Terbaharu ialah pada 10 Julai lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun meninggal dunia selepas disahkan didera ibu kandungnya sendiri di Taman Permatang Badak Maju, Permatang Badak, Kuantan.

Laporan awal mendapati, mayat mangsa turut mempunyai kesan lecur pada kemaluan selain beberapa kesan lebam pada bahagian pergelangan kaki, belakang badan, pinggang dan punggung.

Situasi tersebut lantas mendatangkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat hari ini.

Justeru bagi mengetahui lebih lanjut mengenai isu tersebut, wartawan Kosmo! Ahad, KHAIRYAH HANAFI menemu bual Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Mohd. Fazari Mohd. Salleh di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Dewasa ini kita lihat banyak kes penderaan kanak-kanak dilaporkan di dada akhbar. Boleh pihak tuan ulas mengenai isu tersebut?

MOHD. FAZARI: Sebenarnya kita perlu lihat secara holistik dari akar umbi dan mengkaji kenapa perkara ini terjadi. Apa yang saya ingin tekankan, keluarga merupakan punca utama kepada setiap masalah yang berlaku.

Biarpun sesebuah negara mempunyai undang-undang yang bagus dan sangat ketat sekalipun, namun kita perlu berbalik kepada institusi kekeluargaan itu sendiri seperti pegangan agama yang dipraktikkan dan sebagainya. Jika mereka sedar anak tersebut adalah tanggungjawab yang diamanahkan oleh tuhan, maka kes-kes penderaan seperti yang dilaporkan di dada akhbar tidak akan berlaku.

Berdasarkan kejadian-kejadian lalu, kes penderaan yang berlaku lazimnya berpunca daripada konflik kekeluargaan antara pasangan suami isteri itu sendiri. Selalunya mereka akan menjadikan anak sebagai objek untuk melepas dendam amarah yang akhirnya menyebabkan kanak-kanak itu cedera baik dari segi mental, emosi mahupun fizikal.

Boleh pihak tuan kongsikan statistik penderaan kanak-kanak di Malaysia sepanjang tiga tahun kebelakangan ini dan apakah antara kes yang sering dilaporkan di JKM?

Berdasarkan statistik penganiayaan dan penderaan kanak-kanak mengikut jenis penderaan, pada tahun 2016, hanya 4,982 kes dilaporkan, manakala pada tahun 2017, angka tersebut menunjukkan pertambahan iaitu sebanyak 5,442 kes dilaporkan.

Sementara itu, statistik pada tahun 2018 iaitu dari bulan Januari sehingga April pula, sebanyak 1,929 kes telah dilaporkan. Mengikut laporan statistik tersebut, jenis penderaan yang sering dilaporkan ialah pengabaian dan diikuti dengan penderaan fizikal serta penderaan seksual terhadap kanak-kanak.

Pertambahan bilangan kes ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kesedaran orang ramai berkenaan isu perlindungan telah meningkat dan lebih ramai kanak-kanak berjaya diselamatkan.

Boleh pihak tuan jelaskan apakah peranan Akta Kanak-Kanak 2001 yang diperkenalkan di negara ini?

Sebenarnya Akta Kanak-Kanak 2001 telah dikuatkuasakan sejak tahun 2002. Bagaimanapun pada tahun 2016, 69 daripada 128 Akta ini telah dipinda selain pertambahan 13 Seksyen baharu bagi memenuhi keperluan isu perlindungan kanak-kanak semasa.

Secara amnya, kewujudan Akta Kanak-Kanak 2001 ini bertujuan untuk mengukuhkan perlindungan, pemeliharaan dan pemulihan terhadap kanak-kanak selain memperkasakan penglibatan masyarakat atau komuniti dalam melaksanakan tanggungjawab mereka untuk menyelamat serta memberi perlindungan kepada kanak-kanak yang teraniaya. Ia diperlukan di negara kita bagi melindungi hak kanak-kanak agar terpelihara dari segi undang-undang, selari dengan Konvensyen Mengenai Hak Bagi kanak-Kanak.

Boleh pihak tuan jelaskan apakah kes-kes atau kesalahan yang disenaraikan di dalam Akta Kanak-Kanak 2001?

Berdasarkan Seksyen 17 (1) antara kesalahan yang disenaraikan dalam Akta ini meliputi penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak, perlindungan bagi kanak-kanak yang tidak terkawal dan kes pengemisan dalam kalangan kanak-kanak.

Selain itu, Akta ini turut meletakkan kes-kes yang melibatkan pendedahan kepada bahaya moral dan kanak-kanak yang memerlukan perlindungan segera sebagai salah satu kesalahan.

