Gempa bumi kuat berukuran 6.6 magnitud itu juga dikenali sebagai Bam meninggalkan kesan mendalam pada dirinya tatkala melihat kerosakan teruk dan keadaan mangsa bencana tersebut yang menyayat hati.

Beliau yang ketika itu bertugas di Kementerian Pertahanan dan Ketenteraan Iran bagi projek pencegahan dan membaik pulih bangunan akibat gempa bumi telah diarahkan untuk memeriksa tahap kerosakan struktur bangunan tersebut.

“Saya membuat pemantauan ke beberapa buah bangunan yang terjejas teruk bagi meneliti kerosakan dan struktur binaan.

“Ia bertujuan bagi mencari jawapan bagaimana sesuatu bangunan boleh roboh lantas memberi saya idea untuk mencipta alat khas bagi mengukuhkan struktur binaan bangunan ketika berlakunya gelombang seismik,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada sidang akhbar akhbar memperkenalkan produk Penyerap Getaran Struktur di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini.

Justeru itu, beliau yang berpengalaman tiga tahun bertugas di kementerian tersebut telah membangunkan inovasi berkenaan ketika menyambung pengajian ijazah doktor falsafah (PhD) di UPM pada tahun 2006.

Inovasi Penyerap Getaran Struktur itu diketuai oleh Farzad dan empat penyelidik utama dengan dibantu oleh 15 orang pelajar ijazah sarjana serta PhD.

Inovasi tersebut melibatkan empat produk iaitu Dinding Peredam Getah, Peredam Viskos Pelbagai Guna, Pendakap Peredam Viskoelastik dan Pendakap Mampatan Volumetrik.

Ujar lelaki yang berasal dari Iran itu, alat tersebut bertindak sebagai sistem kawalan getaran dan alat peredam untuk menyerap getaran dalam struktur binaan bagi mengurangkan kesan pergerakan dengan meningkatkan keupayaan rintangan keseluruhan sisi dan ciri redaman struktur bangunan.

Menurut Farzad, keempat-empat alat itu mempunyai fungsi yang sama. Antaranya menyerap getaran secara efisien dengan mengunci pergerakan bangunan secara perlahan-lahan dan ia boleh dilaraskan mengikut keadaan semasa.

Getaran

“Menariknya, kesemua alat tersebut tidak terhad kepada bangunan tetapi boleh digunakan pada jambatan, kenderaan, mesin, jeti, jalan kereta api atau apa sahaja struktur yang terdedah kepada getaran.

“Selepas 12 tahun membangunkan teknologi itu, ia sedia dipasarkan dengan penjimatan sehingga 60 peratus bebanan kos berbanding alatan import yang mempunyai kapasiti sama di pasaran,” jelas Koordinator Penyelidikan, Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam, UPM itu.

Satu produk Penyerap Getaran Struktur dijual pada harga antara RM5,000 hingga RM15,000.

Teknologi seumpama ini banyak dibangunkan oleh Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Taiwan tetapi harganya terlalu mahal apatah lagi tidak pernah digunakan bagi bangunan konvensional di Malaysia.

Farzad dan rakan-rakan penyelidik telah menubuhkan syarikat di bawah program Innohub universiti itu dengan dikenali sebagai Uni Transtect Sdn. Bhd.

Baru-baru ini syarikat tersebut telah menandatangani satu dokumen perjanjian bersama syarikat Hercules Engineering (SEA) Sdn. Bhd.

Syarikat Hercules Engineering juga melesenkan produk-produk tersebut bagi pengeluaran besar-besaran dan akan melaksanakannya dalam projek sebenar.

Memandangkan syarikat Hercules Engineering terlibat dengan projek membaik pulih jambatan di Bangladesh, mereka telah mengimplementasikan penggunaan alat tersebut di negara itu.

