Dua tahun lalu, Alleles, sebuah syarikat reka gaya yang baru bertapak di Kanada telah tertarik melihat aksi jurugambar fesyen itu yang dikongsikan di laman Instagram.

Pemilik syarikat itu telah membuat keputusan untuk mengirim produk terbaharu keluaran mereka iaitu sarung kaki prostetik kreatif kepada Madison.

“Ketika menerima bungkusan kiriman itu, saya berasa seperti menerima hadiah Krismas dan sarung kaki itu jelas kembali meningkatkan keyakinan dalam diri.

“Kehadiran saya di tempat awam juga sentiasa mendapat perhatian sehingga saya rasa rimas. Namun, kini mereka lebih melihat sarung kaki yang saya gayakan sebagai satu seni,” ujar Madison, 45, yang juga kadangkala kurang berasa selesa ketika berjalan dengan kaki prostetik titanium itu.

Ternyata ramai lagi orang kelainan upaya (OKU) lain yang menjalani kehidupan lebih selesa dengan produk terbaharu itu yang bukan sahaja meningkatkan keyakinan bahkan turut menampilkan gaya mereka yang tersendiri.

Praktikal

Sebuah pameran, Access+Ability yang menampilkan pelbagai rangkaian produk dari peringkat asas sehingga berteknologi tinggi telah dianjurkan di Muzium Reka Bentuk Copper Hewwitt di New York, Amerika Syarikat sehingga bulan September ini.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin banyak inovasi produk yang khusus untuk OKU bagi memberi kemudahan kepada mereka telah diperkenalkan,” jelas kurator pameran itu, Cara McCarty.

Di samping sarung kaki kreatif yang dihasilkan oleh Alleles, pameran itu turut menampilkan kasut Nike FlyEase yang direka bagi memudahkan rutin kehidupan individu yang mengalami palsi serebrum di mana tali kasutnya cukup mudah untuk diselaraskan.

Tongkat dengan pelbagai pilihan warna turut ditampilkan pada pameran itu.

Selain itu, alat bantu dengar seperti subang gergasi dan gelang yang dihubungkan ke aplikasi GPS di telefon pintar bagi memudahkan pergerakan OKU turut dipamerkan.

Sepasang jaket dengan rekaan terpisah pada dua bahagian juga ditampilkan oleh Target. Ia dipercayai memudahkan ibu bapa untuk memakaikannya kepada anak-anak OKU.

Menurut pengarah muzium itu, Caroline Baumann, kunci utama dalam penghasilan sebuah produk itu wajar dilihat pada fungsinya yang praktikal dan mudah.

“Ketika pereka Target menghasilkan jaket itu, mereka turut mengambil kira kesukaran ibu bapa untuk menggayakan anak-anak yang menghidap autisme.

“Saya cukup suka melihat inovasi rekaan jaket itu dan akan membelinya untuk anak saya yang berusia tiga tahun kerana menganggap ia adalah satu cabaran untuk memakaikannya berbanding jaket biasa,” jelas Baumann dalam nada ketawa.

Matt Kroeker yang menguruskan sebuah syarikat kecil, Top & Derby di Kanada pula telah menghasilkan koleksi tongkat berwarna-warni bagi memudahkan warga emas berjalan.

Kroeker menjelaskan, idea penghasilan produk itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada fungsinya, malah ia turut memberi keseronokan kepada penggunanya.

Pengedar

“Ia ibarat kaca mata yang mula diperkenalkan pada era 40-an dan secara perlahan-lahan mengalami revolusi sehingga kini dan dianggap sebagai satu aksesori dalam bidang fesyen,” kata Kroeker yang memberi suntikan kreatif pada stoking dengan pelbagai warna menarik.

Menurut Kroeker, cabaran utama dalam mengetengahkan produk itu bukan pelanggan tetapi mencari pihak pengedar.

“Masih ada individu yang mengekalkan mentaliti di takuk yang lama sehingga sukar untuk menerima inovasi terutama dalam bidang fesyen dan produk penjagaan kesihatan rumah. Maka menjadi tanggungjawab kami untuk mengubahnya,” ujar Kroeker.

Madison juga berusaha mengubah persepsi sesetengah individu dengan membuka akaun Instagram khusus bagi sarung kaki prostetiknya.

“Ia umpama cuba untuk memecahkan stigma, agar OKU tidak malu untuk memperlihatkan alat bantu pendengaran dan kaki prostetik mereka. Ia secara tidak langsung meyakinkan lagi kehidupan mereka apabila menggayakan rekaan kreatif dan penuh inovasi,” jelas Baumann. – AFP