Insiden yang berlaku pada malam sebelum sambutan Hari Krismas pada tahun 1953 itu benar-benar merupakan satu mimpi buruk buat Brett yang lebih dikenali sebagai Ted.

Kereta api ekspres yang dalam perjalanan dari ibu negara New Zealand, Wellington menuju ke bandar Auckland itu tiba-tiba ter­babas sebelum terjunam ke Su­ngai Whangaehu.

Kejadian tersebut menyebabkan seramai 151 orang penumpang maut. Mengimbau kembali kejadian itu, Ted menaiki kereta api tersebut bersama seorang rakannya, John Cockbern serta adik John, Douglas dan mereka mahu pulang ke pangkuan keluarga sempena sambutan Krismas.

“Ketika kejadian, John dan Douglas sedang tidur. Saya tidak boleh tidur dan hanya memerhatikan kea­daan sekeliling yang cukup hening memandangkan jarum jam ketika itu menunjukkan pukul 10 malam.

“Tiba-tiba, saya terdengar bunyi brek yang amat kuat. Biarpun sudah lebih 60 tahun berlalu, bunyi kuat itu masih lagi terngiang-­ngiang di telinga saya,” luah Ted.

Brek kecemasan

Akibat daripada kesan brek yang terlalu kuat itu, ada penumpang yang terjatuh dari tempat duduk mereka dan seterusnya terjaga daripada­ tidur.

Tiba-tiba, kereta api itu terjunam ke dalam Sungai Whangaehu. Semuanya berlaku dengan amat pantas dan penumpang-penum­pang kereta api itu tidak sempat untuk menyelamatkan diri.

“Air Sungai Whangaehu ‘membutakan’ mata kami kerana ia dipenuhi dengan minyak kereta api serta serpihan besi daripada badan kereta api tersebut,” tutur Ted.

John dan Douglas terbunuh dalam kejadian itu, tetapi Ted terselamat dan pulang ke pangkuan keluarganya di Masterton.

Ketika kejadian, lokomotif KA 949 itu bersama-sama sembilan gerabak dikatakan sedang bergerak pada kelajuan 64 kilometer sejam.

Semasa ia sedang menghampiri jambatan Sungai Whangaehu di Tangiwai, seorang lelaki yang baharu selesai memeriksa keadaan jambatan itu mula menyuluhkan lampu suluhnya ke arah kereta api tersebut supaya ia berhenti.

Air Sungai Whangaehu malam itu mengalir deras, manakala Jambatan Tangiwai pula berada dalam keadaan yang tidak kukuh, menjadikan ia tidak selamat untuk digunakan.

Ia berlaku disebabkan aliran lahar dari Gunung Berapi Ruapehu telah menyebabkan salah satu tiang pada Jambatan Tangiwai di Sungai Whangaehu itu runtuh.

Sebaik sahaja terlihat cahaya daripada lampu suluh itu, pemandu kereta api terus menekan brek kecemasan. Ia bagaimanapun gagal menghentikan kereta api tersebut dan ia terus terjunam ke dalam Sungai Whangaehu.

Terjunam

Akibatnya, sebanyak 151 daripada 285 orang penumpang mati akibat dihempap koc kereta api selain mati kelemasan.

Lebih menyayat hati, seramai 20 mayat gagal ditemui kerana dipercayai dihanyutkan arus jauh dari lokasi kejadian.

Pasukan keselamatan dari bandar terdekat iaitu Waiouru dikerah ke tempat kejadian bagi menyelamatkan mangsa.

Antara yang terbunuh termasuklah Nerissa Ann Love iaitu tunang kepada pemain kriket terkenal New Zealand, Bob Blair.

Kisah cinta mereka dan tragedi kereta api di Tangiwai kemudian dijadikan sebuah filem yang bertajuk Tangiwai dan disiarkan kepada umum pada tahun 2011.

Kini, biarpun kejadian tersebut telah lama berlalu, rakyat New Zealand masih lagi terkesan de­ngan kemalangan itu dan menyifatkannya sebagai antara tragedi terburuk yang pernah berlaku di negara itu.

Sebagai tanda penghormatan kepada mangsa yang terbunuh, kereta api yang melalui kawasan Tangiwai akan berhenti dan menabur kelopak bunga di Sungai Whangaehu pada 24 Disember setiap tahun.