Tak terdaya membantumu

Walau apa pun jua

Kau masih punya masa

Berdikari menguasai diri

Kau takkan diketepi

Demikian bait-bait lagu ratu rock tersohor negara, Ella yang bertajuk Esok Lusa Selamanya. Lagu tersebut merupakan pembakar semangat kepada Dr. Al-Amril Othman, 49, untuk mengejar cita-citanya.

Setiap kali beliau berasa kecewa dan putus asa maka, lagu itu akan didengarnya berulang kali bagi menyuntik kembali semangat diri.

Akui Al-Amril, lirik lagu tersebut sangat dekat dengan dirinya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan.

Kisah Al-Amril yang berjaya menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) (Sejarah) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini telah menyentuh hati masyarakat meskipun terpaksa berjuang selama 12 tahun, dari 2006 sehingga tahun ini untuk memilikinya.

Dia membuktikan, walaupun dirinya buta sejak lahir, namun mampu menggenggam PhD dengan berbekalkan semangat waja.

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu akhirnya berjaya melunaskan kajian PhD berkisar konflik perkauman di Tanah Melayu yang berlatar masa pada tahun 1945 hingga 1974.

Kajian itu mendapati golongan elit politik yang belajar di sekolah-sekolah Inggeris pada ketika itu lebih memahami kepentingan kaum-kaum lain kerana mereka belajar bersama-sama dengan pelbagai kaum.

Bercerita mengenai suka duka yang ditempuhinya dalam menyelesaikan pengajian PhD, Al-Amril memberitahu, kesukaran mendapatkan pembantu telah menyulitkannya untuk melakukan penyelidikan.

“Saya memerlukan pembantu untuk mencari bahan-bahan bacaan dan membuat salinan fotostat kerana tidak berdaya berbuat demikian ekoran kekurangan diri.

“Bahan-bahan bacaan seperti buku pula perlu diimbas di atas mesin pengimbas khas sebelum komputer membacanya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM, Bangi, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, setiap perkataan yang dibaca oleh komputer pula akan diteliti sebelum saringan maklumat yang diperlukan dapat dilakukan.

Justeru, ia memerlukan masa yang lama untuk melakukan proses itu apatah lagi tidak mempunyai pembantu dalam tempoh masa yang lama. Dari tahun pertama mengikuti pengajian PhD sehingga ketujuh dia gagal mendapatkan seorang pembantu tetap sekali gus mengganggu kelancaran pembelajarannya.

Berteman radio

Sebaik sahaja mendapat pembantu tetap pada tahun kelapan, dia perlu berusaha gigih dengan berkorban masa bersama keluarga dan tidur di pejabat demi memastikan kerja-kerja dapat disiapkan.

Kesempatan mempunyai pembantu tetap tidak mahu disia-siakan walaupun bantuan itu hadir dalam tempoh dua tahun sahaja.

Selepas itu, Al-Amril berusaha sendiri tanpa pembantu tetap sehingga tahun ke-12 iaitu tahun ini.

Jelas bapa kepada seorang cahaya mata lelaki itu, bukan mudah mendapatkan pembantu tetap kerana memerlukan geran untuk mendapatkan dana bagi tujuan itu.

“Boleh dikatakan setiap malam saya tidur di pejabat di atas kerusi malas dengan bertemankan radio bagi menghilangkan rasa sunyi.

“Pada pukul 6.30 pagi keesokannya, saya akan pulang ke rumah dengan menaiki teksi atau meminta pertolongan sesiapa sahaja untuk pulang ke rumah bagi menyegarkan diri dalam tempoh 20 hingga 30 minit sebelum bergegas semula ke pejabat,” tuturnya yang suka mendengar radio dan menikmati lagu-lagu retro.

Pada ketika itu, dia juga menggalas tanggungjawab sebagai pensyarah yang memerlukannya membuat persediaan untuk pembelajaran di kelas.

Al-Amril mula bertugas di UKM sebagai tutor pada tahun 1995 dan dilantik sebagai pensyarah Sejarah pada tahun 2007.

Al-Amril amat berterima kasih kepada UKM kerana memberi peluang kepadanya serta memahami keadaan diri yang terbatas.

