Disebabkan itu, tidak hairanlah jika Agadir sering dijadikan sebagai lokasi utama tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, di sebalik keindahan dan kepesatan pusat pelancongan tersebut, siapa sangka bandar itu sebenarnya pernah musnah teruk dalam satu kejadian gempa bumi pada tahun 1960.

Gempa bumi besar berukuran 6.7 pada skala Richter yang berlaku selama 20 saat ketika itu mengakibatkan kira-kira 12,000 daripada 50,000 penduduknya terkorban.

Biarpun bencana itu kini hanya tinggal sejarah, namun ia masih lagi diingati oleh segelintir penduduk di Agadir.

Lebih-lebih lagi bagi mereka yang turut menjadi mangsa gegaran gempa bumi tersebut.

Tanggal 29 Februari lalu, genap 58 tahun tragedi gempa bumi yang berlaku di Agadir.

Kiamat

Mengimbau kembali tragedi tersebut, menurut seorang penduduk, Hamza Amane, 68, ketika kejadian dia berada di kediaman keluarganya.

“Pada waktu itu, saya baharu sahaja berumur 10 tahun. Kediaman kami secara tiba-tiba bergegar dengan kuat dan seakan berputar.

“Saya terasa pening. Jeritan dan tangisan jiran tetangga sayup-sayup kedengaran dari luar rumah. Tiba-tiba, kediaman kami menjadi gelap gelita,” jelasnya.

Dakwa Hamza lagi, selang beberapa minit kemudian, dia merasakan dinding bahagian rumahnya mulai runtuh.

Bagaimanapun, disebabkan takut dengan kejadian tersebut, mereka sekeluarga mengambil keputusan untuk bersembunyi di dalam sebuah ruang kecil di kediaman tersebut.

“Kami semua panik dan menyangka dunia sudah kiamat. Disebabkan pintu utama rumah sudah ditenggelami timbunan batu konkrit, kami sekeluarga seolah-olah mengambil keputusan untuk berdiam diri sehingga ajal menjemput.

“Bagaimanapun, selang dua hari kemudian, kami diselamatkan oleh pasukan penyelamat. Dari situ, barulah kami sedar bahawa kawasan rumah tersebut dilanda gempa bumi,” jelasnya.

Cerita Hamza lagi, biarpun tragedi tersebut telah berlalu 58 tahun yang lalu, namun suasana cemas yang berlaku pada hari kejadian masih lagi bermain-main di kotak fikirannya.

Lebih-lebih lagi apabila mengenangkan tubuh insan yang dikenalinya bergelimpangan tidak bernyawa di bawah runtuhan konkrit.

Selain mengakibatkan kemusnahan terhadap kediaman penduduk, gempa bumi itu turut menyebabkan beberapa bangunan kerajaan se­perti sebuah hospital di pusat bandar, balai polis, hotel mewah dan beberapa pekan baharu di sekitar Agadir musnah teruk.

Keadaan tersebut menyebabkan pihak kerajaan mengisytiharkan darurat.

Susulan daripada bencana itu juga, satu pasukan penyelamat Maghribi bersama bantuan dari seluruh dunia telah diwujudkan untuk membantu kerja-kerja menyelamat.

Hospital sementara

Lapangan terbang Agadir, yang pada waktu itu tidak terjejas terpaksa ditutup serta-merta dan dijadikan sebagai hospital sementara bagi menyelamatkan nyawa mangsa-mangsa yang tercedera.

Kira-kira seminggu selepas gempa berlaku, pihak berkuasa mengarahkan seluruh rakyat Agadir yang terselamat untuk berpindah ke kawasan lain bagi mengelakkan penyebaran wabak penyakit berjangkit.

Kerja-kerja membersihkan sisa runtuhan bangunan di sekitar Agadir mengambil masa hampir setahun lamanya.

Mereka bagaimanapun bersyukur atas sokongan dan sumbangan yang diberikan dalam bentuk kewangan, tenaga dan lain-lain lagi dari negara-negara jiran.

Biarpun 58 tahun yang lalu Agadir pernah musnah, namun siapa sangka, bandar tersebut kini mampu bangkit dan maju membangun menjadi salah satu pusat tarikan pelancongan yang menarik di dunia.

Kira-kira 12,000 penduduk di Agadir, iaitu sebuah bandar yang terletak di selatan Maghribi pernah musnah teruk dalam satu kejadian gempa bumi berukuran 6.7 pada skala Richter.