Pada masa sama, Amnesty International iaitu sebuah organisasi bukan kerajaan mengenai hak asasi manusia berpangkalan di London, England menunjukkan, berpuluh-puluh kecederaan serius dilaporkan berlaku akibat penggunaan senjata renjatan elektrik berkabel jenis Taser X-26 yang digunakan pada hari ini.

Penggunaan senjata renjatan elektrik berkabel telah digunakan oleh lebih daripada sejuta anggota polis di kebanyakan negara di seluruh dunia sejak dari tahun 1974 lagi.

Di Malaysia, penggunaan senjata renjatan elektrik berkabel diperkenalkan untuk kegunaan dalam kalangan anggota polis sejak tahun 2014. Penggunaan senjata renjatan elektrik teknologi berkabel itu bagaimanapun sudah dianggap lapuk untuk melindungi anggota keselamatan daripada ancaman serangan penjenayah.

Bagi tujuan membendung masalah tersebut, satu ciptaan terkini berupa pistol renjatan elektrik tanpa wayar telah diperkenalkan oleh syarikat Albayrak Group of Companies, iaitu sebuah syarikat dari Turki yang terlibat dalam pelbagai sektor termasuk industri teknologi pertahanan, pelancongan, perhotelan dan pengurusan sisa pepejal.

Dibangunkan dengan sokongan oleh Albayrak Defense Technology Industry AS, pistol renjatan elektrik tanpa wayar dikenali sebagai Wattozz Gun turut disokong oleh pasukan penyelidik yang terdiri dalam kalangan ahli sains, tokoh akademik dan golongan profesional Turki.

Wattozz Gun yang pertama kali dibangunkan pada tahun 2015 itu telah dilancarkan di Ankara, Turki pada 5 Disember 2018 itu turut di perkenalkan di Malaysia melalui syarikat Dian Synergy Sdn. Bhd. (Dian Synergy) yang dilantik sebagai pengedar eksklusif senjata elektrik tanpa wayar tersebut untuk pasaran di negara ini.

Kesan jangka pendek

Menurut Pengerusi Albayraklar Group, Adnan Albayrak, sebelum menghasilkan Wattozz Gun, syarikatnya sebelum ini pernah menghasilkan senjata berat berteknologi tinggi berupa kenderaan tanpa pemandu selain beberapa senjata ketenteraan lain.

“Senjata kami dihasilkan oleh pakar-pakar dari Turki dengan tahap teknologi yang sama sekali berbeza daripada kelaziman, selain ia diperbuat daripada bahan 100 peratus asli,” ujar Albayrak.

Ujarnya lagi, senjata tersebut direka untuk kesan jangka pendek bagi melumpuhkan penjenayah dan bukan menyebabkan sebarang kesan kerosakan jangka panjang.

Teknologi yang diterapkan melalui ciptaan Wattozz Gun itu sekali gus merupakan pilihan selamat untuk memberkas orang yang disyaki terlibat dalam jenayah tanpa menyebabkan kematian atau kecederaan kekal.

Selaku pengedar eksklusif Wattozz Gun di Malaysia, Pengarah Urusan Dian Synergy, Bahtiyar Rahim sewaktu ditemui kru Panorama baru-baru ini memberitahu, penggunaan senjata renjatan elektrik berkabel yang digunakan pada hari ini sudah dianggap tidak relevan dan praktikal.

Katanya, senjata renjatan elektrik berkabel yang digunakan untuk melindungi diri daripada serangan peribadi diakui masih digunakan di kebanyakan negara di seluruh dunia, namun penggunaannya dilihat turut mendatangkan kesan kecederaan serius kepada suspek.

“Berita banyak melaporkan bahawa renjatan elektrik daripada senjata teknologi berkabel itu telah menyebabkan berlakunya kecederaan serius selain melibatkan kematian,” ujar Bahtiyar.

Namun, Wattozz Gun telah direka untuk kesan jangka pendek sahaja, iaitu dengan melumpuhkan seseorang tanpa menyebabkan berlaku apa-apa kerosakan terutamanya pada fungsi neuro dan anggota badan suspek selepas terkena peluru elektrik yang dilepaskan oleh anggota keselamatan.

