Kejadian kebakaran yang berlaku pada tanggal 20 hingga 21 Ogos 1910 itu telah menyebabkan kemusnahan besar membabitkan kawasan hutan seluas 1.2 juta hektar sekali gus memberi kesukaran kepada pihak bomba untuk me­madamkan kebakaran.

Kebakaran itu dikatakan berpunca daripada tindakan penduduk pribumi AS daripada etnik Indian membakar hutan untuk tujuan pertanian dan membina jalan sehingga akhir­nya mencetuskan masalah besar yang mengancam ribuan hidupan liar yang ada di hutan terbabit.

Malah, kejadian itu turut me­ragut nyawa kira-kira 100 anggota bomba yang bertugas untuk me­madam kebakaran selain membabitkan kehilangan nyawa orang awam.

Puting beliung api

Usaha untuk memadam kebakaran dan mengawal keadaan semasa kejadian itu membabitkan sejumlah lebih 1,000 anggota bomba selain turut dibantu 4,000 anggota tentera.

Usaha pihak bomba dan penyelamat untuk memadamkan kebakaran menemui jalan sukar apabila keadaan pada masa itu ber­angin sehingga menyebabkan api sukar dikawal dan merebak dengan pantas ke kawasan lain.

Salah seorang individu yang terlibat dalam memadamkan kebakaran tersebut, Edward Stahl yang merupakan seorang anggota perhutanan memberitahu, ketika kejadian, api menjulang sangat tinggi ke udara diikuti dengan tiupan angin kencang sehingga menyebabkan terjadinya puting be­liung api yang besar.

“Keadaan pada masa itu tidak ubah seperti di ‘neraka’,” ujarnya dalam sebuah buku bertajuk I’ll Never Fight Fire With My Bare Hands yang diterbitkan pada tahun 1994.

Bercerita tentang keadaan pada masa itu, Stahl memberitahu, terdapat anggota bomba terkorban akibat ditimpa dahan pokok yang terbakar.

Malah, terdapat ramai anggota bomba yang terperangkap di tengah-tengah kawasan yang dijilat api sehingga mereka tidak boleh ke mana-mana ekoran kawasan tersebut diselubungi dengan asap tebal.

“Suasana pada hari itu sangat mencemaskan apabila ada dalam kalangan anggota bomba hanya mampu menangis dan berdoa supaya diselamatkan,” kata Stahl.

Hutan lenyap

Dalam masa sehari, kebakaran itu telah menjilat beribu-ribu hektar kawasan sehingga asap daripada api yang marak sampai hingga ke negeri Maine dan Greenland di Lautan Atlantik.

Sekumpulan komuniti kecil yang tinggal di kawasan ter­babit juga terpaksa berpindah dengan menyaksikan lebih daripada 85 nyawa orang awam terkorban dalam kejadian kebakaran besar itu.

Setelah 10 hari usaha-usaha memadan kebakaran itu dilakukan oleh pihak berkuasa, api yang marak itu akhirnya dapat dikawal.

Selepas kebakaran itu mula reda, kesan yang dapat dilihat sungguh dahsyat apabila kawasan tersebut yang sebelumnya di­selubungi dengan kehijauan hutan lenyap begitu sahaja.

Kebakaran itu turut mengakibatkan terjadinya masalah jere­bu yang teruk ekoran cuaca pada waktu itu panas dan berangin.

“Kebakaran itu terjadi akibat daripada perbuatan manusia sendiri dan ia merupakan satu kerugian besar apabila kehijauan hutan musnah begitu sahaja,” ujar Stahl.

Kejadian kebakaran hutan di Pergunungan Rocky Utara itu te­lah menyebabkan pihak berkuasa melarang mana-mana pihak me­lakukan pembakaran terbuka selain mewujudkan badan khas untuk menangani kebakaran hutan pada masa depan.