Perjuangan selama 15 hari kontinjen negara dengan kekuatan seramai 426 orang atlet ke temasya itu boleh dianggap berjaya.

Ini kerana, misi memburu tujuh pingat emas berjaya disempurnakan.

Paling dirasakan sudah tentu ketika Malaysia berjaya menamatkan kemarau selama 20 tahun pingat emas dalam acara sepak takraw.

Sorakan dan tepukan yang bergema di seluruh negara menggambarkan betapa rakyat cukup gembira serta berbangga dengan kejayaan tersebut.

Namun, dalam kemeriahan meraikan persembahan cemerlang atlet, timbul satu cerita kurang enak melibatkan arena sukan papan selaju negara yang perlu diberi perhatian.

Ia berkaitan atlet papan selaju muda negara, Fatin Syahirah Roszizi, 16, yang dikecam hebat netizen di media sosial ekoran aksi yang kurang memberangsangkan pada pusingan akhir acara women street.

Menerusi video berdurasi dua minit 34 saat yang disiarkan Astro Arena itu, Fatin Syahirah kelihatan terjatuh beberapa kali ketika melakukan aksi.

Rata-rata netizan termasuk pengulas sukan bertugas mempersoalkan pemilihan yang dibuat untuk melayakkan atlet itu mewakili Malaysia.

Tidak kurang juga yang mengatakan Fatin Syahirah sebagai atlet menghabiskan wang negara dan tidak sepatutnya bertanding jika tidak tahu bermain.

Lebih parah, Fatin Syahirah bertindak memadam kesemua gambar di akaun Instagramnya dan meninggalkan sebaris ucapan maaf, menunjukkan betapa gadis muda itu cukup terkesan dengan cemuhan yang dilemparkan.

Tidak menyalahkan atlet tersebut, Pensyarah Sains Eksesais, Universiti Malaya, Dr. Rizal Mohd. Razman berkata, permasalahan itu boleh dielakkan jika persatuan dan kementerian mengambil inisiatif untuk melindungi atlet muda.

Emosi

“Melindungi atlet di sini bukan bermaksud mempertahankan mereka (atlet) daripada dicemuh setelah melakukan persembahan buruk dan sebagainya.

“Ia sebaliknya meliputi pelan bagi mengelak perkembangan emosi atlet muda terjejas dek aksi yang tidak memberangsangkan pada pertandingan bertaraf tinggi.

“Atlet muda, emosi mereka rapuh. Jika ingin menghantar wakil muda ke temasya sukan besar, pastikan mereka berada pada tahap yang benar bagus dan banyak menyertai pertandingan sekurang-kurangnya di peringkat negara bagi mengelak aksi yang menjatuhkan moral mereka sendiri,” kongsinya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Rizal, pelan perlindungan perkembangan emosi atlet itu sangat penting terutamanya pada zaman dimonopoli media sosial ini.

“Media sosial adalah medium terbaik dan terpantas untuk orang ramai meluahkan pendapat. Adalah menjadi kebiasaan bagi masyarakat kita untuk menyanjung kemenangan dan mengeji ketidaksempurnaan tanpa mereka sedar ia mungkin membunuh semangat serta masa depan orang yang dicemuh.

“Sebagai badan bertanggungjawab, ambil pengajaran ini untuk tidak sewenang-wenangnya melepaskan seseorang atlet muda ke peringkat terlalu tinggi tanpa pengalaman yang jelas.

“Ia tidak membantu memberi pendedahan terhadap kemahiran, sebaliknya mendedahkan mereka kepada ketidakyakinan,” ucapnya.

Bersetuju dengan Rizal, Pensyarah Psikologi Klinikal, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Hilwa Abdullah @ Mohd. Nor percaya kecaman keterlaluan mewujudkan tekanan terhadap atlet dan mungkin memberi impak kepada keseluruhan kerjaya sukan mereka kelak.

“Secara logiknya, kecaman terhadap atlet bukannya tidak pernah berlaku. Namun, bagi atlet seperti Fatin Syahirah yang masih muda dan pertama kali masuk ke pertandingan berprestij, tekanan yang dilalui lebih besar terutamanya dengan penggunaan media sosial masa kini.

“Secara psikologi, seseorang yang membaca dan melihat sendiri cemuhan yang dituju kepada mereka akan dibayangi perkataan tersebut pada sesuatu masa tertentu.

Daya tahan

“Atlet umpamanya akan terbayang komen buruk tersebut setiap kali sebelum atau ketika menghadapi rutin atau situasi sama,” katanya.

Jelas Hilwa, terdapat dua kemungkinan besar terhadap prestasi atlet apabila dicemuh keterlaluan terutamanya pada penampilan pertama.

“Ia terpulang kepada daya tahan dan sokongan yang diberikan oleh orang sekeliling terhadap atlet. Jika dibantu proses pemulihannya, kata-kata tersebut akan menjadi motivasi.

“Namun jika tidak, keyakinan itu akan hilang dan tidak mustahil memusnahkan kariernya,” ungkapnya.

“Bagi orang awam, berhenti mencemuh. Bayangkan jika anda di situasi atlet, cuba bertanya soalan kepada diri anda. ‘Adakah saya mampu mewakili negara seperti yang dilakukannya?’ agar anda bermuhasabah diri sebelum mengeluarkan kata-kata berbaur emosional,” jelasnya serius.