersebut bukanlah perkara yang disukai kebanyakan masyarakat tetapi ia wajar dilaksanakan bagi melindungi sebelah pihak daripada terus dizalimi atau ditindas.

Solat jemaah

“Meskipun begitu, orang ramai tidak seharusnya melihat perkahwinan dan penceraian ini sebagai suatu perkara yang boleh diambil mudah.

“Bagi memastikan hubungan suami isteri itu terpelihara, umat Islam perlu melihat perkahwinan itu sebagai suatu ibadah.

“Apabila orang ramai melihat perkahwinan itu sebagai ibadah, secara automatik akan datang rasa tanggungjawab untuk melaksanakan tuntutan dan menjaga hak masing-masing,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Kata Ustaz Muhamad Aizuddin, hak yang perlu dilaksanakan oleh isteri ialah memberi ketaatan kepada suami.

Sekiranya gagal berbuat demikian, isteri dikhuatiri jatuh nusyuz. Kebanyakan masyarakat bersangka nusyuz itu hanya untuk golongan wanita sahaja, namun hakikatnya, ia juga boleh berlaku kepada para suami.

Nusyuz seorang suami ialah apabila mengabai atau tidak memberikan kasih sayang terhadap isteri.

Tambah Ustaz Muhamad Aizuddin, selain perlu menjalankan tangungjawab sebagai suami isteri, perkara yang perlu dititikberatkan ialah dari sudut ibadah.

Katanya, ibadah bersama seisi keluarga wajar diamalkan, misalnya solat secara berjemaah kerana ia merupakan peluang terbaik untuk meluangkan masa yang berkualiti.

Seorang suami bukan sahaja perlu memberikan nafkah secara zahir, malah batin.Maksud nafkah batin bukanlah keperluan seksual semata-mata tetapi nafkah dari sudut emosi.

Selain perlu menyayangi isteri, seorang suami perlu menenang dan menggembirakan isteri sepanjang masa.

Pada hemat Ustaz Muhamad Aizuddin, kunci kepada keutuhan rumah tangga ialah kebahagiaan isteri.

Kaunseling

Statistik Jabatan Kehakiman Selangor mendedahkan kadar kes perceraian pasangan beragama Islam di Selangor kekal yang tertinggi di negara ini apabila mencecah 12,204 kes pada tahun lalu.

Secara purata, sebanyak 33 kes perceraian berlaku setiap hari atau kira-kira 1.4 kes bagi setiap jam sepanjang tahun lepas.

Sementara itu, menurut Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), pendaftaran kes perceraian tertinggi di negara ini terus diikuti oleh Johor dengan jumlah sebanyak 4,588 kes, Kelantan (3,652) dan Kedah (3,474).

Di Terengganu, sebanyak 3,154 kes dilaporkan diikuti Perak sebanyak 2,742 kes, Pulau Pinang (2,276) dan Melaka (1,278).

Berdasarkan statistik Jakim, pendaftaran kes perceraian di Kuala Lumpur menunjukkan trend peningkatan daripada 1,550 kes pada tahun 2016 kepada 2,107 pada tahun 2017. Dalam pada itu, Sabah dan Sarawak ma­sing-masing mencatat 1,835 dan 1,169 kes.

Negeri Perlis pula mencatat kes perceraian terendah sebanyak 800 kes.

Bagi pakar sosiologi Universiti Selangor, Prof. Dr. Mohd. Zaidi Hajazi, kadar penceraian banyak berlaku di Selangor disebabkan negeri maju itu menuntut pasangan suami isteri mengharungi pelbagai pengorbanan sejak awal perkahwinan lagi khususnya dari segi kewangan.

“Pasangan suami isteri yang menetap di Selangor perlu berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi selain kesibukan masa dan gaya hidup serba padat.

“Selain itu, faktor toleransi yang sangat rendah sesama pasangan turut menyumbang kepada jumlah penceraian di negeri tersebut.

“Justeru, pasangan pengantin yang baru sahaja mendirikan rumah tangga seharusnya perlu lebih bertolak ansur, sabar dan menghormati antara satu sama lain,” jelasnya.

Tempoh waktu paling kritikal bagi pasangan yang baru sahaja mendirikan rumah tangga ialah tiga tahun pertama perkahwinan.

Hal ini kerana pada tempoh itu pasangan baru sahaja mengenali sesama sendiri dan perlu menyesuaikan diri antara pasangan.

Katanya lagi, bagi mengurangkan masalah penceraian itu di Selangor, pihak yang bertanggungjawab seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu memperkenalkan sesi kaunseling keluarga yang holistik untuk pasangan suami isteri.

“Sesi kaunseling untuk pasangan suami isteri di JAIS bukan sahaja perlu menekankan soal hukum tetapi perlu juga memberi penekanan terhadap unsur kemahiran sosial.

“Selain itu, jumlah pakar dalam bidang kaunseling rumah tangga, pakar terapi hubungan, malah perunding penceraian dalam negara juga perlu ditingkatkan.

“Ia bagi memudahkan pasangan suami isteri mendapatkan rundingan, sekali gus menyelamatkan hubungan rumah tangga,” tegasnya.