Mungkin bagi sesetengah masyarakat mereka tertanya-tanya siapakah gerangan Abdul Fatah yang disebutkan itu.

Bagaimanapun, apabila disebut kartun berkisarkan seorang lelaki berjudul Lagak A.Mamud yang mempunyai rambut berjambul, sering mengenakan baju berbunga, berseluar ketat senteng dan menaiki vespa dalam majalah Gila-Gila, sudah pasti memori lama mengenai kartun tersebut kembali menjengah ingatan.

Itulah watak yang telah dihasilkan oleh Abdul Fatah ketika era 80-an sehinggakan menjadi bualan orang ramai pada ketika itu.

Lebih khusus lagi, Abdul Fatah merupakan generasi kartunis pertama bagi majalah Gila-Gila yang mula diterbitkan pada April 1978.

Sabtu lalu, hasil usaha Abdul Fatah itu mendapat penghargaan apabila sebuah buku berbentuk biografi dirinya yang bertajuk Fatah: Kartunis Akar Terengganu telah diterbitkan oleh Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM) bagi mengenang jasa beliau dalam penglibatan dunia kartun.

Menurut penulisnya, Sabri Said, buku tersebut juga diterbitkan untuk membetulkan beberapa fakta tentang Abdul Fatah yang menjadi kekeliruan segelintir masyarakat.

Ujarnya, terdapat laporan yang mendakwa Abdul Fatah dikatakan lahir di Dungun, Terengganu tetapi hakikatnya beliau lahir di Kuala Terengganu.

“Beliau juga dikatakan sakit saraf sejak 15 tahun yang lalu tetapi maklumat sebenarnya ialah beliau sakit sejak 40 tahun yang lalu.

“Ketika beliau menyertai Gila-Gila, kesihatannya telahpun merosot, malah penyakit yang dihidapi sejak sekian lama itu telah memamah kekuatannya untuk berkarya,” katanya ketika ditemui K2 semasa pelancaran buku tersebut di RKKM, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Gila-Gila

Penyakit saraf yang dihadapi oleh Abdul Fatah itu sedikit demi sedikit menghakis kekuatan dirinya sehingga membuatkan beliau tidak lagi mampu mengangkat tangan untuk melukis, malah terpaksa bergantung pada kerusi roda serta tidak mampu untuk bertutur dengan jelas.

Kini, di kerusi roda itulah Abdul Fatah mengharungi hidup dalam menghadapi hari-hari mendatang.

Tambah Sabri, Abdul Fatah boleh dikatakan sebagai legenda kerana merupakan antara kartunis yang lahir pada zaman kegemilangan kartun.

Ujarnya, penglibatan Abdul Fatah sepenuh masa dalam dunia kartun bermula selepas menyertai sebuah syarikat penerbitan iaitu Creative Enterprise Sdn. Bhd. (Creative Enterprise) pada tahun 1977.

“Pada ketika itu, beliau telah ditugaskan untuk membuat semua ilustrasi dan cerita bergambar majalah kanak-kanak Bambino, selepas itu beliau telah diberikan tanggungjawab tambahan untuk melukis ilustrasi bagi majalah Medan Pelajar yang disasarkan untuk kepada pelajar sekolah menengah rendah.

“Beliau tidak pernah merungut walaupun diberi kerja tambahan, malah semua itu disempurnakan sebaik mungkin sehingga sanggup bersengkang mata dan ada kalanya sampai tertidur di pejabat,” ujarnya.

Apabila Creative Enterprise menerbitkan Gila-Gila pada 1 April 1978, syarikat itu bagai menemui lubuk emas kerana majalah itu telah berjaya mencetuskan kegilaan baharu kepada kartun.

Pada ketika itu, hampir di mana-mana orang memperkatakan tentang kartun di Gila-Gila.

Permintaan demi permintaan terhadap majalah Gila-Gila yang terus meningkat menyebabkan Creative Enterprise menukar haluan daripada syarikat pelbagai penerbitan kepada syarikat ekapenerbitan.

Semua penerbitan lain dalam Creative Enterprise dihentikan dan fokus diberikan kepada Gila-Gila lantas membuatkan kesemua sumber tenaga yang ada diarahkan untuk memberi tumpuan kepada majalah baharu itu.

Ujar bekas editor majalah Gila-Gila itu, Abdul Fatah juga tidak terkecuali.

Katanya, Abdul Fatah yang ketika itu sedang bekerja keras menyiapkan ilustrasi dan komik untuk beberapa majalah lain terpaksa menjerumuskan dirinya dalam tsunami perubahan tersebut.

Sungguhpun tidak mendapat pendidikan formal dalam seni lukis, tetapi asas melukisnya sangat kental kerana minatnya yang selalu mencuba tanpa putus asa.

