Wanita berusia 54 tahun itu berharap menantu lelakinya itu akan pulang ke rumahnya di Labangal iaitu sebuah komuniti nelayan miskin di pesisiran pantai di bandar General Santos, Filipina.

Ronald atau nama sebenarnya Ronald Ocdinaria berusia 32 tahun apabila bot memancingnya hilang di tengah laut semasa Taufan Bopha melanda pada 4 Disember 2012.

Dia meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak. Isterinya yang juga anak kepada Abeco terpaksa berhijrah ke Manila untuk mendapatkan bantuan perubatan.

Lelaki tersebut dipercayai mati di tengah laut bersama 372 orang nelayan lain dari General Santos dan kampung-kampung berdekatan Sarangani.

Daripada jumlah itu, hanya 16 mayat ditemui. Bagaimanapun, mayat Ronald tidak tergolong dalam kalangan mereka.

Ia merupakan taufan terkuat pernah melanda Mindanao dan mengakibatkan 1,067 kematian, manakala lebih 800 mangsa hilang tempat tinggal.

Taufan tersebut turut memusnahkan tanah pertanian terbesar di wilayah utara Davao iaitu Agusan del Sur dan Compostela Valley.

Kawasan paling teruk terjejas pula ialah Davao Oriental di mana taufan tersebut menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh yang meragut beratus-ratus nyawa.

Penyesalan

Bagi Remy Camarling, 49, dia masih dibelenggu rasa bersalah kerana tidak mengendahkan amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa.

“Saya tahu taufan ini akan datang, begitu juga warga tempatan di sini, tetapi kami memilih untuk mengabaikan nasihat apabila disuruh berpindah ke tempat lebih selamat.

“Salah saya kerana tidak mendengar nasihat berkenaan. Saya fikir kejadian ini mungkin tidak akan berlaku kepada kami kerana ia tidak pernah menimpa nenek moyang kami. Ia penyesalan terbesar dalam hidup saya,” katanya.

Dalam tragedi itu, isteri Camarling termasuk dalam senarai beratus-ratus individu yang diisytihar hilang di bandar New Bataan, manakala tiga orang anaknya cedera parah.

“Selain itu, rumah saya ranap, manakala motosikal serta harta benda lain rosak teruk ditimpa pokok,” ujarnya.

Taufan Bopha atau juga dikenali sebagai Taufan Pablo diklasifikasikan sebagai taufan kategori 5 oleh pakar meteorologi Amerika Syarikat. Ia membawa angin dengan purata kelajuan 185 kilometer sejam.

Compostela Valley mencatatkan jumlah kematian terbesar dengan jumlah sebanyak 612. Davao Oriental pula merekodkan 395 kematian, kebanyakannya di bandar pesisiran Pantai Cateel dan Baganga.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa kehadiran taufan tersebut adalah satu contoh jelas bagaimana amaran awal dapat membantu menyelamatkan nyawa.

Tahun lalu, apabila Ribut Tropika Washi melanda selatan Filipina, orang ramai tidak diberi sebarang amaran dan akibatnya, kira-kira 1,300 orang mati di bandar Cagayan de Oro.

Sebagai rekod, kawasan Cagayan de Oro turut berada di laluan Taufan Bopha. Memandangkan ingatan terhadap tragedi Washi masih segar, mangsa yang membina penempatan berhampiran sungai mengambil langkah awal dengan berpindah ke tempat lebih tinggi sekali gus menyebabkan tiada kehilangan jiwa.

Melihat kemusnahan yang berlaku di New Bataan, sukar untuk dipercayai bahawa jika orang ramai mengendahkan amaran pemindahan sekalipun, kemalangan jiwa yang besar tetap akan berlaku di situ.

Ini kerana, kawasan tersebut berisiko terhadap tanah runtuh dan banjir. Taufan yang melanda lebih memburukkan keadaan kerana menghanyutkan batu dan lumpur ke situ menjadikan ia lebih berbahaya kepada penduduk.

Oleh yang demikian, beberapa pihak berkuasa mempertikaikan keselamatan lokasi itu untuk diduduki semula.

“Saya sanggup berpindah dan memulakan hidup baharu di tempat lain selepas apa yang menimpa diri dan keluarga saya,” kata Camarling.

Aliran lumpur

Selain menjejaskan utara Mindanao, taufan tersebut juga turut dirasai penduduk di tengah Visayas dan Palawan membabitkan lebih 6.2 juta orang.

Laporan jurnal Natural Hazards and Earth Systems Sciences mendedahkan bahawa kadar kematian yang tinggi antara lain disebabkan oleh kurangnya persediaan dan tindakan pantas daripada pihak berkuasa tempatan dan kebangsaan.

Tambah laporan itu, dalam tempoh masa tujuh jam, taufan Bopha membawa lebih daripada 120 milimeter hujan ke Sungai Mayo di Compostela Valley sekali gus menjana aliran lumpur berjumlah 30 juta kubik meter atau bersamaan 2.5 hingga 3 juta buah trak yang membawa muatan penuh batu-batuan.

Seperti lahar gunung berapi, aliran lumpur berkelajuan antara 30 hingga 60 kilometer sejam itu meranapkan perkampungan Bandaray Andap di New Bataan dan menyebabkan 566 penduduk terbunuh.

“Aliran itu datang seperti bancuhan simen. Ia terdiri daripada batu, kelikir dan pasir,” imbau Camarling.

Imej satelit menunjukkan aliran serpihan itu mengalir meliputi jarak lebih 13 kilometer dan keluasan 2,472 hektar iaitu bersamaan keluasan Makati City di Manila.

Sebahagian besar aliran serpihan itu memiliki ketebalan 0.5 meter tetapi di Barangay Andap, termasuk lokasi pemindahan di mana lebih daripada 200 mangsa mendapatkan perlindungan, runtuhan tersebut setebal lapan hingga sembilan meter.

Kini selepas lima tahun, kejadian itu masih membelenggu mangsa yang terselamat. Datuk Bandar General Santos, Ronnel Rivera berkata, pihaknya akan terus menjaga kebajikan mangsa khususnya kanak-kanak yang hilang tempat bergantung.

“Monumen yang dibina juga bukan sekadar simbol peringatan buat mereka yang terkorban dalam Taufan Bopha. Ia juga sebagai iktibar agar kita mendapat pengajaran daripadanya,” kata Rivera.

Taufan Bopha yang melanda Filipina pada 4 Disember 2012 merupakan taufan terkuat dan mengakibatkan 1,067 kematian, manakala lebih 800 mangsa hilang tempat tinggal.