Hujan ribut yang turun tanpa henti itu menjadikan penduduk di daerah-daerah tersebut khususnya Hunan resah dan risau.

Manakan tidak, beberapa kawasan sudah mula dinaiki air dan penduduk di situ khuatir rumah mereka juga akan ditenggelami banjir.

Seorang penduduk Hunan yang hanya mahu dikenali sebagai Zhang memberitahu, rumahnya dinaiki air pada waktu tengah hari dan ia menyebabkan dia dipindahkan ke pusat pemindahan.

“Biarpun sudah enam tahun berlalu, saya masih tidak dapat melupakan kejadian terbabit.

“Selepas kediaman saya rosak teruk, pasukan keselamatan datang ke rumah saya dan kami sekeluarga dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan dengan menaiki sebuah bot,” ujarnya.

Cerita Zhang, ia merupakan antara banjir besar yang terburuk pernah melanda China sejak tahun 1951.

Hujan lebat yang turun tanpa henti selama lima hari sejak 8 Mei 2012 itu menjadikan penduduk di beberapa daerah sekitar China semakin resah dan gelisah.

Pada hari pertama sahaja, seramai 20,000 penduduk di Jiangxi terpaksa dipindahkan ke pusat pemidahan selepas air naik kepada paras yang tidak selamat.

Di Guangxi pula, keadaan trafik amat teruk dan ia menenggelamkan beribu buah kenderaan.

Paras air di beberapa batang sungai juga meningkat melebihi paras bahaya.

Jabatan Meteorologi China pada 12 Mei 2012 mengeluarkan satu amaran untuk menggesa penduduk di daerah terlibat banjir besar supaya berwaspada dengan kejadian tanah runtuh.

Jabatan itu menggunakan sistem penanda aras empat warna bagi meggambarkan paras bahaya kejadian banjir tersebut iaitu merah untuk banjir teruk, jingga untuk banjir sederhana teruk diikuti oleh kuning dan biru untuk banjir kecil.

Seperti air terjun

Kawasan yang paling teruk terlibat dengan tanah runtuh ialah wilayah Gansu.

Begitu pun, tiada kematian yang dilaporkan berlaku akibat tanah runtuh memandangkan kesemua mayat yang ditemui mati akibat lemas.

Seorang pelajar Britain yang sudah setahun menetap di wilayah Hunan, Tom Smith ketika ditemu bual British Broadcasting Corporation (BBC) berkata, banjir yang melanda China pada tahun itu amat buruk dan hujan lebat kelihatan seperti air terjun.

“Keadaan jalan-jalan besar selepas dilanda hujan lebat tanpa henti amat teruk kerana ia dinaiki air. Apa yang menggusarkan kami ialah paras air yang terlalu tinggi menyebabkan kami tidak nampak lubang-lubang yang ada pada jalan.

“Ia amat berbahaya kerana saya terlihat seorang wanita telah terjatuh ke dalam lubang sewaktu sedang melintas jalan,” kongsinya.

Cuaca buruk itu juga menyebabkan bumbung rumah ‘terbang’, manakala lebih 500 penerbangan di Beijing terpaksa dibatalkan.

Selain merosakkan banyak kediaman, sebuah jambatan juga dilaporkan runtuh akibat banjir tersebut.

Menurut seorang jurucakap rasmi bencana besar di China, Li Zuoru, jambatan yang terletak di Sungai Changjiang itu mengalami kerosakan yang teruk.

Hal ini kerana hujan lebat meningkatkan paras air sungai pada ketinggian empat meter.

Secara keseluruhannya, banjir besar itu mengorbankan seramai 53 penduduk di lapan wilayah, manakala 18 yang lain dilaporkan hilang.

Selain itu, sebanyak 170,000 ekor haiwan ternakan juga dilaporkan mati dalam kejadian tersebut yang seterusnya menyebabkan kerugian besar kepada penternak.

Susulan kejadian itu, rakyat China melahirkan rasa tidak puas hati terhadap sistem perparitan negara itu.

Kritikan

Mereka menggunakan laman sosial Weibo iaitu sebuah laman sosial milik China untuk meluahkan rasa marah terhadap sistem perparitan negara itu.

Seorang pengguna laman tersebut yang tidak didedahkan identitinya menulis, dia cukup malu dengan China yang dilihat gagal menguruskan sistem perparitan dengan baik.

“Sebagai sebuah negara yang pernah menganjurkan Sukan Olimpik, China tidak seharusnya mempunyai sistem pengurusan banjir yang lemah seperti ini.

“Ia amat teruk dan melumpuhkan sistem pengangkutan dan menjejaskan kualiti hidup penduduk. Sekiranya banjir begini berlaku lagi, adakah mereka mahu penduduk belajar berenang bagi menangani masalah banjir?” tulisnya dengan lantang.

Komen tersebut mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya bersetuju dengan kenyataan individu terbabit.

Begitu pun, seorang lagi pengguna laman sosial Weibo yang dikenali sebagai Voo kurang bersetuju dengan kenyataan tersebut.

“Bagi saya, tidak adil untuk meletakkan kesalahan sepenuhnya pada sistem perparitan memandangkan ini merupakan bencana alam.

“Sistem perparitan kita lebih baik berbanding 10 tahun lalu,” tulisnya.

Begitu pun, pada 15 Mei 2012, sumber rasmi China memberitahu keadaan di beberapa buah wilayah mulai pulih. Sekolah-sekolah sudah dibuka seperti biasa dan talian telefon di kawasan-kawasan terjejas juga sudah mulai pulih.

Hujan ribut yang menyebabkan banjir besar melanda China enam tahun lalu mengorbankan sehingga 53 nyawa, manakala 18 yang lain hilang.