Bagaimanapun, selepas kejatuhannya ke tangan Portugis yang diketuai oleh Alfonso de Albuquerque pada tahun 1511 dan diselangi de­ngan episod-episod penjajahan selama ratusan tahun, satu demi satu bangunan kesenian Melayu pada zaman tersebut diruntuhkan atau dimusnahkan sehingga tidak tersisa walau sebuah bangunan.

Sukar untuk generasi masa kini menggambarkan suasana kota Melaka ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka. Namun demikian, ia tidak mematahkan semangat seorang anak Melayu yang cuba ‘membangunkan’ semula kota itu.

Kecintaan pada sejarah dan kepakaran menghasilkan ilustrasi tiga dimensi (3D) melalui perisian 3D Studio Max sejak 18 tahun lalu membolehkan Mohd. Faizal Rahmat, 36, membawa semula nostalgia kota Melaka pada zaman keagungannya.

Kisah rakyat

Meskipun hanya secara maya, namun ilustrasi 3D anak kelahiran Pekan, Pahang itu terasa ‘hidup’ apabila dipaparkan di skrin komputernya.

Kru Jurnal yang sempat bertemu dengan pemilik nama itu di Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini dan berpeluang melihat sendiri ilu­strasi kota Melakanya yang begitu terperinci.

“Saya rapat dengan arwah atuk yang se­ring bercerita mengenai sejarah dan kisah-kisah rakyat. Daripada situ, saya banyak berfikir mengenai kisah-kisah itu secara analitikal. Jadi, kita boleh memahami sejarah secara intelektual melalui kajian kita sendiri,” ujarnya memulakan bicara.

Menginjak ke alam dewasa, dia menyambung pengajian dalam bidang Ijazah Integrasi Seni Bina di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.

“Minat dalam ilustrasi 3D timbul apabila saya melihat rakan menggunakan perisian tersebut. Sejak itu, saya belajar selok-belok perisian berkenaan dengan sendiri kerana ketika itu saya tidak kenal sesiapa yang mengajar perisian terbabit.

“Selama ini kita hanya belajar sejarah melalui teks, manakala gambar pun hanya gambar-gambar lama. Jadi, saya fikir ada baiknya saya mengangkat sejarah dalam bentuk 3D, apatah lagi saya ada kefahaman dalam seni bina Melayu,” katanya.

Bercerita lebih lanjut me­ngenai ilustrasi kota Melaka itu, Mohd. Faizal berkata, dia merujuk bebe­rapa rujukan utama ­antara­nya sum­ber Portugis, Belanda dan kitab Sulalatus Salatin karya Bendahara Paduka Raja Johor, Tun Muhammad Tun Ahmad atau le­bih dikenali sebagai Tun Sri Lanang.

“Saya memulakan kajian me­ngenai kota Melaka pada tahun 2004 dengan merujuk kepada beberapa pensyarah untuk menterjemahkan teks-teks klasik tersebut, tetapi usaha itu dilakukan secara sambilan dan memulakan draf ilu­strasi kota pada 2014,” jelasnya yang turut menghasilkan ilustrasi 3D secara freelance.

Mahligai Hawa Nafsu

Apabila berbicara mengenai Kota Melaka, sudah tentu Istana Melaka menjadi fokus. Untuk rekaan luaran dan dalaman, Mohd. Faizal merujuk kepada gambaran dalam Hikayat Hang Tuah.

“Hikayat Hang Tuah menceritakan secara terperinci mengenai kedudukan dalaman bahagian-bahagian istana, bentuk singgahsana, kamar sultan dan sebagai­nya,” ujarnya.

Istana Melaka yang diilustrasikan Mohd. Faizal itu turut dikenali dengan nama lain iaitu Istana Mahligai, Istana 40 bilik dan Mahligai Hawa Nafsu yang dibina semasa zaman Sultan Mansur Shah.

“Pada hemat saya, ada pe­ngaruh Siam dalam binaan istana memandangkan ia dibina selepas Melaka dapat menawan Pahang yang ketika itu berada di bawah pengaruh Siam.

“Untuk rekaan dalaman istana, saya menggabungkan elemen-elemen Melayu dan juga tamadun lain seperti China kerana Melaka ketika itu merupakan pusat perdagangan terkenal. Pastinya ada elemen tamadun lain yang dima­sukkan dalam rekaan istana. Terdapat juga orang-orang China yang terlibat dalam pembinaan istana tersebut,” katanya.

Ujar Mohd. Faizal, ilustrasi-ilu­strasinya pernah menjadi tular di Facebook pada tahun 2015 selepas dia memuat naik beberapa keping gambar hasil kerja keras­nya itu.

“Ramai yang tidak percaya itulah gambaran kota Melaka bahkan saya juga mendapat pertanyaan mengenai binaan-binaan yang ditunjukkan. Sudah tentu, tiada siapa yang tahu 100 peratus me­ngenai gambaran zaman itu tetapi mempunyai jawapan logik kepada setiap pertanyaan yang dianjurkan kepada saya.

“Contohnya, orang bertanya kepada saya mengenai lampu kaca yang dimasukkan dalam hiasan dalaman istana. Logiknya ialah pada zaman itu, Melaka di bawah nau­ngan Dinasti Ming yang telah mempunyai teknologi pembuatan lampu kaca sejak Dinasti Tang, 800 tahun sebelum itu. Jadi, lampu itu menemui jalannya ke Melaka mungkin melalui perdagangan atau hadiah daripada Maharaja China,” ceritanya panjang lebar.

Binaan lain yang boleh dilihat dalam ilustrasi Mohd. Faizal ialah Masjid Agung Melaka, jambatan besar, pelabuhan, tembok kota dan kawasan-kawasan perumahan di sekitar kota Melaka.

“Saya mengambil inspirasi daripada rekaan bangunan kolonial untuk kawasan-kawasan perumahan kerana saya masih tidak jumpa sebarang sumber mengenai kawasan perumahan kota Melaka walaupun sudah puas mengkaji,” tuturnya.

Secara keseluruhan, dia menggunakan 75 peratus fakta dan selebihnya imaginasi berdasarkan fakta tersebut.

Tepis tanggapan

Dia berharap dengan hasil karyanya, tanggapan negatif me­ngenai sejarah Melayu terutama Kesultanan Melayu Melaka dapat ditepis.

“Ramai beranggapan bahawa Kesultanan Melayu Melaka yang jatuh ke tangan Portugis tetapi sebenarnya bukan kesultanan yang jatuh, tetapi kota Melaka. Kesultanan Melayu Melaka bersambung di Johor dan di Perak,” katanya.

Ada juga yang beranggapan bahawa kota Melaka jatuh akibat ketinggalan teknologi, tetapi hakikatnya selepas kejatuhan Melaka, Portugis direkodkan membuang 300 pucuk meriam milik Melaka ke dalam laut.

Bandar bersejarah seolah-olah hidup semula apabila ‘dibangunkan’ secara maya.