Pesawat malang itu yang membawa seramai 189 penumpang dan kru terhempas ke dalam Laut Jawa dekat pesisir pantai Pakis Jawa, Indonesia selepas 13 minit berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada pukul 6.20 pagi.

Kapal terbang berusia tiga bulan itu sepatutnya dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Pangkal Pinang di Kepulauan Bangka Belitung pada pukul 7.20 pagi namun gagal berbuat demikian selepas terhempas ke dalam laut.

Menurut Koordinator Posko Himpunan Psikologi Indonesia (Posko), Servasus Samuel, kebanyakan ahli keluarga mangsa terlibat nahas itu mengalami kejutan dan trauma teruk berikutan masih terkejut dengan apa yang telah terjadi.

“Buat masa ini, pasukan Posko telah berjumpa dengan puluhan ahli keluarga mangsa bagi memulihkan semula semangat mereka selepas kehilangan insan tersayang seperti isteri, suami, ibu bapa dan anak-anak.

“Kehadiran kami juga disifatkan sebagai penting berikutan mampu memberi impak yang besar terhadap kesihatan psikologi mangsa. Mereka memerlukan sokongan bagi memulihkan masalah jiwa yang dihadapi,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Servasus memberitahu, pihaknya berharap agar keluarga mangsa bersikap lebih terbuka sekali gus memudahkan proses dialog serta pertukaran pendapat bersama orang lain.

“Atas sebab itu, seluruh anggota masyarakat khususnya kaum keluarga terdekat dinasihatkan untuk bersikap lebih prihatin terhadap keluarga mangsa, seterusnya membolehkan proses pemulihan mental dilakukan sebaik mungkin,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang penumpang Lion Air dengan daftar penerbangan JT-610 itu sempat mengirimkan sekeping gambar kepada bapanya sebelum pesawat malang berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

Penumpang berkenaan, Deryl Fida Febrianto telah mengirimkan sekeping gambar pada pukul 5.58 pagi dengan menunjukkan dia telah berada di dalam pesawat serta bersedia untuk berlepas.

Hantar gambar

Menurut bapa mangsa, Didik Setiawan, sebelum pesawat tersebut berlepas, anaknya ada menghubungi dan memberitahu sudah berada di dalam perut pesawat Lion Air.

“Dia ada menghantar gambar ketika berada dalam pesawat itu namun tidak ada memberi pesanan yang khusus dan tiada menunjukkan tanda-tanda pelik.

“Saya ada membalas mesej yang dihantar Deryl dengan mengirimkan doa dan kata-kata semangat berikutan dia bakal memulakan pekerjaan dalam bidang pelayaran namun pesanan yang dikirim pada pukul 7 pagi tidak sampai,” katanya ketika ditemui di Surabaya.

Didik menambah, selepas tidak menerima pesanan balas daripada Deryl, dia mula berasa resah dan gelisah.

Kerjaya

“Saya terus memeriksa tiket pesawat yang dinaikinya dan ternyata Deryl berada dalam penerbangan Lion Air JT-610. Saya juga ada menghubungi ahli keluarga lain bagi menanyakan khabar namun tiada sebarang perkembangan.

“Saya tidak pernah menyangka perkara seperti ini akan berlaku, lebih-lebih lagi apabila melibatkan keluarga sendiri. Sewaktu menghantar Deryl ke lapangan terbang, dia memeluk erat ibunya,” ceritanya.

Deryl berhijrah ke Pangkal Pinang kerana akan memulakan kerjaya pertamanya dalam bidang pelayaran.

Minggu lalu, Deryl meninggalkan kampung halaman di Surabaya untuk ke Jakarta sebelum terbang ke Pangkal Pinang Isnin lalu.

Deryl baru mendirikan rumah tangga pertengahan Oktober lalu sebelum mengambil keputusan berhijrah ke Pangkal Pinang.

Bagi Intan Indah Sari pula, dia sangat sedih kerana kehilangan bakal suaminya, Dr. Rio Nanda Pratama yang terkorban dalam nahas pesawat tersebut.

Intan dan Rio merancang untuk melangsungkan pernikahan dua minggu lagi.

Bakal suaminya itu menaiki pesawat tersebut untuk pulang ke bandar utama di Kepulauan Bangka Belitung, Pangkal Pinang.

“Calon suami saya ada dalam pesawat Lion Air. Dia anak jati Pangkal Pinang tetapi menghadiri satu seminar di Jakarta. Selepas seminar selesai, dia mahu terus pulang ke Pangkal Pinang,” kata Intan Indah Sari yang menangis dalam pelukan keluarganya.

Intan Indah Sari memberitahu, calon suaminya bekerja di Hospital Bakti Timah, Pangkal Pinang.

Kenangan terakhir dalam ingatan wanita itu adalah dia sempat memeluk Rio sebanyak lima kali ketika calon suaminya hendak berlepas ke Jakarta.

Wanita itu juga berpesan kepada Rio supaya menjaga diri semasa berada di ibu negara Indonesia itu.

Sementara itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi berdoa agar penumpang dan kru pesawat terbabit segera ditemui dalam apa jua keadaan.

Beliau telah mengarahkan semua agensi terlibat termasuk polis dan tentera dalam usaha mencari semua mangsa terbabit.

“Kami akan sedaya upaya mengesan mereka. Saya berdoa agar mereka segera ditemui. Saya sendiri dapat merasai kebimbangan waris-waris keluarga mangsa.

“Bagaimanapun, saya berharap mereka sabar menunggu kerana usaha sedang dijalankan,” katanya.