Pada tarikh tersebut, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha berjaya menjejakkan kaki di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dengan menaiki Soyuz TMA-11.

Ketika itu, seluruh negara bergembira dan berbangga melihat kejayaan beliau menjadi rakyat Malaysia pertama berada di angkasa lepas.

Dalam kegembiraan itu, ada insan lain yang diselubungi seribu kebimbangan dan rasa takut. Individu tersebut ialah bapanya iaitu Allahyarham Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Abdul Shukor.

Allahyarham ketika itu berada di tapak pelancaran Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan bersama ibu Sheikh Muszaphar, Datin Zuraidah Sheikh Ahmad bagi menyaksikan sendiri pelancaran Soyuz TMA-11.

Sewaktu pelepasan roket, Allahyarham sangat risau sesuatu berlaku kepada roket Soyuz TMA-11 sekali gus menyebabkan dia berkemungkinan kehilangan anak yang dikasihi.

“Sewaktu roket dilepaskan ke angkasa lepas, bapa dikatakan terduduk dan menangis. Saya yakin dia menangis sebab terlalu gembira apabila melihat saya ke angkasa lepas.

“Pada masa sama, terbuku dalam hati bapa perasaan takut sekiranya sesuatu yang buruk berlaku ketika detik pelepasan. Peristiwa ini diceritakan kembali oleh ibu,” imbau Sheikh Muszaphar ketika ditemu bual K2 di kediamannya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kompetitif

Sheikh Muszaphar berlepas ke ISS bersama angkasawan Rusia, Yuri Malachenko dan Peggy Whitson menerusi Ekspedisi 15 di bawah program perjanjian bersama Rusia.

Beliau berpeluang berada di ISS selama 10 hari dan berjaya memahat nama sebagai orang Islam pertama menjalani ibadah puasa dan meraikan Hari Raya Aidilfitri di angkasa lepas.

Bagi Sheikh Muszaphar, bapanya merupakan individu yang bertanggungjawab memberi dorongan berterusan selepas beliau terpilih menyertai Program Angkasawan Malaysia (PAM).

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu memaklumkan, bapanya juga telah mengajarnya erti kompetitif dan tidak mudah putus asa dalam mengejar impian.

“Sejak kecil, saya sentiasa ingin mendapatkan perhatian bapa. Salah satu caranya, saya mesti menjadi lebih baik daripada abang-abang.

“Jadi, apabila saya beritahu bapa, saya terpilih dalam kalangan 100 terakhir pada pemilihan PAM, beliau sentiasa yakin dengan mengungkapkan, “you will be the one” meskipun 11,275 orang calon yang mendaftarkan diri,” ceritanya.

Empat calon terakhir PAM ialah Dr. Sheikh Muszaphar, Dr. Faiz Khaleed, S. Vanajah dan Mohammed Faiz Kamaluddin.

Menurut Sheikh Muszaphar, Allahyarham merupakan seorang bapa yang luar biasa dalam mendidik anak-anaknya menjadi insan yang berguna.

Dia memberitahu, bapanya sangat mementingkan pencapaian pendidikan terutamanya dari segi ilmu keagamaan dan bidang akademik.

Ia dizahirkan menerusi rutin bapanya yang gemar membeli dan membaca buku ensiklopedia dan sains bersama anak-anaknya.

“Alhamdulillah, saya dapat memenuhi cita-cita bapa untuk melihat saya menjadi seorang doktor bedah ortopedik.

“Ini kerana sejak kecil bapa sentiasa meletakkan aras yang tinggi sekali gus mendorong saya berusaha lebih keras bagi mencapai cita-cita tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Sheikh Muszaphar mengakui bahawa bapanya seorang yang tegas dalam membimbing kelima-lima anaknya memandangkan mereka semua lelaki.

Ceritanya, dia sendiri pernah dimarahi dan dirotan oleh bapanya apabila melakukan kesalahan ketika zaman kanak-kanak dan remaja.

