Penutup lubang pembetungan itu kini dijadikan satu karya seni dan ia kelihatan berwarna-warni dengan beberapa bentuk rekaan termasuk Hello Kitty.

Kini penutup lubang pembetungan yang mempunyai reka bentuk yang tersendiri telah menghiasi jalan-jalan utama di bandar dan desa di Negara Matahari Terbit itu.

Setiap reka bentuk memaparkan sejarah atau lambang kebanggaan sesuatu kawasan. Mereka yang berbuat demikian digelar manholers.

Antara bentuk rekaan yang menghiasi penutup lubang pembetung itu termasuklah lukisan sebuah istana purba, jambatan serta Gunung Fuji yang menjadi lambang ikonik bagi Jepun.

Untuk Kota Tama yang terletak di bahagian barat bandar Tokyo, penduduk tempatan di kawasan itu mempertaruhkan rekaan ikon Jepun yang lebih moden iaitu Hello Kitty untuk menarik pelancong.

Budaya

“Kami gembira jika ramai orang datang di sini dan mengambil sedikit masa untuk bersiar-siar di bandar kami sambil mencari lubang Hello Kitty,” kata Mikio Narashima yang mengetuai bahagian sistem pembuangan kumbahan di bandar itu.

Dalam pada itu, bagi Shoji Morimotor, 48, ia menjadi satu keghairahan untuk sebilangan orang di Jepun memaparkan simbol-simbol serta gambar pada penutup lubang pembetungan.

“Saya kadangkala melakukan kajian mengenai mengapa setiap bandar mempunyai reka bentuk tertentu.

“Saya kagum setiap kali mengetahui gambar dan simbol yang dihasilkan itu mewakili sejarah dan budaya sesebuah bandar,” jelasnya yang mencipta perkataan manholers.

Dia juga telah melawat semua lubang penutup pembetungan yang direka di kawasannya.

“Kini saya perlu pergi lebih jauh lagi di lain-lain kawasan untuk melihat simbol dan gambar yang dihasilkan.

“Ia umpama memburu harta karun untuk orang dewasa,” katanya.

Lebih 3,000 orang telah menghadiri sidang kemuncak tentang manholers di barat Jepun pada November lalu.

Sementara itu, bagi Tetsuro Sasabe, penutup lubang bukan semata-mata untuk menyembunyikan lubang pembetung yang kotor.

“Saya tertarik kenapa lubang pembetung yang biasa sahaja boleh dijadikan satu daya tarikan.

“Selain itu, saya juga akan mengatakan bahawa saya tertarik dengan apa yang ada di bawah penutup lubang pembetung,” katanya. Dia menyatakan terdapat kisah di sebalik penutup lubang pembetungan itu.

Kebiasaannya di bawah penutup lubang dia boleh mencari logo syarikat-syarikat yang menghasilkannya. Ada antara syarikat tersebut sudah tidak beroperasi lagi.

Memandangkan saiz penutup lubang pembetungan tersebut besar dan orang ramai tidak dapat mengumpulnya seperti setem atau duit syiling, sebuah syarikat telah menghasilkan kad yang menyamai simbol serta gambar pada penutup tersebut dalam bentuk yang lebih kecil.

Bagi memenuhi hasrat pengumpul di samping mempromosikan kesedaran tentang pentingnya saluran pembetungan dalam masyarakat, syarikat rangkaian GKP awam telah mengeluarkan 1.4 juta kad daripada 293 penutup yang berbeza.

Kad-kad yang dikeluarkan itu boleh diperoleh secara percuma melalui pejabat-pejabat tempatan. Ia juga berfungsi sebagai cenderamata untuk pelancong.

“Kami percaya ini adalah produk kebudayaan Jepun yang membolehkan kami memperkenalkannya di mata dunia,” kata Hideto Yamada, seorang pegawai perancang GKP.

Imej

Menurut Yamada, sejarah penutup lubang pembetungan di Jepun bermula sejak empat dekad lalu dalam usaha memperbaiki imej sistem pembetungan pada waktu itu.

Reka bentuk penutup mesti mempunyai tahap geseran yang sama supaya manusia dan kereta tidak tergelincir apabila melaluinya.

Secara keseluruhan, terdapat kira-kira 15 juta lubang pembetungan di Jepun. Namun, hanya pecahan yang mempunyai penutup berwarna-warni akan dicat dengan teliti.

Penutup lubang pembetungan menelan kos sekitar AS$600 (RM2,300) bergantung kepada jumlah warna dan ketelitiannya. 
– AFP