Bahan hijau

Sementara itu, salah seorang penyelidik utama alat tersebut, Ir. Dr. Mohd. Azmi Mohd. Zain berkata, kecuali Peredam Viskos Pelbagai Guna, kesemua alat-alat ini menggunakan bahan hijau iaitu getah asli yang berfungsi sebagai penyerap getaran.

“Produk penyerap getaran yang dihasilkan oleh Jepun banyak menggunakan elastomer iaitu merangkumi getah sintetik dan harganya jauh lebih mahal.

“Oleh itu, kami membuat keputusan untuk menggunakan getah asli memandangkan Malaysia negara pengeluar terbesar bahan ini dan ia sangat berkualiti,” jelas lelaki yang berkelulusan PhD dalam Kejuruteraan Awam, UPM.

Lelaki yang berasal dari Rawang, Selangor itu menjelaskan, penggunaan bahan mentah asli itu selain dapat menjimatkan kos ia juga menawarkan prestasi sama dengan produk keluaran di AS dan Jepun.

Mengulas lanjut mengenai fungsi setiap satu produk itu, Mohd. Azmi berkata, Dinding Peredam Getah sesuai untuk mengelakkan kerosakan bangunan dan ia dipasang bagai dinding yang diikat pada dua lantai antara dua tiang.

Peredam Viskos Pelbagai Guna pula, boleh digunakan untuk pergerakan pada struktur jambatan yang di pasang pada rasuk utama dan dermaga jambatan konkrit.

Pendakap Peredam Viskoelastik pula dicipta untuk sistem redaman bangunan, kapal, jambatan, mesin serta apa sahaja struktur yang tertakluk kepada beban getaran dan dipasang dalam badan kapal atau bangunan.

Sementara itu, Pendakap Mampatan Volumetrik pula diletakkan di antara sendi-sendi rangka struktur bagi mengelakkan pergerakan berlebihan yang terhasil daripada getaran gempa bumi.

Ketika berlaku gempa di dalam tanah, kesemua alat itu berfungsi untuk membuang tenaga gempa dan mengecilkan tenaga sedia ada serta perlahan-lahan mengunci pergerakan struktur bangunan.

Bagaimanapun menurut Mohd. Azmi, alat-alat ini bukan hanya untuk kegunaan gempa sahaja tetapi sesuai dipasang pada bangunan-bangunan lama.

Jelas beliau, penghasilan alat tersebut sangat relevan dengan situasi terkini di Malaysia apabila telah dimasukkan ke dalam senarai jaluran Lingkaran Api Pasifik.

Ini bermakna, Malaysia tidak terkecuali merasai gegaran atau gempa bumi terutamanya di Sabah serta negeri-negeri lain yang pernah di landa tsunami.

Selain Sabah atau Sarawak, pada tahun 2009, telah direkodkan berlakunya gempa dengan ukuran 4.5 pada skala Richter di tenggara Janda Baik, Pahang.

Alam sekitar

Seorang lagi penyelidik, Mehdi Mohammadi berkata, produk tersebut dapat memberi manfaat kepada komuniti dengan mengurangkan risiko kehilangan nyawa apabila berlaku bencana alam.

“Alat ini dapat mengurangkan kesan kepada kerosakan alam sekitar yang terhasil daripada kegagalan struktur ekoran getaran berlebihan.

“Di samping itu ia juga dapat mempromosikan industri getah Malaysia memandangkan alat ini menggunakan bahan tersebut dalam penghasilannya,” kata pelajar Phd Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan, UPM itu.

Antara sasaran pengguna untuk alat tersebut terdiri daripada pemaju hartanah bagi bangunan pencakar langit, pemilik hartanah bagi struktur am dan industri berkaitan pembinaan bangunan.

Pasukan penyelidik itu menerima bantuan dana Geran Universiti Putra Malaysia dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Produk Penyerap Getaran Struktur menerima pelbagai anugerah seperti Very Best Award dan pingat emas di Ekspo Teknologi Malaysia pada tahun 2014, Pusat Dagangan Dunia Putra, 
Kuala Lumpur.