Salah seorang anggota skuad B-23 negara yang berjaya mencuri tumpuan pada kejohanan tersebut ialah pemain tengah kelahiran Kuala Lumpur, Muhammad Irfan Zakaria.

Begitupun, Irfan tidak mengganggap statusnya sebagai antara pemain harapan negara merupakan satu beban, sebaliknya dia menganggap ia pembakar semangat baginya untuk terus maju dalam kariernya.

Irfan mengakui, perjalanannya untuk mendapatkan tempat dalam skuad negara mahupun kelab bukanlah suatu yang mudah.

Mengimbas kembali detik bermulanya dia terlibat dalam sukan bola sepak, Irfan berkata, segala-galanya bermula sejak dia berada di bangku sekolah lagi.

“Pada masa itu, arwah bapa saya (Zakaria Amat) juga aktif bermain bola sepak sehingga menyebabkan saya semakin minat dengan sukan bola sepak.

“Saya masih ingat lagi sewaktu di bangku sekolah, arwah bapa akan membawa saya ke kelab-kelab bola sepak di sekitar Kuala Lumpur. Tujuannya bagi membolehkan saya belajar serba sedikit tentang bola sepak daripada pemain-pemain kelab berkenaan,” katanya kepada Rembat Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Irfan berkata, dia sememangnya aktif bermain bola sepak sejak sekolah rendah sehinggalah peringkat menengah.

Menurut anak bongsu daripada dua beradik itu, antara pemain bola sepak yang diminatinya ialah bintang Selangor, Mohd. Amri Yahyah dan bekas penyerang berbisa Indonesia, Bambang Pamungkas.

Jelasnya, kedua-dua pemain tersebut mempunyai tahap disiplin yang cukup tinggi, baik di dalam mahupun di luar padang dan ia wajar dicontohi oleh mana-mana pemain bola sepak di negara ini.

“Kita sendiri dapat lihat kualiti yang dimiliki kedua-dua pemain tersebut menerusi permainan yang mereka pamerkan di padang. Saya berharap dapat bermain sebaik mereka,” katanya.

Irfan memberitahu, peluang untuk beraksi secara profesional bersama pasukan tempatan hadir pada tahun 2016 apabila jurulatih Kuala Lumpur ketika itu, Ismail Zakaria menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmatnya.

“Saya berterima kasih dengan beliau (Ismail) kerana telah membuka pintu buat saya untuk melebarkan sayap bersama sebuah pasukan tempatan,” katanya.

Justeru, Irfan berazam untuk terus meningkatkan kualiti permainannya, sekali gus membantu Kuala Lumpur untuk kekal kompetitif dalam saingan Liga Super dan mana-mana kejohanan yang disertai.

Dalam pada itu, pemain berketinggian 1.82 meter itu berkata, dia merancang untuk kekal lama dalam arena bola sepak tempatan kerana baginya bidang tersebut mempunyai prospek kerjaya yang luas.

“Saya percaya rezeki berada di mana-mana. Salah satu aspek yang menarik minat saya dalam arena bola sepak adalah kerjaya sebagai jurulatih.

“Insya-Allah suatu hari nanti, saya akan mengikuti latihan kejurulatihan, sekali gus kekal berkhidmat dalam sukan yang saya cintai ini,” katanya yang gemar meluangkan masa di rumah dengan bermain permainan video Play Station.