Malah, kes pemerdagangan dan pelarian kanak-kanak serta kanak-kanak yang terlibat dengan masalah konflik juga merupakan antara kesalahan yang disenaraikan dalam Akta ini.

Melalui pelaksanaan Akta Kanak-Kanak 2001, adakah pihak tuan melihat ia dapat membendung kes-kes penderaan dalam kalangan kanak-kanak di negara ini?

Penguatkuasaan Akta bukanlah satu-satu cara yang dapat membendung kes-kes penderaan yang berlaku. Usaha pencegahan penderaan kanak-kanak perlu dilakukan melalui program-program yang dapat membangkitkan kesedaran masyarakat.

Melalui kesedaran tersebut, ia secara tidak langsung membantu pihak-pihak berkuasa untuk menangani isu ini.

Malah, melalui kesedaran itu juga, ia akan membantu kami memantau keluarga yang berisiko tinggi melakukan penderaan. Laporan tersebut bukan sahaja dapat menyelamatkan kanak-kanak daripada didera tetapi juga mampu menyelamatkan nyawa atau kecederaan serius terhadap si kecil.

Apakah bentuk perlindungan yang disediakan oleh JKM kepada kanak-kanak yang diabaikan atau didera di negara ini?

Kami memegang prinsip For The Best Interest of Child dalam apa jua perkara yang melibatkan kanak-kanak. Apabila pihak JKM menerima aduan mengenai kes penderaan atau pengabaian kanak-kanak, ‘pelindung’ iaitu pegawai kebajikan yang dilantik oleh JKM di daerah terlibat akan ke lokasi tersebut untuk menyelamatkan mereka.

Kanak-kanak itu kemudian akan dibawa ke hospital untuk melakukan pemeriksaan menyeluruh. Jika mereka didapati didera, kanak-kanak itu akan dibawa masuk ke institut perlindungan kanak-kanak di bawah JKM. Setakat ini, kami mempunyai 13 buah pusat perlindungan bagi tujuan tersebut.

Bukan sekadar tempat berlindung, di sana kami turut menjalankan sesi kaunseling kepada mangsa-mangsa dera bagi mengelakkan trauma berpanjangan.

Kebanyakan kes yang dilaporkan melibatkan penderaan oleh ibu bapa. Bagaimanapun, segelintir mereka mendakwa tindakan memukul anak bukanlah satu penderaan, sebaliknya salah satu kaedah untuk mendidik. Bagaimana tuan boleh mengubah stigma begini dalam kalangan masyarakat?

Stigma tersebut sepatutnya sudah lama diubah. Sebenarnya memukul untuk mendidik tidak menjadi satu kesalahan biarpun kaedah tersebut sebenarnya tidak perlu dan tidak digalakkan. Tambahan pula ada kaedah yang lebih relevan untuk digunakan bagi tujuan mendidik.

Bagaimanapun, ‘didikan’ yang menjadi satu kesalahan dan dikatakan sebagai penderaan ialah jika perbuatan tersebut menimbulkan kecederaan mental dan fizikal atau kesan lebam pada tubuh kanak-kanak tersebut.

Ibu bapa sepatutnya sedar pada peringat usia seperti itu, mereka sepatutnya dibimbing dengan kelembutan.

Apakah pesanan dan nasihat tuan kepada orang ramai terutamanya dalam perkara melibatkan penderaan kanak-kanak?

Keluarga dan ibu bapa harus menjadi institusi untuk membimbing serta mendidik anak-anak mereka supaya lebih bertanggungjawab, lebih berwaspada dan mempunyai jati diri yang kental untuk menghadapi cabaran yang ada.

Keluarga juga perlu menyediakan persekitaran yang selamat dan bebas daripada segala bentuk keganasan. Tanggungjawab memberi perlindungan dan menjamin keselamatan kanak-kanak adalah tanggungjawab utama ibu bapa.

Selain itu, penglibatan pelbagai pihak termasuk agensi korporat, pertubuhan sukarela dan orang ramai amat diharapkan untuk memberi perlindungan dan menangani isu penderaan serta pengabaian kanak-kanak. Laporan yang diberikan dapat menyelamatkan nyawa dan mengelakkan kecederaan yang serius terhadap kanak-kanak.

Penguatkuasaan 
undang-undang bukanlah satu-satunya cara untuk membendung kes penderaan kanak-kanak, tetapi usaha pencegahan perlu dilakukan melalui program-program yang membangkitkan kesedaran masyarakat.