“Pernah sekali, saya bergaduh dengan salah seorang abang. Apabila bapa tahu, dia marah kedua-duanya sekali, tidak kira siapa yang betul atau salah,” katanya.

Pada Oktober 2010, Sheikh Muszaphar telah diijabkabulkan dengan Datin Dr. Halina Mohd. Yunos, 39, dan dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Sophea Isabella, 8, Sophea Natasha, 6, serta pasangan kembar Sheikh Adam dan Sheikh Noah, 2.

Didikan

Selepas bergelar bapa, Sheikh Muszaphar banyak mengikuti cara didikan yang dipraktikkan oleh bapanya sewaktu membesarkannya dahulu.

Pemegang ijazah perubatan dari Kolej Perubatan Kasturba, Manipal, India itu menjelaskan, antara perkara yang diaplikasikan adalah meminta anak-anak berusaha keras dan melakukan eksplorasi semua bidang ketika usia kanak-kanak.

Justeru itu, Sheikh Muszaphar memastikan jadual anak-anaknya penuh dengan aktiviti iaitu ke sekolah pada sebelah pagi, kelas mengaji al-Quran (tengah hari), kelas tambahan (petang) dan kelas taekwondo (malam).

Dia menegaskan, rutin tersebut bukanlah bertujuan untuk mendera anak-anak, sebaliknya ia lebih kepada mendidik mereka supaya mengenali erti penat lelah.

Ia juga bagi memastikan mereka menjadi insan yang lebih baik daripada dirinya.

“Saya selalu memuat naik video-video aktiviti bersama anak-anak dalam laman sosial. Ada netizen menganggap tindakan itu seperti saya mendera dan memaksa anak-anak.

“Saya sedar itu semua, namun saya tidak suka melihat anak-anak menghabiskan masa tanpa membuat apa-apa. Paling penting anak-anak seronok melakukannya,” jelasnya.

Penyayang

Dalam ketegasannya itu, lelaki tinggi lampai itu memaklumkan, beliau cuba mengimbanginya dengan menjadi seorang bapa yang penyayang kepada anak-anaknya.

Ujarnya, setiap kali memarahi anak-anak, beliau akan pastikan selepas itu memeluk erat mereka sambil mengungkapkan: “Saya sayang awak”.

“Saya suka ucap perkataan itu kepada anak-anak.

“Saya cuba ungkap perkataan tersebut sekurang-kurangnya 50 kali sehari terutamanya sebelum mereka tidur. Ia bagi menggambarkan betapa saya sayangkan mereka,” ujarnya.

Sheikh Muszaphar juga menyedari bahawa tugas membesarkan anak-anak pada zaman serba moden ini cukup mencabar berbanding dahulu.

Beliau memaklumkan, ia disebabkan kanak-kanak kini terdedah dengan pelbagai peralatan gajet dan permainan video yang boleh melalaikan mereka.

Menyedari hakikat itu, beliau memilih untuk mengehadkan dan mengawal penggunaan gajet kepada anak-anaknya.

“Saya perlu tegas dengan anak-anak terutamanya berkaitan gajet. Saya tidak benarkan anak-anak bermain gajet.

“Saya tidak nafikan gajet ini ada kebaikannya, namun sebagai bapa, kita perlu memantau supaya mereka tidak terlalu leka dengan gajet,” jelasnya.

Meskipun sibuk dengan tugas sebagai doktor, namun Sheikh Muszaphar tetap berusaha mencari ruang dan masa untuk bersama anak-anak.

Katanya, beliau sedaya upaya akan meluangkan masa sekurang-kurangnya dua jam sehari bersama anak-anak.

“Biasanya, saya akan menghabiskan masa bersama mereka melakukan aktiviti seperti berenang di kolam atau membantu menyiapkan tugas sekolah.

“Pada saya, tidak ada yang lebih bermakna daripada menghabiskan masa terluang di rumah bersama anak-anak,” ungkapnya.

Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha banyak mempraktikkan cara didikan yang pernah diterapkan bapanya dalam mendidik anak-anak.