Hal ini kerana ia merupakan antara cuti persekolahan terpanjang dalam kalendar tahunan negara.

Disebabkan itu, kebanyakan ibu bapa akan menggunakan cuti panjang tersebut untuk merencanakan pelbagai aktiviti bersama seisi keluarga.

Antara aktiviti yang kerap dilakukan sempena cuti sekolah ialah melancong sama ada dalam mahupun luar negara dan berkunjung ke destinasi tertentu sekitar ibu kota.

Tidak kurang juga ada sebilangan ibu bapa yang beragama Islam menggunakan cuti itu untuk mengkhatankan anak-anak mereka.

Bagi masyarakat beragama Kristian, sambutan Hari Natal pula dilihat sedang menanti untuk dirai.

Bagaimanapun, kemeriahan cuti persekolahan akhir tahun yang disambut oleh kebanyakan kanak-kanak dan remaja kini dilihat sedikit sebanyak semakin hambar.

Hal ini kerana rata-rata golongan belia kini lebih memilih untuk menjalani aktiviti pasif yang tidak banyak menggunakan fizikal tubuh seperti bermain permainan digital, menonton televisyen selain melayari internet menerusi komputer serta telefon pintar.

Pada hemat Jurulatih Kecergasan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia, Muhamad Khaidir Ismail, aktiviti fizikal dalam kalangan kanak-kanak dan remaja sekarang semakin menurun disebabkan peralihan zaman.

Katanya, golongan belia kini lebih memilih untuk menjalani aktiviti berasaskan teknologi berbanding fizikal.

“Berdasarkan kajian American College of Sport Medicine (ACSM), cuma 27 peratus remaja yang melakukan aktiviti senaman selama 60 minit sehari di Amerika Syarikat.

“Galakan untuk kanak-kanak dan remaja melakukan aktiviti fizikal perlu dilakukan agar masalah seperti obesiti dalam kalangan peringkat umur ini dapat dibendung.

“Justeru, ACSM memberi saranan kepada kanak-kanak dan remaja supaya melakukan aktiviti fizikal selama 60 minit sehari,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Muhamad Khaidir turut menyenaraikan kriteria aktiviti fizikal yang boleh dilakukan oleh golongan tersebut seperti menyeronokkan, memiliki daya saingan, menggunakan banyak pergerakan fizikal selain menguji daya pemikiran.

Berikut merupakan aktiviti fizikal yang boleh dilakukan antaranya berbasikal, berenang, bermain bola sepak, menari dan berlari.

Didik hibur

Jelas Muhamad Khaidir permainan atau aktiviti yang disertai kanak-kanak itu berbeza daripada aktiviti golongan dewasa.

Hal ini kerana kongsi Muhamad Khaidir, golongan kanak-kanak atau remaja lebih cenderung kepada aktiviti yang menyeronokan, mudah dari sudut peraturan permainan dan bebas.

Selain itu, Muhamad Khaidir juga menasihati para ibu bapa untuk mengehadkan aktiviti pasif kanak-kanak sehingga kurang daripada dua jam sehari.

Sementara itu, Ketua Pusat Pengajian Pengurusan Perkhidmatan Makanan, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), Dr. Lovelyna Benedict Jipiu berkata, selain melancong dan bercuti bersama seluruh ahli keluarga, kalendar aktiviti kanak-kanak juga boleh diisi dengan program berteraskan konsep didik hibur.

“Menerusi lambakan program yang dianjurkan di seluruh negara ketika ini, kanak-kanak dapat didedahkan daripada peringkat awal mengenai ilmu pengetahuan am.

“Selain itu, program berteraskan konsep didik hibur itu juga berupaya memupuk kesedaran dalam diri kanak-kanak mengenai sesuatu korpus ilmu dengan lebih menyeronokkan.

“Ia sedikit sebanyak dapat menambah serta meluaskan lagi pemikiran kanak-kanak selain boleh disertai oleh seluruh ahli keluarga dalam suasana menyeronokkan,” jelasnya.

Antara program yang dianjurkan oleh fakultinya ialah projek pengenalan kepada asas dan penyediaan makanan pada 18 Disember nanti.

Ia terbuka kepada kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun bertempat di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, UiTM, Puncak Alam, Selangor.

Kanak-kanak akan didedahkan kepada sarapan sihat, asas pemakanan sihat, asas keselamatan makanan, pengenalan pokok herba dan rempah serta acara menanam pokok termasuk penyediaan makanan sihat.

Selain itu, kanak-kanak juga dapat didedahkan dengan kepentingan menjaga kebersihan peribadi, etika meja makan dan kebersihan makanan.

Tambah Lovelyna, program tersebut dapat mengisi masa lapang sempena cuti persekolahan selain memberi manfaat bahkan bukan sahaja untuk kanak-kanak malah seisi keluarga.