Syukur juga isterinya, Suzalyna Abdullah, 53, memahami keadaannya dan bersedia menggalas tanggungjawab sepenuhnya menjaga dan mendidik putera tunggal mereka, Amirul Hafiz yang berusia 12 tahun.

Bagi Al-Amril, kisah kura-kura dan arnab menjadi pegangan serta pembakar semangatnya ketika menyelesaikan pengajian di peringkat PhD itu.

“Kura-kura mempunyai sifat yang tidak peduli walaupun lambat, namun matlamatnya disasarkan secara konsisten, berbeza dengan arnab yang cepat berpuas hati. Lantas kisah itu memberi motivasi kepada saya untuk meneruskan perjuangan,” ujarnya penuh makna.

Idola

Menyorot sejarah hidupnya, anak kedua daripada sembilan beradik itu mendapat pendidikan awal di sekolah pendidikan khas St. Nicholas, Pulau Pinang.

Di situ, Al-Amril belajar membaca tulisan Braille dengan mengikuti pendidikan khas secara formal.

“Walaupun saya OKU, tetapi ayah, Othman Hashim, 82, tidak pernah membezakan kasih sayang kami adik-beradik.

“Dia memberikan sepenuh perhatian dan memastikan saya tidak ketinggalan dalam pendidikan,” tuturnya.

Akuinya yang kehilangan ibu sejak berusia setahun, dia sangat bertuah dikurniakan bapa yang penyayang dan sentiasa memberi sokongan sehingga kini.

Othman juga sanggup berpisah dengan anak kesayangannya apabila menghantar Al-Amril belajar di Sekolah St. Nicholas, Pulau Pinang ketika berusia tujuh tahun.

Al-Amril hanya pulang ke rumah ketika waktu cuti sekolah dan ia merupakan momen yang ditunggu-tunggu kerana terlalu merindui ayahnya.

Ketika berusia sembilan tahun, dia berpindah ke Muar, Johor mengikuti bapanya yang bertugas sebagai Polis Hutan, lalu menyambung persekolahan di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bahru, Johor.

“Sejak kecil saya memang bercita-cita untuk bergelar seorang pensyarah.

“Alhamdulillah, berkat tekad dan istiqamah, saya berjaya dianugerahkan PhD (Sejarah) pada Majlis Konvokesyen UKM ke-46, di Dewan Canselor Tun Abdul Razak baru-baru ini,” tuturnya yang menjadikan bapanya sebagai idola.

Setiap pesanan bapanya digenggam kemas seperti jangan sombong dan sentiasa merendah diri.

Mengajar

Bertugas sebagai pensyarah Sejarah dalam Pengkhususan Sejarah Politik Malaysia Moden di Fakulti Sains Sosial, rutin hariannya bermula seawal pukul 6.30 pagi bergerak dari rumah dengan menaiki komuter dan mengambil teksi ke UKM, Bangi.

“Saya menggunakan beberapa pengangkutan untuk ke tempat kerja seperti menaiki komuter, teksi, bas ataupun perkhidmatan Grab.

“Sekiranya saya menaiki komuter, ia mengambil masa satu jam untuk sampai ke pejabat, maka saya perlu bergerak lebih awal,” ujarnya yang tinggal di Bandar Sri Putra Bangi, Selangor.

Menurutnya, pada setiap hari Isnin, Selasa dan Khamis, Al-Amril mempunyai kelas dan dia mengajar sehingga 78 orang pelajar.

Mengulas mengenai pengajian sejarah, dia berkata, persepsi bahawa kita perlu menghafal adalah tidak benar kerana kita tidak mampu hafal semua perkara tetapi kita boleh memahami semua perkara.

“Di dalam kelas, saya mengajar mengikut minat pelajar seperti menggunakan muzik berkaitan dengan subjek yang diajar.

“Saya juga memberikan situasi untuk pelajar bincangkan dalam bentuk forum bagi menggalakkan pembangunan idea,” katanya yang berpegang kepada prinsip melakukan sesuatu secara konsisten tanpa putus asa.

Mengakhiri bicaranya, Al-Amril menitip kata, perjalanan menuntut ilmunya tidak akan pernah tamat sehinggalah nafas yang terakhir.

Al-Amril yang cacat penglihatan sejak lahir mengharungi detik-detik sukar dalam hidupnya, namun tidak pernah patah semangat untuk mencapai cita-citanya.