Putaran yang dilakukan oleh pemuda bernama Kalani Ahmad itu secara tidak langsung berjaya menonjolkan bahawa dia merupakan seorang pemain bola keranjang freestyler.

Ternyata pemuda berusia 32 tahun ini mempunyai bakat yang luar biasa dalam bidang tersebut apabila dia bukan sahaja boleh memutarkan satu atau dua biji bola dalam satu masa, tetapi enam.

Lebih membanggakan apabila putaran tersebut boleh dilakukan dengan mudah pada buku, berus gigi, mengimbangi bola dengan sudu ketika sedang makan, pisau dan instrumen muzik seperti ukelele.

Disebabkan itu, tidak hairanlah jika remaja ini dikenali sebagai KalaniBallFree dalam kalangan masyarakat setempat di Honululu, Hawaii.

Belajar sendiri

“Saya telah melakukan putaran bola ini sejak berumur 10 tahun.

“Bagaimanapun, aktiviti ini dilakukan dengan lebih serius dan mula dijadikan sebagai profesion selepas saya berumur 20 tahun.

“Kesemua ini dipelajari sendiri tanpa sebarang guru. Selalunya saya mendapat ilham untuk membuat putaran bola daripada iklan-iklan komersial di kaca televisyen seperti Nike dan Harlem Globetrotters,” jelasnya.

Biarpun hanya dengan bola, namun bakat yang ada pada Kalani membolehkan dia mendapat perhatian yang meluas daripada masyarakat sehingga dia dijemput untuk membuat pertunjukan dalam acara-acara khas NBA dan American Got Talent.

“Ramai yang memuji bakat saya.

“Bagaimanapun saya lihat kebolehan ini bukan satu perkara yang hebat atau untuk menarik perhatian umum. Sebaliknya, ia adalah salah satu cara untuk lari daripada tekanan,” jelasnya.

Bercerita lanjut mengenai kisah hidupnya, menurut Kalani lagi, dia mengambil keputusan untuk melibatkan diri dalam sukan bola keranjang untuk mencari ketenangan.

“Ibu saya merupakan orang kelainan upaya sejak dilahirkan. Ketika kecil, saya mempunyai masalah dalam pelajaran dan prestasi akademik saya pula kurang memberangsangkan.

“Hidup saya dibelenggu dengan masalah dan sering tertekan. Setiap hari, saya tercari-cari lokasi untuk meredakan ketegangan hidup.

“Sehinggalah saya bermain bola keranjang seorang diri. Pada waktu itu, saya berasa seperti berada dalam dunia sendiri terutamanya ketika melakukan aksi luar bisa,” jelasnya.

Kebolehan yang dimiliki itu lantas membuatkan Kalani bertekad untuk berkongsikannya kepada dunia.

Menurut Kalani lagi, setiap hari, dia akan memastikan dirinya meluangkan masa sekurang-kurangnya empat jam untuk mencipta gerakan dan putaran baharu bersama bola.

Setiap gerakan yang diteroka itu kemudian dipraktikkan sehingga mahir dan direkod untuk dikongsikan kepada umum.

Pengikut

Biarpun pada mulanya dia melakukan helah putaran bola secara suka-suka sahaja, namun menurut Kalani lagi, dia tidak menyangka rakaman tersebut membolehkan dirinya mendapat jutaan pengikut di laman sosial.

“Nampak sahaja saya gembira dengan kerjaya ini, tetapi ramai yang tidak tahu dugaan yang harus dilalui sebelum itu.

“Saya pernah dimarahi oleh nenek kerana mahu melibatkan diri dalam bidang ini. Bagaimanapun, saya nekad untuk melakukannya kerana ia mempunyai masa depan yang cerah dan masih belum ada lagi individu yang mempunyai bakat seperti saya,” jelasnya.

Ternyata, percaturan Kalani tidak sia-sia apabila dia kini dikenali ramai.

Lebih membanggakan, bukan sekadar menjadi pemutar bola dengan pelbagai gaya, tetapi Kalani turut diundang ke sekolah sebagai penceramah motivasi untuk menggalakkan pelajar menyertai sukan tersebut.

“Saya telah ke sekolah sebagai penceramah motivasi di beberapa negara untuk menggalakkan pelajar supaya tidak berputus asa.

“Saya bersyukur dengan apa yang dimiliki hari ini,” jelasnya.

Tekanan hidup membuatkan Kalani terlibat dengan aktiviti bola keranjang freestyler apabila mampu membuat putaran bola pada buku, berus gigi dan instrumen muzik dengan mudah.