“Beliau terpaksa memerah tenaga dan idea bagi menghasilkan kartun untuk majalah Gila-Gila. Maka, bermulalah era beliau menghasilkan karya-karya kartun.

Garis lurus

“Pada mulanya agak sukar bagi Abdul Fatah menghasilkan kartun, namun beliau adalah karyawan yang bijak dan mempunyai daya pengamatan yang teliti. Beliau berusaha sendiri mencari pelbagai sumber rujukan dan antara yang menjadi tumpuannya ialah karya Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat,” katanya.

Lakaran Abdul Fatah dalam karya kartun-kartunnya amat unik sekali serta banyak dipengaruhi garis-garis lurus termasuklah tanda tangannya sendiri.

Hal ini disebabkan oleh kekangan pergerakan yang dialaminya, namun ia turut memberikan kelebihan kerana menyukarkan orang lain untuk meniru gayanya.

Jalan cerita kartun yang dihasilkannya pula banyak memaparkan aspek budaya dan sosial terutamanya berkaitan anggota masyarakat Pantai Timur khususnya Terengganu yang merupakan negeri kelahirannya.

Menariknya kerana kebanyakan karyanya disulami dan diwarnai dengan kelucuan agar kefahaman masyarakat tidak menjadi terlampau serius dan membosankan.

Kemuncak kejayaan Abdul Fatah adalah selepas melahirkan watak A. Mamud yang berjaya meraih tumpuan pembaca Gila-Gila dan menjadi antara ikon paling dikenali dalam majalah tersebut.

Kejayaan A. Mamud diletakkan sebagai ikon majalah bukan sahaja kerana cerita dan watak semata-mata tetapi kerana langkah bijak Abdul Fatah yang memilih latar masa dan tempat iaitu ketika era pertengahan 60-an.

Bermula daripada gambaran watak A. Mamud sehinggalah suasana zaman yang pada masa itu banyak dipengaruhi fenomena ‘Pop Yeh Yeh’, pembaca merasakan bahawa hasil karya itu seakan-akan benar-benar wujud dalam dunia realiti sehinggakan menjadi trademark kepada dirinya.

Abdul Fatah juga bijak menceritakan watak A. Mamud sehingga membantu orang ramai untuk lebih mengenali budaya ketika era pertengahan 60-an itu.

Bagaimanapun, ujar Sabri, penderitaan yang dihadapi akibat masalah kesihatan itu membuatkan Abdul Fatah akhirnya memutuskan untuk menggantung penanya.

“Pada tahun 2002, beliau berjumpa dengan ketuanya dan dengan sedih serta berat hati menyatakan hasratnya untuk meninggalkan dunia kartun yang diceburi lebih 20 tahun,” ujarnya menutup bicara.

Teliti

Dalam saat-saat sukar melawan sakitnya, Abdul Fatah bernasib baik kerana dirinya tidak putus-putus mendapat sokongan daripada ahli keluarganya terutama arwah ibunya yang sangat disayangi.

Sementara itu, adik bongsu kepada Abdul Fatah, Laili Ngah, 46, berkata, meskipun dia tidak mengetahui secara mendalam berhubung zaman kanak-kanak abangnya itu disebabkan jarak umur hampir 20 tahun, arwah ibu mereka pernah menceritakan bahawa abangnya itu seorang yang sangat berdikari.

“Ibu juga memberitahu abang adalah orang yang sangat teliti dan mementingkan kesempurnaan. Segala kerja yang dimulakan pasti akan dihabiskan.

“Meskipun pergerakannya terbatas, abang lebih suka melakukan sesuatu sendiri sekiranya masih mampu seperti sewaktu makan,” katanya yang kini mengambil tanggungjawab menjaga kebajikan Abdul Fatah.

Tambah Laili, Abdul Fatah juga merupakan seorang abang yang prihatin kerana sentiasa mengambil tahu mengenai keluarga.

“Selain menghantar hasil karyanya untuk tatapan keluarga, abang tidak pernah lupa untuk bertanya khabar,” ujarnya.

Dalam pada itu, kartunis terkemuka Malaysia, Lat berkata, hasil karya Abdul Fatah sememangnya wajar dibaca oleh setiap masyarakat.

“Karyanya boleh dikatakan sangat istimewa kerana memaparkan realiti kehidupan sebenar masyarakat Pantai Timur khususnya dan digarap berdasarkan pengalaman yang dimiliki.

“Syabas Abdul Fatah kerana melahirkan karya yang sangat berharga, membawa mesej positif dan menjadi penyuntik semangat buat kartunis-kartunis lain. Ternyata anda adalah insan hebat yang terpilih,” ujarnya.

Pencipta kartun Lagak A.Mamud rancakkan semangat penerbitan kartun di Malaysia.