Jumlah itu dijangka meningkat kepada 14.2 juta pelancong menjelang tahun 2021.

Ini menunjukkan peningkatan yang amat ketara terhadap sektor melibatkan pelancongan.

Malangnya, di sebalik semua itu, acap kali kedengaran berita tentang kemalangan malah kematian melibatkan rakyat Malaysia di luar negara.

Ada yang terlantar di hospital di luar negara sambil menunggu ehsan orang ramai kerana tidak mampu membiayai kos perubatan yang mahal.

Tidak kurang juga yang melibatkan kematian. Terbaharu, seorang lelaki meninggal dunia di hospital berdekatan pusat pelancongan Phuket, Thailand akibat dijangkiti bakteria burkholderia pseudomallei.

Lantaran dirawat selama hampir dua minggu di hospital tersebut, keluarganya terpaksa menanggung keseluruhan kos rawatan dan pengurusan jenazah yang berjumlah hampir RM85,000.

Nasib mereka boleh diumpamakan seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah kehilangan ahli keluarga, terpaksa pula memohon bantuan di laman sosial dan sebagainya untuk menyelesaikan masalah itu.

Ambil mudah

Tuntasnya, perkara ini tidak mungkin berlaku seandainya pelancong melindungi diri dengan membeli insurans perjalanan setiap kali ke luar negara.

Menurut Pengurus Pemasaran Seroja Travel & Tours, Siti Noraishah Ahmad, masih ramai pelancong bersikap ambil mudah mengenai keperluan membeli insurans perjalanan.

Dia yang berpengalaman hampir sedekad dalam bidang agensi pelancongan berkata, insurans perjalanan menjadi perkara terakhir dalam senarai pelancong.

“Ramai pelancong tidak kisah menghabiskan masa menyenarai hotel, pakaian ingin dipakai dan tempat lawatan terbaik di destinasi ingin dilawati.

“Namun, ramai yang tidak sanggup menambah sedikit wang sebagai pelindung diri jika ditimpa kemalangan kerana yakin tiada apa akan berlaku ketika bercuti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Siti Noraishah, kebanyakan pelancong tidak mengambil insurans kerana memikirkan tiada keperluan untuk urusan itu terutama jika destinasi lawatan adalah negara berdekatan Malaysia. Ini termasuk Indonesia, Thailand dan Brunei.

“Jarak dekat tidak menjamin keselamatan.

“Harus diingat, walaupun dekat, seseorang pelancong itu sudah menjadi warga asing di negara lain. Persekitaran mungkin masih sama, tetapi status dan mata wang yang berbeza akan menyebabkan masalah seperti kos rawatan di hospital,” ujarnya.

Menurutnya, trend melawat ke negara secara berkumpulan dan solo tanpa menggunakan khidmat agensi pelancongan bukan isu.

Namun begitu, pelancong haruslah mengambil inisiatif membeli insurans daripada mana-mana syarikat insurans agar tidak menyesal pada kemudian hari.

Sementara itu, penulis blog percutian, Mohd. Faizal Kamarulzaman menjelaskan, terdapat beberapa asas perlindungan yang perlu dimiliki oleh seseorang pelancong.

Biasanya, insurans perjalanan adalah terhad kepada waktu dan tempoh perjalanan seseorang. Ia bermakna, harga insurans adalah berbeza mengikut pilihan hari yang dibeli oleh pelancong untuk setiap perjalanan.

Pilihan

Terdapat pelbagai syarikat yang menawarkan perkhidmatan insurans dengan pelbagai jenis perlindungan.

“Lazimnya, perlindungan yang diberikan oleh insurans meliputi kes kemalangan dan kehilangan barang dan dokumen peribadi. Terdapat juga perlindungan dari segi kelewatan bagasi dan perjalanan.

“Paling penting, jika berlaku kematian, ia juga meliputi penghantaran pulang jenazah ke negara asal,” katanya yang kini sedang melancong di Helsinki, Finland.

Namun, dia menasihatkan agar pelancong membuat pilihan terbaik dalam memilih insurans perjalanan yang terbaik.

“Setiap tawaran perlindungan adalah berbeza mengikut polisi syarikat. Pelancong perlu membandingkan perlindungan yang diperlukan mengikut negara dan barang yang dibawa.

“Selain itu, baca syarat tuntutan dan pastikan syarikat tersebut mempunyai rangkaian gabungan asing yang baik agar anda diberi bantuan sewajarnya pada kadar segera.

“Sebaiknya, pilih syarikat insurans yang menawarkan khidmat talian kecemasan 24 jam agar mendapat perlindungan menyeluruh,” kongsinya.

Mohd. Faizal juga menyeru orang ramai untuk mengambil iktibar daripada kes-kes seumpamanya bagi mengelakkan perkara sama tidak berulang.