Ditambah lagi keriuhan suara kanak-kanak bermain bagaikan memberi suntikan muzik desa yang mengasyikkan.

Bagi tiga pelukis yang merupakan sahabat, Ibnoo Jalil, 46; Roslan Itam, 59, dan Lim Anuar, 50, kampung mempunyai keindahannya yang harus diterjemahkan ke atas kanvas untuk dipertontonkan kepada khalayak terutamanya generasi baharu yang mungkin tidak berpeluang tinggal di kampung atau melihat suasana desa pada zaman dahulu.

Berasal dari tempat yang berbeza, ketiga-tiganya bagaimanapun berkongsi matlamat yang sama iaitu untuk mengimbau keindahan kampung masing-masing sama ada di tempat kelahiran atau dibesarkan.

Persahabatan trio pelukis ini yang disatukan sejak kira 10 tahun lalu atas minat sama iaitu melukis kini bergabung tenaga dan bakat seni masing-masing menerusi pameran Kampung Life anjuran Art Market Malaysia.

Kekuatan

Pameran tersebut yang berlangsung selama sebulan di pusat beli-belah Damen, Subang Jaya, Selangor mengetengahkan 33 buah lukisan yang menceritakan mengenai suasana kampung dan kebudayaan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Tiga sahabat itu mempunyai kekuatan masing-masing. Ibnoo merupakan pelukis dengan gaya naif ekspresif, Roslan pula seni halus dan realisme spontan, manakala Lim mahir dengan naif batik.

Menurut Ibnoo, objektif pameran tersebut adalah untuk mengembalikan semula memori di kampung dan paling penting menunjukkan wajah sebenar desa kepada generasi muda yang dibesarkan di bandar.

“Kemajuan dan kemodenan yang kita kecapi hari ini telah merubah rupa kampung, maka pameran ini diadakan supaya suasana desa itu tidak hilang ditelan zaman.

“Oleh itu, kami bertiga ingin mengetengahkan suasana kampung menerusi lukisan ini agar generasi muda tahu akan rupa sebenar kampung dan keindahan yang ada di sana,” katanya ketika ditemui K2 pada Majlis Perasmian Pameran Kampung Life di pusat beli-belah Damen, Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Ketika ditemui, ketiga-tiganya turut sepakat tampil bertanjak sesuai dengan elemen tradisional kampung.

Bercerita mengenai inspirasi untuk menghasilkan karya suasana kampung, Ibnoo berkata, ia tidak sukar kerana dirinya dibesarkan di kampung iaitu di Paroi, Negeri Sembilan.

Dengan gaya naif ekspresif iaitu seni lukisan yang tulus dan jujur, dia menterjemahkan suasana kampung di Paroi seperti kehijauan sawah padi dan kerbau.

“Saya menampilkan 11 karya untuk pameran pada kali ini yang mana karya-karya ini mengambil masa sekitar setengah jam atau 15 hari mengikut tahap kesukaran.

“Salah satu lukisan tersebut bertajuk Kobau Sosat yang menggambarkan suasana ketika hari raya apabila semua orang masing-masing sibuk mencari kerbau untuk tradisi mantai,” tutur bapa kepada empat orang cahaya mata itu.

Tradisi mantai ialah tradisi menyembelih dan melapah daging kerbau atau lembu secara bergotong-royong di Negeri Sembilan yang menjadi amalan Adat Perpatih.

Setiap satu karya lukisan Ibnoo yang dipamerkan dalam pameran Kampung Life berharga sekitar RM400 hingga RM6,000.

Dia yang berpengalaman 13 tahun dalam bidang lukisan pernah menjual karya sebanyak RM9,000 yang bertajuk Kampung Minang.

Suasana 60-an

Ujar Ibnoo, pemilihan lokasi di pusat beli-belah sangat tepat kerana ia membolehkan karya mereka bertiga lebih dekat dengan masyarakat.

“Mungkin agak sukar untuk kita menarik golongan muda untuk melihat pameran lukisan di galeri-galeri, maka di pusat beli-belah merupakan lokasi yang strategik untuk berada lebih dekat dengan mereka” ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Bina Dalaman, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor itu.

Roslan pula sangat gemar melukis suasana kampung terutamanya sungai dalam setiap karyanya kerana membesar di Kampung Gembol, Sungkai, Perak.

“Kampung Gembol terletak berhampiran sungai maka, dari situ saya tahu bagaimana rupa kejernihan air sungai yang diterjemahkan dalam karya.

“Ketika saya berusia 12 tahun, banjir besar telah melanda kampung itu dan kami sekeluarga terpaksa berpindah dari situ,” cerita bapa kepada empat orang cahaya mata itu.

Istimewanya pada pameran Kampung Life itu, dia mengetengahkan dua lukisan bertajuk Kampung Gembol I dan Kampung Gembol II yang mempersembahkan keindahan kampung tersebut sekitar tahun 1960-an termasuklah keunikan rumah pada ketika itu.

Akuinya, lukisan seumpama itu penting kerana pada zaman ini, sangat sukar untuk melihat model-model rumah kampung seperti yang digambarkan dalam lukisan tersebut.

Oleh itu, generasi muda dapat mengenal asal usul mereka dan kehidupan masyarakat desa suatu ketika dahulu.

Dia yang turut menampilkan 11 karya pada pameran tersebut meletakkan nilai sebanyak RM1,000 sehingga RM3,000 bagi satu lukisan.

Menurutnya, pada pameran itu juga, mereka turut menampilkan karya yang menceritakan tentang kebudayaan, tarian dan permainan tradisional seperti gasing, kuda kepang dan sebagainya.

Sementara itu, Lim, yang merupakan pelukis orang kelainan upaya (OKU) yang cacat pendengaran dan pertuturan menyatakan kegembiraannya kerana buat julung kalinya dapat mengadakan pameran bersama dua orang sahabat baiknya itu.

“Walaupun saya dilahirkan di Kuala Lumpur tetapi suasana kampung di Tanjong Bungah, Pulau Pinang ketika menuntut di sekolah khas pada suatu ketika dahulu masih segar dalam ingatan.

“Lukisan ini mampu membangkitkan kerinduan ketika zaman kanak-kanak dan kenangan indah ketika membesar di kampung,” katanya menerusi bantuan seorang penterjemah.

Dia yang berpengalaman selama 16 tahun sebagai pelukis telah mengetengahkan suasana kenduri di kampung, tarian tradisional dan keharmonian kaum pada pameran Kampung Life itu menerusi gaya batik naif yang menjadi kepakarannya.

Ujarnya lagi, para pelancong juga amat menyukai karya lukisan yang menggambarkan kebudayaan dan warisan Malaysia untuk mereka jadikan buah tangan dan tanda ingatan sebagai kenang-kenangan.

Tiga orang sahabat Ibnoo Jalil, Roslan Itam dan Lim Anuar bersatu dalam pameran Kampung Life yang mengetengahkan keindahan kampung agar tidak hilang ditelan arus pemodenan selain menarik minat anak muda untuk mengenal tradisi desa.