Indonesia mempunyai potensi yang sangat besar untuk menghasilkan garam bagi memenuhi permintaan domestik, namun disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu, perkara itu gagal dipenuhi.

Berikutan masalah itu, negara republik tersebut terpaksa mengimport komoditi berkenaan bagi memenuhi keperluan jutaan penduduknya.

Pada tahun lalu, pengeluaran garam di Indonesia hanya 144,000 tan berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 3 juta tan manakala keperluan garam domestik sebanyak 4.4 juta tan setahun.

Bagi memastikan pengeluaran garam terus meningkat, pemerintah Indonesia menggalakkan pemain industri untuk menggunakan teknologi terkini bagi aktiviti pemprosesan garam.

Seorang penyelidik daripada Jabatan Perikanan, Subhan Usman berkata, Kementerian Hal Ehwal Maritim dan Perikanan (KKP) perlu menggunakan teknologi terkini untuk memproses garam bagi menyesuaikan diri dengan perubahan iklim yang berlaku.

“Sebelum ini, KKP bekerja keras untuk meningkat pengeluaran garam negara selain pihak pemerintah pula menetapkan sasaran bagi memastikan pengeluaran komoditi itu mencukupi menjelang tahun 2020.

Fenomena

“Usaha untuk meningkatkan pengeluaran garam merupakan satu cabaran besar kerana ia perlu menggunakan teknologi canggih selain kawasan tanah laut yang tidak mencukupi,” katanya baru-baru ini.

Subhan memberitahu, fenomena cuaca yang sentiasa berubah termasuk fenomena La Nina turut dijadikan sebagai punca utama kegagalan pengeluaran garam di Indonesia pada tahun lalu.

“Hujan yang lebat menghalang proses pengeluaran garam di kawasan penghasilan garam seperti Madura yang menjadi pengeluar utama bagi sektor perindustrian dan penggunaan domestik.

“Bagi menyelesaikan masalah ini, pihak pemerintah menerusi Agensi Penilaian dan Penerapan Teknologi akan menggunakan kecanggihan teknologi untuk meningkatkan kualiti serta pengeluaran garam di Indonesia,” jelasnya.

Penggunaan teknologi terkini dalam sektor pengeluaran garam membolehkan sebanyak 22,000 hektar kawasan penghasilan komoditi itu menerima manfaat, seterusnya memodenkan industri perladangan garam.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat untuk Keadilan Perikanan, Susan Herawati berkata, pihak KKP, Kementerian Perdagangan, Kementerian Perindustrian, syarikat garam milik negara PT Garam dan Biro Pusat Statistik merupakan institusi penting yang menyelia hal-hal berkaitan komoditi itu.

“Kelima-lima agensi ini perlu mengadakan perbincangan segera dan membawa perubahan dalam usaha mencari jalan penyelesaian untuk merealisasikan hasrat memenuhi permintaan garam di Indonesia.

“Selain itu, masalah pengurusan pengeluaran garam juga perlu diberi perhatian serius dan banyak pihak harus memainkan peranan dalam mencari jalan penyelesaian terbaik,” ujarnya.

Tambahnya, masalah yang sering dihadapi oleh negara-negara penghasilan garam seperti kekurangan kemudahan dan infrastruktur di kolam pengeluaran harus diatasi segera.

“Antara masalah lain yang turut membelenggu petani garam ialah kekurangan sumber air bersih, masalah kebersihan kolam dan kekurangan teknologi kos rendah bagi mengeluar serta memproses garam.

“Permasalahan lain seperti peranan orang tengah dalam memastikan proses pengedaran dan pemasaran garam selain harga komoditi berkenaan yang rendah turut membelenggu,” jelasnya.

Permit

Susan menggesa pihak pemerintah agar meningkatkan pengeluaran dan mengurangkan import selepas ia mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak tiga juta tan pada tahun 2016.

Pihak pemerintah Indonesia sebelum ini mengeluarkan permit import kepada pengeluar garam milik negara iaitu PT Garam untuk mengimport 75,000 tan garam mentah dari Australia.

Indonesia telah mengimport garam sejak dua dekad lalu walaupun republik berkenaan mampu untuk meningkatkan pengeluaran bahan masakan itu antara tempoh 2012 hingga 2015.

Hampir 22,000 hektar tanah di Indonesia mempunyai potensi besar bagi menghasilkan garam secara semula jadi terutamanya di kawasan Nusa Tenggara Timur (NTT), Jawa, Madura dan Sulawesi Selatan.

Menurut Pengarah PT Garam, Dolly Parlagutan, pihaknya merancang untuk mengembangkan perniagaan penghasilan garam dengan mewujudkan kira-kira 10,000 hektar tanah bagi mencukupkan keperluan komoditi tersebut pada tahun 2019.

“Selain itu, kami turut membina sebuah kuari garam baharu berkonsepkan separa mekanikal di NTT dan berharap pengeluarannya mampu dituai pada tahun 2020 bagi memenuhi keperluan domestik.

“Kualiti garam yang dihasilkan di NTT turut disifatkan setanding garam import dengan mempunyai kandungan natrium klorida sebanyak 97 peratus,” jelasnya.

Ketika ini, syarikat PT Garam menghasilkan kira-kira 350,000 hingga 400,000 ribu tan garam menerusi 5,340 hektar ladang milik mereka di Pulau Madura.

Kolum Khabar Indonesia ini dikelolakan oleh: 
l Agus Setiawan (Antara) 
l Megat Ramli Megat Raof (Kosmo!)
Untuk memberikan respons, sila e-mel

ke [email protected]