Katanya, influenza membuatkan tenaga dan sistem imunnya menyusut pantas. Dalam masa 24 jam, dia langsung tidak bermaya berbanding semasa menghidap denggi.

“Bayangkan, saya tidak pernah terbaring di kerusi hospital biarpun disebabkan denggi tetapi apabila dijangkiti influenza, saya tiada tenaga langsung,” ceritanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Wartawan di sebuah organisasi media itu berkata, beliau dan beberapa rakan wartawan lain yang mengikuti rombongan itu mengambil remeh nasihat penganjur mengenai kepentingan pemakaian penutup hidung dan mulut kerana pada masa itu, Jepun mengalami serangan influenza.

“Ketika diserahkan kepada keluarga angkat di Hokkaido, saya sudah rasa tidak sihat. Ingatkan demam biasa tetapi esoknya keadaan masih sama lalu ibu angkat membawa saya ke farmasi untuk membeli ubat tetapi tidak berkesan.

“Akhirnya, terpaksa menghubungi pihak penganjur yang membawa kami ke hospital.Rupa-rupanya, saya dan beberapa rakan media lain disahkan menghidap influenza A,” katanya.

Mereka diberi rawatan segera bagi meredakan kesakitan. Rawatan pantas itu tidak mengurangkan suhu demam yang melebihi 39 darjah Celsius ketika itu namun, ia membantu memberi kelegaan kepadanya dan rakan lain serta tidak perlu dimasukkan ke wad.

Maut

Katanya, penganjur turut mengasingkan mereka dengan memberi bilik berasingan dan sentiasa memantau suhu badan bagi memastikan tidak berlakunya jangkitan influenza. Mujur selepas beberapa hari, suhu badan kembali normal.

Berikutan hampir separuh daripada rombongan media itu dijangkiti influenza, program pembudayaan itu terpaksa dihentikan dan mereka perlu kembali ke negara asal secepat mungkin.

Presiden Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC) Prof. Dr. Zamberi Sekawi berkata, kesedaran masyarakat mengenai influenza belum memuaskan. Majoriti masyarakat sering keliru antara demam selesema biasa atau influenza, yang juga dikenali sebagai flu, berikutan simptomnya yang hampir sama seperti demam, batuk dan selesema.

Dua penyakit itu sebenarnya berbeza. Mereka yang dijangkiti influenza akan mengalami demam lebih teruk, batuk, sakit otot badan, sakit kerongkong, timbul pelbagai komplikasi penyakit lain seperti radang paru-paru, meningitis dan asma yang berisiko menyebabkan kematian jika tidak dirawat awal.

“Sedangkan, demam selesema biasa tidak membawa maut. Ini menunjukkan bahawa penyakit influenza tidak boleh diambil ringan,” jelasnya.

Zamberi menambah, influenza boleh menjangkiti sesiapa sahaja. Individu tanpa penyakit kronik, boleh sembuh daripada influenza dalam masa beberapa hari. “Apa yang membimbangkan kami ialah golongan berisiko tinggi kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan termasuk kehilangan nyawa,” katanya.

Antara kumpulan berisiko tinggi ialah kanak-kanak di bawah usia lima tahun, wanita hamil, warga emas berusia lebih 65 tahun, penghidap penyakit pernafasan seperti asma serta penyakit obstruktif pulmonari kronik (COPD), pesakit diabetes dan jantung selain pelancong.

Hakikatnya, influenza boleh dicegah melalui vaksinasi. Selain kurang kesedaran, masyarakat menganggap influenza adalah penyakit musim sejuk di negara-negara empat musim.

Sedangkan, influenza juga berlaku di negara beriklim tropika seperti Malaysia. Ia terbahagi kepada empat jenis iaitu Influenza A (H1N1, H3N2) dan Influenza B (B/Yamagata dan B/Victoria).

“Di Malaysia, lazimnya influenza B. Ia sangat mudah berjangkit kerana virus influenza boleh tersebar daripada individu kepada individu lain menerusi air liur melalui batuk, bersin atau bercakap.

“Virus yang tersebar pada permukaan objek seperti pintu boleh bertahan lebih daripada sejam dan seseorang itu boleh dijangkiti jika seseorang menyentuhnya,” katanya.

Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatalogi, Hospital Pakar KPJ Damansara Datuk Dr. Musa Mohd. Nordin pula berkata, adalah menyedihkan melihat ramai yang beranggapan pengambilan vaksin semasa hamil akan memudaratkan kesihatan bayi yang dikandung seperti kemungkinan berlaku kecacatan.

Berjangkit

“Sedangkan kajian di Amerika Syarikat mendedahkan, yang menyuntik vaksin itu kepada dua juta wanita mengandung dari tahun 2003 hingga 2005, tiada sebarang masalah berlaku kepada kandungan mereka.

“Ini membuktikan pengambilan vaksin adalah selamat untuk wanita hamil bagi melindungi ibu dan bayi sehinggalah beberapa bulan selepas dia dilahirkan,” katanya.

Suntikan vaksin influenza tidak boleh diberikan kepada bayi berumur kurang enam bulan. Statistik menunjukkan mereka terdedah dua kali ganda dan boleh dimasukkan ke hospital akibat jangkitan influenza.

Tambah Musa, kanak-kanak berusia kurang lima tahun juga berisiko kerana sistem imun mereka masih rendah malah berjuta-juta kanak-kanak dijangkiti influenza setiap tahun.

Dalam keadaan paling teruk, jangkitan boleh merebak daripada kanak-kanak kepada anggota keluarga lain serta berisiko menyebabkan kematian.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan setiap individu berusia enam bulan ke atas harus mengambil vaksin influenza setiap tahun kerana virus itu sentiasa bermutasi.

Berikutan itu, kata Pakar Perunding Geriatrik, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof. Dr. Tan Maw Pin, menggalakkan orang ramai untuk mendapatkan suntikan vaksin pada bulan September atau Oktober.

“Biasanya vaksin baharu dikeluarkan antara kedua-dua bulan itu.

“Virus influenza sentiasa bermutasi dan tindak balas imun tubuh juga semakin berkurangan. Oleh itu, digalakkan mengambil vaksin setiap tahun untuk perlindungan optimum,” katanya. – Bernama