Sejak beberapa dekad lalu, bukit pasir yang indah, ngarai dan oasis menakjubkan di rantau Adrar menjadi zon tidak boleh dilawati bagi warga Eropah.

Bahaya serangan pengganas dan penculikan masih berlaku, sekali gus membayangi keputusan Mauritania untuk bergabung dengan empat negara lain dalam memerangi pelampau di Sahel.

Namun, selepas Perancis mengurangkan risiko keselamatan untuk Adrar, sejumlah kecil pelancong Perancis kini kembali berkunjung ke sana, sekali gus menjana ekonomi tempatan.

“Saya merindukan Sahara. Warna-warninya, angin meniup pasir dan langit yang dipenuhi bintang.

“Apabila saya tidur di bawah kerlipan bintang yang memenuhi ruang angkasa di perkhemahan itu, saya berasa seperti saya berada di dalam kokun,” kata Godin, seorang pesara dari La Rochelle di barat Perancis.

Sejak berabad-abad lalu, pekan-pekan kuno Mauritania iaitu Chinguetti, Oualata, Tichitt dan Wadan adalah pusat utama bagi kumpulan pedagang atau pengembara di sepanjang laluan Sahara untuk menjual emas serta garam.

“Sejak saya kecil lagi, saya begitu terpesona dengan legenda-legenda pedagang atau pengembara yang hebat,” kata salah seorang pelancong, Guillaume Jordan.

Adrar iaitu sebuah wilayah yang terletak 400 kilometer di timur laut ibu kota Mauritania, Nouakchott pernah menjadi pusat perniagaan kecil-kecilan pelancongan yang berkembang pesat.

Ia menawarkan keindahan dan aktiviti ekstrem di padang pasir itu kepada pelancong-pelancong Eropah dengan sentuhan cita rasa pengembaraan.

Pada tahun 2000, rantau itu telah menarik seramai 14,000 pelancong setahun, terutamanya dari Perancis, Belanda, Itali, Sepanyol, Jepun dan Britain.

Namun, aktiviti itu menjunam seketika apabila empat pelancong Perancis ditembak mati pada tahun 2007, serangan yang diakui oleh sekutu al-Qaeda sendiri.

Pada tahun berikutnya, perlumbaan kereta Rali Dakar yang boleh meningkatkan sumber ekonomi di negara itu telah dibatalkan kerana faktor keselamatan. Perlumbaan itu dipindahkan ke Amerika Selatan.

Perniagaan pelancongan mulai terganggu dan menjadi teruk apabila berlakunya serangan pelampau pada tahun 2011.

Penerbangan

Namun, sinar harapan pertama muncul pada bulan Mac tahun lalu apabila Kementerian Luar Perancis mengurangkan risiko keselamatan di rantau itu.

Risikonya dikategorikan dengan warna ‘oren’ yang bermaksud apa-apa perjalanan tidak digalakkan kecuali atas sebab-sebab tertentu.

Didorong oleh perubahan itu, syarikat pelancongan Perancis, Point-Afrique Voyages melancarkan penerbangan antara Paris dan Atar, bandar serantau utama pada hari Krismas tahun lalu dengan penerbangan pertama di laluan tersebut sejak tahun 2011.

Sejumlah 14 penerbangan yang dibantu dengan subsidi kerajaan Mauritania berjumlah kira-kira AS$422,000 (RM1.66 juta) telah dijadualkan sehingga 24 Mac depan.

Point-Afrique Voyages menyatakan, separuh daripada penerbangan itu sudah diisi, lebih daripada 1,000 pengunjung telah mendaftar.

“Sejak penerbangan ke Atar disambung semula, jumlah kunjungan orang ramai ke kawasan itu juga telah meningkat,” kata Ketua Pejabat Pelancongan Nasional Mauritania, Mohammed Baould Ne.

Pengarah Mauritanides Voyages, Kadi Mehdi menggambarkan tahun 2018 sebagai ‘musim ujian’ untuk kebangkitan pengunjung Eropah. Cabaran utama bagi industri pelancongan adalah untuk membuktikan negara itu selamat.

“Puluhan anggota polis sering meronda di kawasan ini. Kita tidak dapat melihatnya, namun mereka ada di mana-mana,” kata Mehdi.

Penerbangan dan peningkatan pengunjung memberikan harapan kepada pemandu pelancong, pemilik-pemilik unta dan pengusaha hotel yang banyak menganggur, kebanyakan mereka adalah mangsa-mangsa ekonomi akibat serangan puak pelampau tersebut.

“Kami telah terhenti selama hampir satu dekad. Banyak pesawat mulai tiba, bandar raya (Chinguetti) kini hidup semula,” kata pemilik hostel, Lemine Bahan.

Pengarah Point-Afrique Voyages, Maurice Freund berkata, peningkatan dan penurunan kedatangan pelancong tidak boleh dipandang remeh.

Mauritania adalah sebahagian daripada kumpulan G5 Sahel termasuk Burkina Faso, Chad, Mali dan Niger. Negara-negara itu menubuhkan pasukan lima negara untuk memerangi puak pelampau. – AFP