Bagaimanapun, sepasukan jurutera India telah menemui cara terbaik bagi menangani masalah pencemaran tersebut dengan mengubahnya menjadi dakwat.

“Perkara yang membimbangkan tentang generator diesel ini ialah ia terletak di tengah-tengah kawasan kepadatan penduduk.

“Pencemaran yang terhasil daripada generator diesel ini adalah asap,” kata Kushagra Srivastava yang merupakan salah seorang daripada tiga jurutera yang membangunkan teknologi tersebut.

Teknologi penghasilan dakwat daripada pencemaran tersebut telah dipasang di Gurgaon yang merupakan sebuah bandar satelit di New Delhi.

Srivastava menjelaskan, idea untuk menghasilkan teknologi tersebut datang apabila dia dan pengasas yang lain berhenti minum air tebu di sebuah gerai.

Mereka melihat dinding di gerai itu menjadi hitam kerana asap yang keluar daripada bahagian ekzos generator diesel.

Mereka tertanya-tanya sama ada jelaga hitam dari asap yang keluar daripada ekzos tersebut boleh digunakan untuk menghasilkan cat atau dakwat.

Dari situ mereka melakukan kajian untuk tujuan tersebut.

Akhirnya mereka dapat menghasilkan satu peranti yang boleh dilekatkan pada generator diesel dan ia mampu menangkap hampir 890 peratus daripada zarah jelaga yang keluar dari ekzos tersebut.

 

Pendapatan

Bahan itu kemudiannya boleh dijual kepada pengeluar dakwat.

Syarikat mereka yang dinamakan sebagai Chakr Innovation telah memasang lebih 50 peranti tersebut di firma kerajaan, syarikat minyak dan gas, pemaju hartanah dan memperoleh pendapatan lebih AS$200,000 (RM787,000) pada tahun pertama.

Mereka juga merancang untuk memasang lebih 50 peranti pada tahun depan.

“Sehingga kini, kami telah menjual 500 kilogram (kg) jelaga yang telah digunakan untuk menghasilkan 20,000 liter dakwat,” kata Srivastava.

Selain Chakr Innovation, sebuah syarikat lain iaitu Graviky Labs,yang berpusat di Banglore turut menggunakan teknologi sama.

Srivastava dan rakannya iaitu Arpit Dhupar dan Prateek Sachan melihat inovasi itu sebagai sebahagian daripada usaha untuk membolehkan bandar tersebut mendapatkan udara bersih.

Kira-kira 1.1 juta orang mati dalam tempoh setahun akibat pencemaran udara di India berdasarkan tinjauan Institut Kesan Kesihatan yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Jumlah itu adalah satu perempat daripada jumlah kematian akibat pencemaran udara di seluruh dunia.

Berdasarkan tinjauan tersebut, di New Delhi tahap zarah yang paling berbahaya di udara adalah 10 kali lebih tinggi daripada had biasa.

Srivastva dan Dhupar dibesarkan di New Delhi dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2014 telah mengisytiharkan bandar tersebut paling tercemar di dunia.

Manakala Sachan pula berasal dari Allahabad iaitu bandar ketiga paling tercemar dalam ranking WHO pada tahun 2016.

“Saya masih ingat sewaktu kecil amat kurang kereta di jalan raya serta kurang kesesakan dan banyak pokok hijau di tepi jalan.

“Kini banyak pokok di tepi jalan telah ditebang untuk melebarkan jalan untuk mengelakkan kesesakan,” jelas Dhupar.

 

Risiko

Dalam pada itu, menurut Institut Kesan Kesihatan, asap generator diesel telah menyumbang sebanyak dua peratus daripada punca kematian akibat pencemaran udara di India pada tahun 2015.

“Di ruang terkurung di kawasan bandar banyak generator diesel digunakan dan ia memberi risiko yang lebih besar,” kata salah seorang penyelidik di institut tersebut, Panka Sadavarte.

Menurut pakar, India mempunyai dasar untuk memantau dan menyekat pencemaran udara yang berlaku tetapi ia sukar untuk dikuatkuasakan.

Bagaimanapun, kerisauan mengenai pencemaran udara yang semakin meningkat di negara itu berkurang apabila pihak kerajaan pada November tahun lalu telah melancarkan pelan tindakan kecemasan kualiti udara.

Kerajaan telah menghentikan pembinaan di dalam bandar dan menaikkan yuran tempat letak kereta untuk mengurangkan penggunaan kereta. – Reuters