Barangan miliknya diletakkan di dalam beg plastik dan pakaian yang dicuci digantung pada pagar.

Dia dihalau dari rumah oleh keluarga suaminya tahun lalu di bandar Ludhiana, utara India selepas pertengkaran tentang harta.

Dia kemudian menaiki bas ke New Delhi bersama dua orang anaknya menuju ke gurudwara Sikh yang merupakan sebuah tempat ibadat bagi mendapatkan makanan percuma.

Tanpa wang dan tidak ada sesiapa untuk bergantung, Kaur dan anak-anaknya tinggal di kaki lima di luar gurudwara bersama beberapa keluarga lain.

Apabila hujan, mereka berlindung menggunakan plastik. Ia juga melindungi mereka daripada kedinginan musim sejuk atau cuaca panas mencecah 40 darjah Celsius.

“Saya tiada tempat untuk pergi. Rumah dan tanah tiada yang diletakkan atas nama saya.

“Di sini, polis mengganggu kami, penduduk tempatan pula mengutuk kami sehingga saya kadang-kadang takut untuk tidur tetapi kami tidak mampu membayar sewa dan tempat perlindungan tidak baik, jadi apa pilihan yang ada,” katanya.

Kaur adalah salah seorang daripada 10,000 wanita gelandangan di ibu negara India di mana beribu-ribu orang tiba setiap hari dari kampung dan bandar kecil untuk mencari peluang yang lebih baik.

Terjejas

Golongan wanita dianggarkan menyumbang kira-kira 10 peratus gelandangan di India.

Mereka terjejas akibat perbandaran pesat, harga hartanah yang melambung dan kekurangan tempat tinggal mampu milik.

Delhi yang mempunyai lebih 16 juta orang penduduk mencatatkan sejumlah 46,724 gelandangan di kebanyakan bandarnya, demikian menurut bancian pada tahun 2011.

Kumpulan hak asasi menyatakan anggaran itu konservatif dan angka sebenar adalah tiga kali lebih tinggi.

Mereka turut mempersoalkan laporan penurunan populasi gelandangan India kepada 1.77 juta di seluruh negara berdasarkan data bancian pada tahun 2011 berbanding 1.9 juta sedekad yang lalu.

“Bandar-bandar kita berkembang pada kadar luar biasa dan ini memberi tekanan kepada kemampuan kerajaan untuk memenuhi keperluan rakyat termasuk golongan gelandangan.

“Tidak mempunyai maklumat yang tepat mengenai tahap ketiadaan tempat tinggal, siapa, di mana dan apa keperluan mereka telah menghalang kerajaan merancang dan menyediakan keperluan,” kata Ashwin Parulkar daripada Pusat Kajian dan Perancangan Pusat Pemikir Delhi.

Di seluruh dunia, sekurang-kurangnya 150 juta orang atau kira-kira dua peratus daripada penduduk dianggarkan tiada tempat tinggal manakala lebih satu perlima tidak mempunyai rumah.

Bagaimanapun, sukar untuk mengendalikan gelandangan kerana ia berbeza mengikut negara dan ketidakupayaan kerajaan untuk mengukur isu tersebut, kata Joseph Chamie, bekas pengarah agensi populasi penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun, kerajaan mempunyai kecenderungan untuk memandang remeh masalah tersebut dan enggan mendedahkan jumlah gelandangan.

Jelas beliau, punca mereka menjadi gelandangan adalah sama iaitu kemiskinan, kekurangan perumahan mampu milik, penyakit mental, ketagihan alkohol dan dadah, pecah rumah, konflik sivil serta bencana alam sekitar.

“Tidak ada penyelesaian segera, malah negara maju turut menghadapi kesulitan yang besar.

“Justeru, bagi menamatkan gelandangan bandar di negara-negara kurang maju mungkin tidak akan berlaku,” katanya.

Masalah ini lebih parah di India dan ia bakal mengatasi China menjelang tahun 2024 sebagai negara paling ramai penduduk di dunia dengan berpuluh-puluh juta penduduk mengunjung bandar berkenaan.

Selain itu, pengusiran semakin meningkat dengan sekurang-kurangnya 30 orang dihalau setiap jam di India dan mereka berteduh di stesen-stesen metro dan lebuh raya.

Keganasan

Wanita yang tidak berdosa banyak berdepan keganasan di jalanan namun hanya sedikit menuntut harta dan akses terhad di tempat perlindungan, kata Shivani Chaudhry di rangkaian advokasi Kumpulan Perumahan dan Hak Tanah di Delhi.

Kebanyakan wanita ini mengalami keganasan perkahwinan, berdepan keganasan seksual atau telah ditinggalkan oleh keluarga akibat penyakit mental atau selepas kematian suami, katanya.

“Wanita yang tidak berdosa mengalami keganasan paling teruk dan terdedah kepada penderaan seksual, eksploitasi, dan pemerdagangan.

“Tempat perlindungan bukan penyelesaian kekal,” kata Chaudhry.

India komited untuk menyediakan perumahan bagi semua rakyatnya menjelang 2022, dengan matlamat mahu membina 20 juta unit perbandaran.

Bagaimanapun penganalisis mengatakan program itu tidak mampu dibayar oleh golongan gelandangan.

Mahkamah Agung telah memerintahkan negeri menyediakan sekurang-kurangnya satu pusat perlindungan 24 jam untuk setiap 100,000 penduduk di pusat bandar utama.

Beberapa negara telah mematuhinya, namun berdepan kos tanah yang tinggi.

“Keutamaan kami adalah untuk memiliki tempat perlindungan kekal yang mempunyai kemudahan dan perkhidmatan termasuk penjagaan kesihatan, latihan pekerjaan dan kaunseling.

“Tetapi cabaran utama adalah kekurangan tanah, jadi kita perlukan perlindungan sementara,” kata Bipin Rai, pegawai kanan Lembaga Penambahbaikan Pusat Perlindungan Kota Delhi.

Delhi mempunyai tempat perlindungan yang paling banyak berbanding bandar India lain.

Kira-kira 200 tempat perlindungan itu menampung lebih daripada 16,000 orang dan terdapat 20 tempat perlindungan untuk wanita.

Lebih separuh daripada tempat perlindungan tersebut adalah kabin yang diubah suai dan dilengkapi beberapa kemudahan. – Reuters