Namun, Sushila Devi, 40, membayar dengan harga yang jauh lebih tinggi.

Harga untuk menggesa pihak berkuasa tempatan membekalkan air ke tanah airnya ialah kematian orang tercinta iaitu suami dan anaknya.

Katanya, mereka meninggal dunia tidak lain tidak bukan disebabkan krisis bekalan air.

Mengimbas kembali memori menyayat hati tersebut, kedua-dua individu itu memperjuangkan hak mendapatkan air bersih daripada lori tangki pada Mac lalu.

Malangnya, hasrat tersebut tidak kesampaian sehingga akhirnya air kotor itu meragut nyawa mereka.

Selepas insiden itu, pihak kerajaan akhirnya bersetuju untuk mengorek telaga sebagai sumber air bersih.

“Sebelum ini, kami hanya dapat air yang berkarat.

“Kami tidak sanggup langsung membasuh tangan atau kaki dengan air sedemikian.

“Namun, setelah kerajaan mengorek telaga untuk mendapatkan air bersih, keadaan kini semakin baik,” katanya.

Menurut laporan pemikir kerajaan pada Jun lalu, India kini sedang berhadapan krisis air terburuk dalam sejarah negara itu.

Keadaan tersebut merunsingkan jutaan penduduk dan pada masa sama menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara terbabit.

Dari utara Himalaya hingga ke kawasan pantai berpasir di selatan India, hampir separuh daripada populasi penduduk di negara itu bersamaan 600 juta manusia berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan air bersih.

Daripada angka itu, dianggarkan 200,000 penduduk meninggal dunia setiap tahun disebabkan air yang tercemar.

Penduduk seperti Devi akan beratur setiap hari sambil membawa bersama baldi, tong dan paip bagi menadah air daripada lori tangki.

Cabaran utama

Insiden menyiku, menolak sehingga menumbuk orang lain merupakan pemandangan biasa bagi mereka yang berduyun-duyun mendapatkan bekalan air bersih.

Biarpun kadangkala terdapat air yang mengalir keluar dari paip, ia kebiasaannya kotor dan mampu menular penyakit berbahaya disebabkan jangkitan sehingga akhirnya mengundang kematian.

“Air ini seperti racun. Walaupun keadaan kini lebih baik namun air itu tetap tidak boleh diminum. Ia hanya untuk kegunaan luaran seperti mandi dan membasuh pinggan,” jelasnya.

Menurut laporan penyelidik Avinash Mishra, pencemaran air merupakan cabaran utama di India.

Hampir 70 peratus air di India telah tercemar sehingga menjejaskan tiga daripada empat rakyat negara terbabit.

Malah, ia juga menyumbang kepada 20 peratus beban penyakit negara tersebut.

Hanya satu per tiga air buangan di India yang kini dirawat.

Maksudnya, air kumbahan mengalir ke sungai, tasik dan kolam, tetapi ia telah mencemari sumber air bawah tanah.

“Air kami yang berada di permukaan telah tercemar, air bawah tanah juga tercemar.

“Lihatlah, air di seluruh India telah tercemar kerana kami tidak menguruskan sisa pepejal dengan baik,” kata laporan itu lagi.

Sementara itu, ekstraksi yang tidak terkawal oleh petani dan gaya hidup penduduk di kawasan bandar turut menjejaskan air bawah tanah.

Penularan penyakit

Dianggarkan, sebanyak 21 bandar utama termasuk New Delhi dan Bengaluru akan kehabisan bekalan air bawah tanah menjelang tahun 2020 sehingga memberi kesan kepada kira-kira 100 juta penduduk.

Menurut Ketua WaterAid India, V. K. Madhavan, air bawah tanah di India kini teruk dicemari kimia yang juga berkait rapat dengan kanser.

“Kami sedang menangkis isu ini lebih-lebih lagi bagi menghalang pencemaran arsenik, fluorida, saliniti dan nitrat,” katanya.

Arsenik dan fluorida berlaku secara semula jadi di dalam bawah tanah namun ia semakin pekat apabila air semakin kurang.

Nitrat pula daripada baja, racun perosak dan bahan buangan industri yang bercampur dengan bekalan air bawah tanah.

Tahap kimia di dalam air itu sangat tinggi sehingga mampu menular penyakit seperti cirit-birit, taun dan demam kepialu.

“Tahap kualiti air yang buruk mengakibatkan kehilangan mata pencarian.

“Malah, anda akan jatuh sakit disebabkan tiada akses untuk minum air bersih disebabkan sumber air di seluruh India telah tercemar,” jelasnya lagi.

Menurut laporan pemikir kerajaan, Niti Aayog pula, masalah pencemaran air akan menjejaskan enam peratus Keluaran Dalam Negara Kasar negara India yang amat bergantung kepada air.

Katanya, industri keselamatan makanan dan segala-galanya akan turut terjejas.

Ia merupakan sumber yang terhad malah dikhuatiri suatu hari nanti akan terus pupus.

Bagi mengatasi krisis tersebut, pihak kerajaan bertanggungjawab membekalkan air bersih kepada rakyat India dan mengutamakan rawatan air demi menyelamatkan penduduk negara itu.

Ironinya, dianggarkan 70 peratus negeri di India hanya merawat sebahagian daripada sisa kumbahan mereka.

Setiap tahun, Bengaluru dan New Delhi menggemparkan India dengan pencemaran yang teruk sehingga mengeluarkan buih putih bertoksik di kawasan berair disebabkan percampuran bahan buangan industri dan sampah domestik.

Bengaluru yang dahulunya dikenali sebagai bandar taman kini semakin gersang.

Malah, tasik Bellandur juga kerap terbakar sehingga mengeluarkan asap hitam ke langit.

Tempoh hari, sungai Yamuna yang mengalir ke seluruh New Delhi dilitupi buih tebal.

Selain itu, ia juga dilatari tahi, sisa kimia dan abu daripada pembakaran mayat yang terapung sehingga memaksa pengunjung menutup mulut dan hidung mereka. – REUTERS