Ia mengisahkan tentang cita-cita, harapan dan kesaksamaan antara dua budaya serta bangsa di Malaysia.

Pameran The Frames Of Two Cultures itu menampilkan 15 karya pemenang anugerah Most Promising Artist of the Year - UOB Painting of the Year (Malaysia) 2014 dan 2016, Husin Othman serta Ng Kok Leong.

Kedua-dua artis itu mengangkat perbezaan kaum dan budaya dalam mencerminkan nostalgia zaman kanak-kanak mereka di perkampungan sekitar Perak.

Dalam pameran kali ini, Kok Leong mempertaruhkan konsep dokumentari dalam lapan karya yang dihasilkannya dengan kepelbagaian teknik serta menggabungkan medium getah serta akrilik di atas kanvas.

Realistik

“Perkembangan teknologi yang pesat sejak kebelakangan ini telah menyebabkan budaya dan tradisi semakin menghilang.

“Justeru, karya-karya yang dihasilkan amat menitikberatkan nilai-nilai yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat supaya warisan pusaka tidak dibiarkan lenyap begitu sahaja,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Galeri Core Design, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Kok Leong yang sememangnya mempunyai latar belakang dalam bidang filem dan pengiklanan menggunakan kepakarannya untuk menampakkan kesan yang realistik.

“Ini adalah percubaan baharu dalam struktur naratif dan estetika bahasa lukisan.

“Hubungan antara watak-watak dalam karya melibatkan tiga ruang masa iaitu masa lalu, kini dan akan datang.

“Kandungan karya menghasilkan efek yang dramatik dan membangkitkan imaginasi akibat kewujudan ketiga-tiga ruang masa ini,” katanya.

Tambah Kok Leong, karyanya sedikit istimewa berbanding karya lain apabila dia mempraktikkan teknik penggunaan air menerusi amalan subtraktif dan progresif.

“Melalui teknik ini, saya menyediakan ruang masa yang tersendiri kepada pengunjung untuk mereka melihat daripada konteks sejarah selain membuat jangkaan pada masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, menghayati karya Husin di ruang Galeri Core Design membuatkan pengunjung teruja apabila melihat artis itu mengimbau zaman kanak-kanaknya yang memfokuskan kepada hobi dan permainan kampung yang hampir tenggelam di badai arus kemodenan.

“Karya yang dihasilkan banyak berkisar kepada rentetan hidup saya ketika zaman kanak-kanak, bersama keluarga, adik-beradik dan rakan-rakan.

“Saya cuba menvisualkan dan menangkap kembali keadaan yang pernah berlaku di beberapa kawasan antaranya di sawah padi, warung kopi, pasar malam, taman permainan serta kedai runcit,” kata anak ketujuh daripada lapan adik-beradik itu.

Kontemporari

Bagi anak kelahiran Kuala Kurau, Perak itu, nostalgia adalah untuk mengenang kisah lalu yang disesuaikan dengan era kontemporari.

“Karya-karya ini dilihat sebagai dokumentari kehidupan yang mengimbau kenangan-kenangan silam untuk tatapan pengunjung.

“Bagaimanapun, saya cuba untuk menyesuaikan dengan era kontemporari bagi mencerminkan perubahan tempoh masa yang berlaku,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Halus, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor itu.

Husin yang merupakan artis sepenuh masa berkata, dia turut menggabungkan lapisan atas lapisan dengan pelbagai objek rawak bagi menghasilkan satu komposisi kontemporari yang menyentuh hati sambil memberi makna tersirat di sebalik visualnya.

Husin juga mengakui, perbezaan yang ditonjolkan dalam kesemua karya pada pameran itu memperlihatkan kekayaan budaya masyarakat di Malaysia.

“Keistimewaan karya kali ini adalah mengenai identiti masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum,” katanya.