Jarak 10 meter

Berbicara lebih lanjut, Bahtiyar menjelaskan, penggunaan senjata api terhadap penjenayah mempunyai beberapa prosedur operasi standard yang perlu diikuti oleh anggota keselamatan jika berdepan dengan risiko diserang.

Dalam situasi-situasi tertentu, anggota keselamatan tidak boleh melepaskan tembakan senjata api dengan sewenang-wenangnya ke atas penjenayah jika dia tidak diancam dengan serangan menggunakan senjata berbahaya.

“Namun, dengan menggunakan Wattozz ke atas penjenayah, pistol renjatan elektrik tanpa wayar ini akan menyebabkan suspek lumpuh sementara sebelum jatuh.

“Secara tidak langsung, ia memudahkan anggota keselamatan untuk mengambil tindakan ke atas penjenayah tersebut,” jelas Bahtiyar.

Apa yang penting, Wattozz Gun tidak mendatangkan kecederaan serius sehingga menyebabkan kematian terhadap penjenayah apabila peluru mengandungi aliran elektrik yang dilepaskan hanya berkapasiti 1,000 voltan (V) hingga 28,000V, berbanding pistol elektrik renjatan berkabel (sehingga 50,000V).

Seratus peratus buatan Turki, pistol renjatan elektrik tanpa wayar Wattozz Gun sesuai digunakan untuk mengatasi pelbagai risiko dengan keupayaan menembak sejauh 10 meter, berbanding pistol renjatan elektrik berkabel, iaitu hanya lima meter sahaja.

Dikawal jarak jauh

Menurut Timbalan Pengarah Urusan Dian Synergy, Nik Iskandar Zainal Rahim, Wattozz Gun dilengkapi dengan beberapa ciri istimewa seperti peluru kawalan jauh tanpa wayar, ciri dua tembakan berturut-turut, kamera definisi tinggi binaan dalaman dengan sistem anti getaran, picu bersensitiviti tinggi serta sistem pencucuh bebas serbuk api dan gas.

“Apa yang penting sekali, Wattozz Gun ini tidak mempunyai risiko untuk meletup dengan sendiri seperti beberapa kes yang berlaku pada pistol renjatan elektrik berkabel,” kata Nik Iskandar.

Menjelaskan lebih lanjut, setiap pucuk Wattozz Gun mengandungi dua butir peluru elektrik berbentuk kartrij yang dimasukkan pada bahagian atas pistol.

Peluru yang melekat pada anggota badan selepas dilepaskan masih boleh mengalirkan arus elektrik yang dikawal secara jarak jauh menggunakan pemacu pada Wattozz Gun itu.

“Kekuatan arus elektrik pada peluru itu boleh ditingkatkan secara kawalan jauh mencecah 28,000V sehinggalah suspek boleh diuruskan oleh anggota keselamatan dengan mudah.

“Elektrik yang digunakan itu tidak mengganggu sistem neuro sebaliknya hanya melemahkan anggota badan,” ujarnya.

Walaupun harga bagi sepucuk Wattozz Gun itu masih belum diputuskan, pihak Dian Synergy selaku pengedar tunggal di Malaysia memberi jaminan harganya jauh lebih murah berbanding pistol renjatan elektrik berkabel.

Selaku syarikat perintis berteknologi dan inovasi yang berkepakaran dalam solusi ketenteraan dan pertahanan, Dian Synergy yang baru ditubuhkan pada tahun lalu menyasarkan jualan 5,000 hingga 10,000 unit setahun apabila ia berada di pasaran Malaysia nanti.

Selaku pengedar tunggal yang memasarkan Wattozz Gun di Malaysia dan lima produk ketenteraan dan keselamatan yang lebih sofistikated, Bahtiyar berharap agar badan-badan korporat besar seperti Khazanah Nasional, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad dan para pelabur tampil dengan sokongan pelaburan dan turut sama menyertai perjalanan pembangunan teknologi bersama Dian Synergy bagi membina peranti pertahanan dan ketenteraan canggih buatan tempatan.

Dian Synergy jadi pengedar eksklusif pasarkan pistol renjatan elektrik tanpa wayar pertama dunia di Malaysia untuk tujuan keselamatan yang lebih mantap dan efisien.