Pada awal Ogos lepas, sebuah portal tempatan, Says telah melaporkan bahawa peruncit buku terkenal, MPH Group Malaysia Sdn. Bhd. (MPH), telah menutup pintu salah satu cawangan utamanya di negara ini yang terletak di pusat beli-belah 1Utama, Petaling Jaya, Selangor setelah selama 15 tahun beroperasi.

Susulan langkah itu, MPH kini mempunyai kurang daripada 30 rangkaian kedai buku di Malaysia.

Penutupan itu tentunya telah mengejutkan pasaran, khususnya kepada pencinta buku, memandangkan cawangan tersebut sememangnya salah satu kedai buku ikonik di Lembah Klang.

Presiden Persatuan Penjual Buku Malaysia, Keith Thong mengakui bahawa tindakan MPH itu merupakan bukti cabaran semasa yang dihadapi industri perbukuan tanah air, khususnya dengan kemerosotan pembelian buku di kedai fizikal.

“Sejak bertahun-tahun lamanya, kedai buku di Malaysia kurang mendapat perhatian dan memaksa peruncit terlibat untuk mengurangkan sehingga memaksa mereka menutup operasi jualan.

“Antara faktor yang mempengaruhinya termasuk pengguna lebih memilih buku digital, kemudahan yang disediakan kedai buku dalam talian serta peningkatan kadar sewaan lot kedai, khususnya di pusat-pusat beli-belah utama,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menjelaskan lanjut, Keith berkata, margin penjualan buku yang sedikit tidak mampu mengatasi kadar sewa lot-lot berkenaan, selain peningkatan kos operasi.

“Dengan era penjualan buku terpakai dan lebihan terbitan yang kebiasaannya judul-judul lama, orang ramai juga memberi tumpuan pada buku-buku yang berharga lebih murah berbanding terbitan baharu yang tentunya berharga lebih tinggi.

“Ini juga memberi kesan kepada kedai-kedai buku fizikal yang sentiasa menawarkan edisi-edisi terbaharu bagi menarik pelanggan,” ujarnya.

Beliau juga tidak menafikan bahawa generasi muda hari ini kurang memberi tumpuan pada pembacaan buku berkualiti, sebaliknya lebih memilih aspek hiburan apabila membuat pembelian di kedai buku.

 

Kelangsungan hidup

“Disebabkan itu, kebanyakan kedai buku tidak hanya menawarkan buku, sebaliknya alat tulis, alat permainan serta barangan hiburan lain untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan yang mencabar dan penuh saingan pada hari ini,” katanya.

Sungguhpun demikian, beliau bersikap optimis dan menggesa agar industri perbukuan mengubah cara perniagaan dan pendekatan berbeza dalam meneroka pasaran semasa.

Jelasnya, industri peruncitan buku tidak boleh lagi bergantung kepada kaedah tradisional dalam perniagaan dengan hanya membuka kedai dan menawarkan bahan bacaan biasa kepada pelanggan tetapi mengikut aliran semasa.

“Selain menggunakan teknologi bagi mengumpul data untuk analisis pasaran serta membentuk strategi yang dapat menambah baik perniagaan serta mengoptimumkan saluran sosial media untuk menjual buku dan memperluaskan lagi capaian pelanggan, peruncit-peruncit terlibat boleh mengubah perniagaan mereka kepada kedai buku alaf baharu yang menyediakan perkhidmatan yang lebih khusus kepada pelanggan.

“Perkhidmatan tersebut boleh melibatkan bantuan penyenaraian buku yang spesifik bagi kehendak pelanggan, cadangan buku atau penulis yang bersesuaian dengan gaya hidup mereka dan khidmat penyediaan perpustakaan di rumah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBK), Abd. Wahab Ibrahim berkata, kajian Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapati rakyat Malaysia membaca purata 15 buah buku setahun.

“Sebelum zaman media sosial, buku merupakan satu bentuk hiburan dan mengisi masa terluang tetapi pada hari ini, mod pembacaan golongan muda hari ini telah berbeza dengan bacaan hanya untuk mendapatkan maklumat khusus.

“Walaupun perkembangan teknologi itu bermanfaat tetapi ia memberi kesan kepada industri perbukuan dan menjadikan pasarannya semakin kecil,” katanya.