Pertandingan seumpamanya yang diadakan di Malaysia tersebut dilihat sebagai platform terbaik buat komposer dan penulis lirik dalam mengangkat karya penciptaan lagu ke peringkat yang lebih tinggi.

Tidak hanya berlingkar pada pengaruh komposer dan penulis lirik semata-mata, AJL juga dilabel sebagai sebuah platform berprestij buat penyanyi untuk memperluaskan ‘saham’ mereka dalam kalangan penggemar.

Justeru, tidak hairan jika finalis yang berjaya meloloskan diri ke pentas AJL begitu bersungguh-sungguh untuk membuat persembahan, sekali gus berusaha memenangi hati juri dan juga penonton.

Mengimbau kembali beberapa edisi AJL sekitar 10 tahun lalu, pentas AJL cukup sinonim dengan persembahan-persembahan ikonik, yang secara jujurnya masih diingati sehingga kini.

Sebagai contoh, baju berona putih dengan lampu corak hati gayaan penyanyi Ramlah Ram sewaktu menyanyikan lagu Kau Kunci Cintaku (Dalam Hatimu) pada Anugerah Juara Lagu edisi ketiga merupakan antara gimik eksentrik yang paling diingati ramai.

Walaupun lampu berbentuk hati pada busana tersebut tidak berkedip sewaktu persembahan, namun, lagu ciptaan Ahmad Nawab itu berjaya meraih tempat pertama selain memenangi kategori khas iaitu persembahan terbaik.

Tidak keterlaluan dikatakan, inisiatif Ramlah pada waktu itu menjadi kayu pengukur buat penyanyi lain dalam menampilkan persembahan menarik dengan gimik istimewa.

Hal ini dibuktikan menerusi beberapa siri persembahan penuh visual yang diketengahkan oleh penyanyi lagu-lagu tradisional, Noraniza Idris.

Pada Anugerah Juara Lagu ke-13, Noraniza berjaya mencuri tumpuan umum apabila membawa segerombolan penyanyi sewaktu mempersembahkan lagu Dikir Puteri.

Diangkat sebagai lagu dengan persembahan terbaik, Noraniza terus cemerlang dengan mengekalkan formula serupa menerusi lagu Dondang Dendang (AJL14), Ngajat Tampi (AJL15) dan Hatinya Tak Tahan (AJL19).

Teliti dalam banyak hal, Noraniza berkata, dia tidak pernah berkira untuk menjayakan sesebuah persembahan di pentas AJL.

Ujarnya, setiap apa yang dipertontonkan bakal menjadi rujukan untuk generasi muda akan datang.

RM40,000

“Ketika saya mula-mula mahu belajar tentang irama Malaysia, saya tiada bahan rujukan. Individu yang berpengalaman juga begitu sukar untuk berkongsi ilmu.

“Jadi, apa salahnya saya berbuat sehabis baik di pentas komersial supaya ia dapat dijadikan panduan buat mereka yang ingin belajar tentang irama tradisional kita pada masa depan.

“Kesungguhan yang saya tunjukkan bukan untuk kepentingan peribadi, tetapi untuk simpanan khazanah dan budaya negara kita sendiri,” katanya.

Menurut penyanyi berusia 50 tahun itu, bagi mendapatkan hasil yang terbaik, dia tidak mudah berkira, terutama membelanjakan sejumlah wang untuk persembahannya.

“Persembahan untuk AJL yang paling mahal pernah saya jayakan adalah bagi lagu Ngajat Tampi. Bagi kostum Sarawak sahaja, saya berhabis sekitar RM40,000 tidak termasuk elaun artis-artis budaya dan pemuzik yang terlibat.

“Hasilnya, saya berjaya memenangi kategori terbaik pada AJL15. Biarpun hadiahnya tidak dapat menampung kos perbelanjaan yang dikeluarkan, namun, kepuasan saya memperjuangkan lagu irama Malaysia dan etnik kreatif itu lebih diutamakan,” katanya sambil mengakui persembahan Ngajat Tampi merupakan persembahannya dengan liputan paling banyak yang pernah diperoleh.

Konsert

Jika Noraniza Idris melihat pentas AJL sebagai platform terbaik untuk mendidik generasi muda dalam mengenali irama Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza pula berpendapat bahawa anugerah yang sering dinantikan penonton saban tahun itu sebagai medium terbaik untuk seseorang selebriti menyediakan diri dengan persembahan berskala besar.

Ujar Siti, pentas AJL boleh diibaratkan seperti sebuah konsert yang menyajikan persembahan-persembahan kreatif berkualiti tinggi.

AJL merupakan sebuah acara hiburan yang sering dinantikan oleh ramai orang. Standardnya juga boleh dikatakan setaraf konsert.

