Aksi bersahaja itu telah mendapat tepukan gemuruh daripada penonton. Tidak kurang juga yang begitu asyik merakam gelagat lelaki itu menggunakan telefon pintar.

“Memang pelik. Macam mana burung boleh keluar dari sehelai kain yang sebelum itu kosong?

“Saya juga hairan bagaimana sangkar bersama beberapa ekor burung merpati di dalamnya hilang begitu sahaja selepas sehelai kain hitam dilayangkan ke udara?” soal seorang kanak-kanak, Wan Muhammad Aryan Wan Azri, 7, sewaktu pertunjukan yang berlangsung di Kompleks PKNS Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Kenny yang berasal dari Sabah itu bukanlah calang-calang orang. Dia yang sudah menginjak usia 50-an merupakan Presiden Pertubuhan Ahli Silap Mata Malaysia selain seorang ahli silap mata bertaraf dunia dan seorang pakar ilusionis nombor satu di negara ini.

“Walaupun bergelar pakar ilusi dan telah mencipta nama di peringkat antarabangsa, tetapi saya sangat gembira jika dapat beraksi dan membuat persembahan di negara sendiri meskipun hanya berskala kecil seperti hari ini,” katanya.

Pada hari itu, Kenny dijemput khas bagi melakukan persembahan silap mata untuk menghiburkan kira-kira 100 murid Tadika Era Indah, Shah Alam, Selangor sempena program hari sukan tadika itu.

Ketika ditanya bagaimana dia boleh menjadi seorang ahli silap mata, cerita Kenny, segalanya bermula kira-kira 20 tahun lalu selepas menonton persembahan silap mata di kaca televisyen.

“Sebelum itu, saya merupakan seorang pemain snuker dan pernah beberapa kali mewakili negara untuk menyertai pertandingan di luar negara.

“Disebabkan terlalu minat dengan silap mata, saya ambil keputusan berguru selama beberapa tahun di Thailand untuk memahirkan diri dengan rutin asas silap mata sebelum kembali ke Malaysia,” katanya kepada K2 ketika ditemui pada pertunjukan tersebut.

Iktiraf

Jelasnya lagi, pada peringkat awal, dia hanya melakukannya sebagai hobi untuk menghiburkan rakan-rakan.

Namun, sejak kira-kira 10 tahun lalu, dia mengambil keputusan untuk mula serius dengan menjadikan seni silap mata sebagai punca pendapatan tetap.

Bermula detik itu, dia mula melakukan persembahan untuk pelbagai majlis termasuklah anjuran syarikat korporat, badan dan agensi kerajaan selain pertunjukan secara langsung di kaca televisyen.

Ujarnya lagi, disebabkan industri silap mata di negara ini masih belum berkembang berbanding di Eropah dan negara-negara Asia lain, maka dia lebih banyak membuat persembahan di luar negara.

Justeru, tidak hairanlah mengapa nama Kenny Yas lebih dikenali dalam kalangan penggemar silap mata di luar negara berbanding di negara ini.

Kenny yang beragama Islam turut mengharumkan nama negara apabila beberapa kali diundang menjadi pengadil dalam pertandingan dan konvensyen silap mata peringkat antarabangsa yang dilaksanakan di luar negara termasuklah di China dan Taiwan beberapa tahun lalu, sekali gus membuktikan dunia mengiktiraf kemahiran ahli silap mata tempatan.

Disebabkan minat yang mendalam terhadap seni silap mata, Kenny turut menjayakan Konvensyen Persatuan Silap Mata ASEAN (AMA) ke-13 di Kuala Lumpur pada tahun 2015 yang disertai ratusan ahli silap mata dari banyak negara.

Malah, pada Konvensyen Silap Mata Antarabangsa 2016 di India yang menghimpunkan kira-kira 1,000 ahli silap mata dari serata dunia, Kenny telah dilantik sebagai penyelaras program tersebut selain turut tampil membuat persembahan.

Pada tahun 2017 pula, Kenny telah bekerjasama dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan Islam di negara ini untuk melaksanakan persembahan silap mata amal di Indonesia bagi mengutip dana membantu etnik Rohingya yang tertindas.

Di atas usaha dan kesungguhannya dalam menaikkan industri silap mata di Malaysia dan rantau Asia baru-baru ini, Kenny telah menerima khabar gembira yang mengatakan dia telah dilantik sebagai Presiden Persekutuan Persatuan Silap Mata Antarabangsa (FISM) bagi Malaysia.

Mengapungkan

FISM merupakan persekutuan peringkat dunia yang berpangkalan di Paris, Perancis dan menaungi persatuan-persatuan ahli silap mata dari puluhan negara.

Bercerita mengenai gelaran ilusionis yang diberikan kepadanya, Kenny memberitahu, ia merupakan peringkat tertinggi dalam seni silap mata.

“Selain menggunakan bantuan prop, peralatan serta pembantu, seorang ilusionis berupaya melakukan persembahan silap mata yang sememangnya di luar jangkaan penonton termasuklah melibatkan pemotongan anggota badan dan menghilangkan manusia atau objek yang besar,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan persembahan seorang ilusionis itu berada di luar logik akal dan pemikiran manusia, justeru ia sering dilabelkan sebagai mempunyai kaitan dengan perkara-perkara khurafat dan sihir termasuk menggunakan bantuan jin dan iblis selain dituduh mengamalkan ilmu hitam.

“Sebagai seorang Islam dan percaya kepada Allah, saya berani berkata bahawa semua tanggapan tersebut salah dan tidak benar sama sekali.

“Sebenarnya, apa yang dilakukan oleh ahli silap mata termasuk saya dan nama-nama besar lain seperti David Coopperfield, Criss Angle, Kevin James, David Blaine, Peter Marvey dan sebagainya hanyalah keupayaan dan kemahiran untuk bermain dengan ilusi bagi mengalihkan pandangan mata kasar penonton,” jelasnya.

Menurut Kenny lagi, ketika membuat persembahan di Festival Belia Putrajaya pada tahun 2013, dia telah mempamerkan kemampuannya mengapungkan seorang pembantunya ke atas dan ke bawah selain memusingkannya sehingga 360 darjah seperti yang pernah dilakukan ahli silap mata terkenal dunia dari Ukraine, Victor Voitko.

Namun, katanya, disebabkan menghormati sensitiviti masyarakat Islam negara ini, dia hanya akan melakukan persembahan ilusi seperti itu sekiranya mendapat permintaan daripada penganjur bagi mengelak berlakunya salah faham.

Tambahnya, dia juga bercita-cita untuk mewujudkan sebuah akademi khas bagi membolehkan orang ramai mempelajari seni silap mata secara lebih formal sama ada untuk dijadikan hobi atau sumber pendapatan.

Sementara itu, pengurus Kenny di negara ini, Dr. Hamdan Daniel Sharib berkata, pihaknya telah merancang pelbagai program bagi memastikan Kenny mempunyai lebih banyak peluang melakukan persembahan silap mata di negara ini.

“Kami telah mengenal pasti beberapa program persembahan untuk dilaksanakan termasuklah program jelajah seluruh negara yang dijangka bermula tahun ini.

“Diharapkan menerusi program tersebut, orang ramai khususnya peminat silap mata dapat mengambil peluang menyaksikan sendiri persembahan Kenny yang merupakan ahli silap mata bertaraf dunia.

“Kami juga berharap agar seni silap mata semakin diminati dalam kalangan rakyat negara ini, sekali gus meningkatkan keinginan mereka untuk mempelajarinya kerana ia bukan semata-mata bertujuan hiburan, tetapi juga boleh dijadikan sumber pendapatan,” tuturnya.