Ia bermula apabila firma tersebut memenangi pertandingan mereka cipta Pusat Kewangan Dunia pada awal tahun 1980-an.

“Ketika itu, kami hanya mempunyai ruang pejabat yang kecil, tetapi kami berjaya memenangi pertandingan tersebut. Ia menjadi batu loncatan kepada kami untuk menyusun semula struktur syarikat bagi menjalankan projek berskala besar,” kata arkitek terkemuka Argentina, Cesar Pelli kepada portal Surface baru-baru ini.

Pelli meninggal dunia pada Jumaat lalu di rumahnya New Haven pada usia 92 tahun dan punca kematiannya tidak dinyatakan.

Menyingkap kisah hidupnya, kehebatan Pelli membangunkan firma arkiteknya memang sudah diduga. Bakatnya telah dikesan ketika masih menuntut Universiti Illinois, Urbana-Champaign.

Anaknya, Rafael yang juga antara tiga penggerak utama firma tersebut menyatakan, kunci kejayaan ayahnya ialah kualiti yang menjadikan dia seorang yang hebat seperti kepakaran dan matlamat yang jelas. Selain itu, dia seorang yang berdisiplin tinggi dan sentiasa bersemangat untuk berjaya. Kerjaya arkitek sangat dicintainya dan dia tidak mempunyai hobi.

Seorang lagi anaknya ialah Denis, profesor psikologi dan sains neural di Universiti New York.

Dilahirkan pada 12 Oktober 1926 di San Miguel de Tucuman, sebuah bandar kecil di utara Argentina, ayah Pelli merupakan seorang kakitangan awam dan emaknya seorang guru geografi dan bahasa Perancis.

“Sebagai pelajar universiti, saya memilih seni bina setelah menyedari bidang itu merangkumi segala perkara yang saya minati seperti melukis, sejarah, reka bentuk dan seni,” katanya kepada majalah online, The Talks pada 2017. Biasiswa daripada Universiti Illinois membawanya berhijrah ke AS pada 1952.

Sepanjang kerjayanya, Pelli dikenali hasil seni bina bangunan pencakar langit yang menggunakan kaca berbanding bahan lain.

“Inspirasi seseorang yang ingin mencapai langit, saya faham kehendak mereka. Keinginan itu terlalu menebal dan hebat,” katanya lagi kepada The Talks.

Kejayaannya besarnya itu tidak membuatkan Pelli lupa diri sebaliknya dia memilih untuk tinggal di apartmen lima atau enam tingkat. Ini kerana, katanya, ia memudahkannya bertemu orang ramai, menyentuh pokok dan merasai kehidupan di jalanan.

Individu baik

Pada 2007 dalam temu bual bersama La Gaceta, surat khabar di Argentina, Pelli ditanya tentang apakah yang ingin didengarinya daripada orang ramai.

“Dia individu yang baik,” katanya.

Graduan diploma seni bina daripada Universiti Tucuman, Argentina pada tahun 1950 itu telah berpindah ke Amerika Syarikat dua tahun kemudian bersama isterinya seorang arkitek landskap, Diana Balmori yang meninggal dunia pada 2016 dengan memilih New Haven, Connecticut sebagai lokasi penempatannya.

Selepas memperoleh sarjana daripada Universiti Illinois, dia menyertai Eero Saarineen selama 10 tahun dan antara projeknya ialah Terminal TWA di Lapangan Terbang John F. Kennedy (1962) dan Kolej Morse dan Exra Stiles di Yale (1962).

Pelli juga merupakan bekas dekan dan pensyarah di Yale University School of Architecture. Dia berhenti kerja di Saarinen pada 1964 dan kemudiannya bekerja di Gruen Assosiates di Los Angeles. Ketika itu, dia mereka projek utamanya, Pusat Rekaan Pasifik (1975). Struktur yang tersergam utuh disaluti kaca lantas menjadi tumpuan. Ia dikenali sebagai The Blue Whale.

Sepanjang hidupnya, dia memenangi lebih 300 anugerah rekaan, antaranya bermula pada tahun 1966 iaitu Progressive Architecture Award for the Urban Nucleus at Sunset Mountain Park sehingga Aga Kahn Award for Architecture pada tahun 2004 kerana kehebatan rekaan Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur, Malaysia.

Buku

Pada tahun 1991, Institut Jurubina Amerika (AIA) menyenaraikan Pelli dalam kalangan 10 arkitek Amerika terhandal di dunia. Dia turut meraih anugerah AIA Gold Medal 1995 ekoran pembinaan yang memberikan pengaruh berpanjangan dalam teori dan amalan seni bina.

Pelli juga menulis buku berkaitan seni bina iaitu Observations for Young Architects.

Pelli mengakui Menara Berkembar Petronas adalah antara rekaan terbaik yang pernah dihasilkannya. Ia umpama karya agung dunia seni bina. Menara itu setinggi 452 meter (m), mempunyai 88 tingkat dengan kira-kira 10,000 penghuni sama ada mereka yang tinggal atau bekerja di situ.

Menara Berkembar Petronas yang unik itu diiktiraf sebagai bangun­an ter­tinggi di dunia antara 1998 hingga 2004 dan kekal sebagai menara berkembar paling tinggi sehingga kini. Bangunan paling tinggi di dunia sekarang ialah Burj Khalifa di Dubai iaitu 828m.

Sentuhan Pelli termasuklah Pusat Kewangan Dunia di New York, Menara Canary Wharf di London, Menara Berkembar Tiga Pusat Kewangan Antarabangsa Shanghai di China, Aria Resort & Casino di Las Vegas dan beberapa lagi bangunan pencakar langit di dunia.

Menurut laporan AP, pakar seni, Jerry Frautschi dan Pleasant Rowland melantik Pelli untuk mengubah suai 200 blok State Street untuk mempersembahkan seni visual dan persembahan. Pusat Overtur itu merangkumi Dewan Overtur, Teater Capitol, rumah permainan dan ruang persembahan itu dibuka pada 2004. Muzium Seni Kontemporari Madison (MMOCA), AS pula dibuka dua tahun kemudian.

“Mereka dan membina Pusat Overtur dan MMOCA sangat dekat di hati saya. Madison adalah bandar yang istimewa dan saya mempunyai pelanggan yang hebat juga,” kata Pelli pada 2016 ketika ditemu bual oleh Wisconsin State Journal.

Gigih

Jelasnya, mereka blok bangunan bersejarah merupakan satu cabaran yang besar, tetapi dia berbesar hati untuk merealisasikan usaha pemuliharaan tersebut.

“Dalam bidang arkitek, jika kamu berusaha dengan gigih, banyak kesukaran boleh diubah menjadi satu peluang. Ia boleh diumpamakan seperti kehidupan kita,” ujarnya.

Berita kematiannya mendapat perhatian dunia termasuk daripada Presiden Argentina, Mauricio Macri yang membuat ciapan: “Hasil kerja yang ditinggalkannya di seluruh dunia adalah satu legasi yang menjadi kebanggaan rakyat Argentina.”

Naib Presiden eksekutif dan ketua pegawai eksekutif AIA, Robert Ivy berkata: “Pelli merupakan arkitek, guru dan mentor yang hebat. Daripada legasi kreatif di Eero Saarinen dan ketua yang pragmatik di pembangunan pantai barat AS, Pelli membangunkan bangunan pencakar langit di seluruh dunia, sekali gus memberi inspirasi dalam pembangunan bandar moden.