“Menerusi penganjuran AJL, penyanyi akan diberi kebebasan untuk mencorakkan persembahan mereka dan dari situ, setiap daripadanya dapat menonjolkan sisi kreatif masing-masing,” jelasnya.

Sebagai pemenang terbanyak, iaitu pada AJL11 menerusi lagu Jerat Percintaan, AJL13 (Cindai) dan AJL15 (Balqis), Siti menegaskan bahawa AJL bukanlah pentas utama buat penyanyi.

Sebaliknya, pentas AJL adalah sebuah gelanggang bagi menentukan karya terbaik bagi komposer dan penulis lirik tempatan.

“Sudah tentu penyanyi yang akan ke depan pada malam kemuncak. Tetapi, harus diingatkan, penyanyi hanyalah medium dan karya yang dipertandingkan sepatutnya diangkat dan diiktiraf,” katanya.

Ditanya persembahan manakah yang paling sukar untuk dijayakan, ini jawapan Siti.

“Antara persembahan yang sukar adalah Ya Maulai iaitu pada AJL16.

“Selain itu, saya juga berhadapan dengan tanggungjawab yang berat jika tiga buah lagu dicalonkan untuk ketiga-tiga kategori dalam satu edisi.

“Penat itu perkara biasa, tetapi kenangan manis yang saya dapat menerusi pengalaman tersebut tidak akan dilupakan,” katanya lagi.

Terkini

Beralih pada nilai dan kualiti yang ada pada sesebuah lagu sehingga dipandang sebagai juara, komposer dan penulis lirik Mohd. Faizal Maas atau Ajai berkata, karya-karya yang dipertandingkan biasanya dinilai berdasarkan sebuah struktur lengkap.

Menurut Ajai, juri tidak menilai sesebuah lagu itu jika ia popular atau dinyanyikan oleh seorang penyanyi yang digemari ramai.

“Semuanya berbalik pada komposisi lagu tersebut. Lagu yang bagus tidak semestinya popular dan lagu yang popular pula tidak semestinya layak ke AJL.

“Justeru, seseorang komposer perlu tahu piawaian AJL jika mahukan lagu disenaraikan ke peringkat akhir pertandingan,” katanya yang turut mempertaruhkan dua buah lagu untuk AJL tahun ini iaitu Separuh Mati Ku Bercinta nyanyian Dayang Nurfaizah dan Akhirnya, Cinta (Salma Asis).

Mengulas lanjut mengenai lagu-lagu pilihan juri, Ajai berkata, lagu yang mendapat tempat pada setiap edisi AJL biasanya bersifat terkini dan selari dengan perkembangan muzik tempatan.

“Saya tidak nampak ia satu kemunduran. Jika Bruno Mars mampu menaikkan muzik retro dan albumnya diiktiraf sebagai album terbaik pada Grammy Awards tahun ini, kenapa kita tidak berbangga dengan apa yang kita ada?

“Sejujurnya, pembikin lagu perlulah mendengar apa yang pendengar mahukan dan dalam masa yang sama, pendengar juga perlu terbuka dengan pembaharuan. Dari situ, muzik kita mampu berkembang,” katanya.

Kontroversi

Selain nilai prestij yang ada pada AJL, acara gilang-gemilang tersebut juga tidak pernah terlepas daripada mamahan kontroversi.

Isu lagu ciplak dan ketidakpuasan hati peminat terhadap kemenangan sesebuah lagu contohnya memberi ramuan berbeza terhadap penganjuran AJL, sekali gus memberi warna terhadap penerbitan setiap edisi.

Produser Anugerah Juara Lagu Ke-32, Nurhul Huda Khalid berkata, kontroversi merupakan perkara ruji yang perlu dihadapi pihak produksi.

Sebagai pasukan berpengalaman, mereka akan duduk berbincang dan cuba untuk menyelesaikan masalah secara profesional.

“Biasanya, jika kontroversi melibatkan lagu sebelum AJL berlangsung, kami akan berbincang dan menyelesaikannya dengan baik.

“Kami juga akan membuat perbincangan selepas acara dan mencari langkah memperbaiki kekurangan yang ada untuk menerbitkan edisi yang lebih berkualiti pada masa akan datang,” tegas Huda yang sebelum ini pernah menerbitkan AJL20, AJL26, AJL29 hingga AJL31.

Anugerah Juara Lagu Ke-32 akan berlangsung pada 11 Febuari ini di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Diacarakan oleh Alif Satar dan Sherry Alhadad, AJL32 yang bertemakan Fesyen Dan Muzik akan dipancarkan secara langsung pada pukul 9 malam menerusi TV3.

Jenama Anugerah Juara Lagu membawa impak yang besar terhadap perkembangan industri muzik tempatan sejak lebih tiga dekad penganjurannya.