Telefilem yang disiarkan di Astro Citra pada 20 Januari lalu menjadi viral gara-gara promosi percuma yang dilakukan oleh penonton. Rata-rata mereka yang berkongsi sedutan telefilem tersebut di laman sosial kerana mahu orang ramai tidak terlepas peluang untuk menonton karya yang disifatkan cukup berkualiti malah dekat dengan kehidupan masyarakat.

Ia secara tidak langsung telah mencetuskan fenomena Pok Ya Cong Codei dan melonjakkan populariti pelakon yang berusia 57 tahun itu. Sabri yang dihubungi Kosmo! tidak menyangka karya nukilannya dihargai orang ramai.

“Saya tidak sangka telefilem ini akan menjadi viral. Sejak ditayangkan sehingga ke hari ini, satu hal yang menarik adalah hampir setiap hari menerima panggilan pihak media. Suasananya tidak ubah seperti mengimbau kembali zaman muda pada tahun 1990-an dahulu (ketawa).

“Peminat di Instagram juga meningkat sekali ganda. Bahkan, orang ramai juga tidak henti-henti memanggil saya dengan nama Pok Ya. Walaupun masih terkejut dengan perhatian luar biasa sejak minggu lalu, namun penghargaan seperti ini merupakan anugerah paling mahal buat seorang pelakon. Ini bermakna kerja seni saya ditonton, dihargai dan menyerap masuk ke hati penonton,” kata Sabri yang juga merupakan penulis skrip telefilem berkenaan.

Rekaan semata-mata

Berkongsi tentang watak Pok Ya, kata Sabri ia hanya rekaan semata-mata. Sungguhpun begitu, dia menegaskan, watak seperti Pok Ya benar-benar wujud dalam kalangan masyarakat. Kemungkinan disebabkan itu, telefilem berkenaan mudah diterima penonton.

“Orang seperti Pok Ya itu wujud. Saya sengaja sulami wataknya dengan kenaifan, kejahatan, kebaikan dan sifat kelakar yang tidak dibuat-buat,” ujarnya yang tidak mengambil masa lama untuk menggarap skrip telefilem berkenaan.

Setiap kali berkarya, dia menambah bukan wang ringgit atau populariti yang dikejarnya. Pada usia lebih setengah abad hanya kepuasan dalam berkarya dan pengiktirafan yang dicarinya.

“Saya sudah tua, zaman kejar populariti dan wang sudah lama berlalu. Saya hanya mahu karya seni menerima pengiktirafan dan dihargai oleh masyarakat. Alhamdulillah saya sempat merasai menerusi telefilem, Pok Ya Cong Codei,” ujarnya yang hanya berlakon satu hingga tiga buah drama setahun.

Menurut Sabri, berikutan sambutan di luar jangkaan, berkemungkinan besar telefilem Pok Ya Cong Codei akan mempunyai sambungan.

“Setakat ini semuanya masih dalam peringkat perbincangan sama ada telefilem bahagian kedua atau drama bersiri. Harap masyarakat akan terus memberi sokongan terhadap karya saya,” katanya yang bakal mengarah sebuah drama super tele berjudul Wali Jantan Semantan.

Pelamin semula jadi Yuna

Dalam pada itu, penyanyi Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Za’rai, 32, yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan pada Sabtu lalu dengan Adam Yousof Sinclair menarik perhatian masyarakat dengan pelamin pernikahannya.

Masakan tidak, pelamin rekaan The Calla Events itu menampilkan konsep berbeza. Melengkapkan lagi pelamin adalah latar belakang alam semula jadi seperti gunung-ganang dan kabus di Puncak Rimba, Bentong, Pahang yang menjadi lokasi majlis pernikahan.

Sejak gambar pernikahan Yuna tersebar, butik-butik pengantin dihujani pertanyaan daripada pelanggan yang mendambakan pelamin seperti Yuna. Begitupun, ramai yang tidak mengetahui anggaran harga pelamin berkonsep tropika bohemian itu bernilai RM70,000.

Menurut Pengarah Kreatif The Calla Events, Mohammad Firdaus Othman, pihaknya tidak menyangka pelamin yang dibikin untuk penyanyi yang popular dengan lagu Crush itu menjadi viral.

Bahkan sejak pernikahan Yuna, pihaknya menerima banyak pertanyaan daripada pelanggan yang ingin mengaplikasi konsep pelamin sama seperti penyanyi tersebut.

“Sebenarnya Yuna yang mengeluarkan idea berkenaan. Kami hanya merealisasikan impian pengantin. Tidak sangka pula dengan latar belakang gunung-ganang dan kabus sewaktu pernikahan telah mencantikkan lagi pelamin tersebut sehingga menjadi viral,” kata Firdaus.

Kongsinya bukan mudah untuk membikin pelamin viral tersebut. Selain kos yang tinggi, kebanyakan bunga, kayu dan daun digunakan untuk pelamin tersebut diambil sendiri di dalam hutan. Pihaknya juga mengambil masa selama tiga hari untuk menyiapkan pelamin dan hiasan keseluruhan lokasi pernikahan.

“Cabaran yang terpaksa kami hadapi adalah mencari sendiri bunga dan pokok di hutan. Selain itu, lokasi pernikahan agak jauh dan sukar untuk dilalui dengan cuaca tidak menentu. Antaranya kami terpaksa membawa barang-barang pelamin dengan merentas sungai apabila jambatan ditenggelami air sewaktu hujan,” katanya.

