Sewaktu menjaga kambing-kambing peliharaannya di sebuah ladang rumput, penggembala muda itu berasa hairan apabila sering melihat binatang tersebut melompat-lompat selepas memakan buah dan daun yang tidak diketahui namanya.

Menariknya, situasi itu bukan sahaja dialami oleh penggembala muda tersebut.

Pada abad ke-15, penggembala kambing di Yemen turut mengalami kejadian serupa.

Penggembala beragama Islam itu sering berjaga malam bagi menunaikan solat sebelum mengambil buah tersebut dan mengolahnya untuk disajikan sebagai satu hidangan.

Bagaimanapun, tiada rasa lazat yang dijumpai mereka. Selepas cuba mengolah buah itu dengan pelbagai cara, akhirnya seorang penggembala merebus buah tersebut dan terciptalah satu minuman yang digelar qahwah berikutan airnya berwarna hitam.

Minuman yang disifatkan sebagai begitu sedap oleh penduduk tempatan itu menjadi terkenal sehingga ke wilayah Arab, Mekah, Madinah dan Turki.

 

Sejarah

Setelah tersebar luas, minuman itu turut berubah nama mengikut cara percakapan di setiap negara. Ada yang menyebutnya sebagai kafa, kaffa, kahveh dan akhirnya menjadi cafe apabila berada di Perancis

Seterusnya, ketika pengaruh minuman itu memasuki benua Eropah, namanya terus berubah kepada coffea seperti yang dituturkan sehingga ke hari ini di seluruh dunia.

Dalam pada itu, sejarah kedatangan kopi ke Indonesia bermula apabila kerajaan Belanda menerusi Perusahaan Hindia Timur Belanda (VOC) membawa biji-biji kopi dari Malabar, India ke pelabuhan di Pulau Jawa pada tahun 1696.

Keadaan tanah Indonesia yang subur selain beriklim tropika telah membolehkan minuman yang dipanggil kopi oleh penduduk setempat itu tumbuh dengan baik.

Pada tempoh yang singkat, pekebun di Indonesia berjaya menghasilkan biji kopi berkualiti tinggi dalam kuantiti yang banyak dan turut dieksport ke benua Eropah.

Kini, hampir semua wilayah di Indonesia mengeluarkan kopi dengan keistimewaan masing-masing selain turut diiktiraf sebagai antara negara pengeluar biji kopi terbaik di dunia.

Antara kopi khas yang dihasilkan di Sumatera termasuklah kopi Aceh, kopi gayo, kopi Mandailing, kopi kerinci dan kopi luwak.

Selain itu terdapat kopi lain iaitu kopi malinau dari Kalimantan, kopi kintamani (Bali), kopi flores bajawa (Nusa Tenggara Timur) dan kopi toraha (Sulawesi Selatan).

Kopi Indonesia juga sering kali memenangi pelbagai pertandingan di peringkat antarabangsa sehingga membolehkan ia dijual pada harga mahal berikutan kualiti maksimum yang diberikan.

Pada pameran yang dianjurkan oleh Persatuan Kopi Khas Amerika Syarikat (SCAA) yang diadakan di Atlanta pada April 2016, kopi puntang yang berasal dari Jawa Barat telah terpilih sebagai kopi terbaik di dunia.

Kopi puntang disifatkan mempunyai rasa yang istimewa berikutan kopi berkenaan dibawa khas dari Kenya serta tidak pernah ditanam di tempat-tempat lain.

Selain itu, kopi Gunung Patuha yang berasal dari Ciwidey, Kabupaten Bandung, Jawa Barat juga pernah dijual dengan harga mahal ketika Persidangan Kopi Asia Pasifik iaitu kira-kira Rp2 juta (RM563) sekilogram.



 

Jenama

Dalam pada itu, menurut Timbalan Pengarah Pemasaran Badan Ekonomi Kreatif, Joshua Puji Mulia Simandjuntak, beliau pernah beratur panjang di sebuah kafe dekat Amerika Syarikat (AS) kerana mahu merasai air kopi yang dijual.

“Alangkah terkejutnya saya apabila mengetahui kafe berkenaan menjual kopi ciwidey dari Indonesia.

Rakyat AS sanggup beratur panjang semata-mata mahu menikmati kopi berkenaan.

“Sebenarnya banyak kopi Indonesia telah dipasarkan ke peringkat antarabangsa, namun disebabkan namanya tidak diletakkan sebagai ‘kopi’ menyebabkan orang ramai tidak mengetahui ia berasal dari negara republik ini,” jelasnya.

Menurutnya lagi, perkataan kopi hanya digunakan oleh masyarakat di Indonesia dan Malaysia manakala di peringkat antarabangsa namanya lebih dikenali sebagai coffea.

“Penggunaan perkataan kopi untuk setiap jenis kopi yang dipasarkan bakal membolehkan orang ramai terutamanya rakyat antarabangsa mengetahui ia berasal dari Indonesia.

“Banyak kafe di AS termasuk yang telah membuka cawangan mereka di Indonesia menggunakan kopi dari Sumatera dan Toraja, namun orang ramai tidak mengetahui biji kopi itu berasal dari sini,” jelasnya.

Oleh yang demikian, kami mahu menjadikan perkataan kopi sebagai satu jenama khas sehingga membolehkan orang ramai mengetahui minuman yang dihidangkan itu berasal dari Indonesia.

“Penjenamaan semula kopi Indonesia merupakan fokus utama kita sekarang ini dalam usaha mengembangkan ekonomi negara dan meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.

Justeru, kopi yang dihasilkan di Indonesia diharap mampu mencipta jenamanya sendiri di peringkat dunia agar setanding dengan negara-negara pengeluar kopi yang lain.

Pertubuhan Kopi Antarabangsa turut menyenaraikan Indonesia berada di tangga keempat sebagai negara pengeluar kopi dunia dengan mengeluarkan kira-kira enam juta kopi pada tahun lalu.

Bagaimanapun, Indonesia tidak disenaraikan sebagai 10 negara dunia yang mengeluarkan kopi berkualiti premium.

 

Kolum Khabar Indonesia ini dikelolakan oleh: Agus Setiawan (Antara) dan Megat Ramli Megat Raof (Kosmo!)

 Untuk memberikan respons, sila e-mel ke [email protected]