Segala cabaran itu terbayar apabila pelamin Yuna menjadi viral, secara tidak langsung pihak The Calla Events menjadi popular dan menerima banyak tempahan daripada pelanggan.

“Alhamdulillah kesan viral ini amat positif terhadap perniagaan kami. Terbaharu, pihak kami menerima tempahan pelamin yang sama untuk pelanggan dari Sabah yang inginkan Gunung Kinabalu sebagai latar belakang. Bagaimanapun, kami akan memberi sentuhan berbeza buat setiap pelanggan,” ujar Firdaus yang khidmatnya pernah digunakan dalam perkahwinan Anzalna, Siti Saleha dan majlis baby shower Amyra Rosli.

Aiman Tino pecah rekod

Sebelum terkenal, penyanyi Aiman Tino, 20, terlebih dahulu menjadi viral di laman perkongsian video, YouTube. Single pertamanya, Ku Rela Dibenci telah menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records.

Klip video single pertamanya telah menerima jumlah tontonan tertinggi di YouTube iaitu sebanyak 41.3 juta dari Mac 2016 sehingga November 2017. Terkini, klip video tersebut telah ditonton sebanyak 43.3 juta kali, satu angka luar biasa buat penyanyi tempatan.

Mengulas kejayaan tersebut, Aiman memberitahu, lagu Ku Rela Dibenci mendapat tontonan yang tinggi di YouTube kerana ketika itu dia masih tidak dikenali ramai.

“Satu-satunya sumber yang mereka boleh mengenali Aiman ketika itu adalah melalui YouTube. Faktor itu yang menyebabkan jumlah tontonan naik mendadak,” jelas Aiman.

Berbeza berbanding klip video single keduanya, Permata Cinta dan single ketiga, Lara Dalam Kerinduan yang menunjukkan penurunan ketara jumlah tontonan di YouTube.

Klip video single keduanya hanya menerima jumlah tontonan sebanyak 30 juta, manakala single ketiga, 3.9 juta.

Aiman bagaimanapun tidak bimbang dengan penurunan angka tontonan tersebut kerana masyarakat telah mengenali dirinya. Lagu-lagunya juga boleh didengar menerusi pelbagai medium selain YouTube.

‘Kegilaan’ Iqram Dinzly

Tidak semua kisah viral menerima tempias positif. Pelakon Iqram Dinzly yang merupakan pemilik akaun Instagram DR. Princhiqy Dinzly pula bukan sahaja menerima kecaman tetapi dilabel gila oleh pengguna media sosial. Semuanya disebabkan hobi terbaharunya yang kerap melakukan penstriman video secara langsung (live video) dan merakam gambar yang dilihat seperti melawan arus norma kehidupan sebagai seorang selebriti.

Sejak videonya viral dan menjadi bahan gelak-ketawa masyarakat, Iqram atau nama sebenarnya, Muhammad Iqram Dinzly Muhammad Saipuddin, 36, mengakui tersinggung. Bagaimanapun, Iqram enggan mengambil serius terhadap pandangan orang sekeliling, malah sehingga kini belum ada tanda-tanda untuk menghentikan rutin live video di Instagram.

“Tidak perlu ingin tunjuk berani di media sosial. Sekiranya mereka bimbang dan prihatin, datang menziarahi saya sekeluarga dan luahkan segala nasihat kalian. Kalian hanya berani melontarkan kata-kata menggunakan papan kekunci, namun untuk datang sendiri, saya yakin kalian tidak akan berbuat demikian.

“Saya tidak pernah mengganggu hidup orang. Apa yang dipaparkan menerusi live video berlaku di platform alam maya dan ia terpulang kepada penerimaan masyarakat jika mahu menuduh saya gila,” katanya dalam satu temu bual bersama Kosmo! sebelum ini.

Ketika ‘kegilaannya’ hangat diperkatakan, Iqram akhirnya bertemu dengan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di kediamannya di Kuala Lumpur pada 20 Januari lalu sambil ditemani rakan pelakon Johan A’sari.

Dalam pertemuan tersebut, Zulkifli turut menghadiahkan dua ekor arnab kepada Iqram, supaya dia dapat meneruskan hobinya dengan lebih gembira dan tenang. Selain itu arnab tersebut juga sebagai hadiah untuk mengikat hubungan persaudaraan antara Zulkifli dan pelakon tersebut.

Video seksi Fathia Latiff

Aktres jelita, Fathia Latiff mencetuskan kontroversi sekitar September tahun lalu gara-gara dua video memaparkan seorang wanita dalam keadaan seksi mirip dirinya viral secara meluas di media sosial.

Selepas beberapa hari berdiam diri Fathia atau nama sebenarnya, Nur Fathia Abdul Latiff, 31, akhirnya membuat pengakuan dia merupakan wanita dalam video berkenaan. Akui Fathia, dia tidak sedar video itu dirakam pelakon baharu, Natasha Elyzza menerusi aplikasi Bigo Live ketika mereka bersama beberapa rakan wanita menyewa di sebuah vila.

“Saya benar-benar memohon maaf kerana tidak berniat untuk menunjukkan contoh tidak baik kepada masyarakat,” tulisnya di Instagram.

Ironinya dalam bulan yang sama, nama Fathia digugurkan daripada membintangi sebuah drama bersiri berjudul La Luna kerana masalah disiplin.

Viral sesuatu kejadian sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat tempatan. Namun, apabila selebriti yang menjadi bahan viral tersebut ‘harga’ viral itu lebih bernilai kerana ia membabitkan orang popular. Begitupun, kuasa viral terdapat baik dan buruknya.