Situasi itu seakan memberikan gambaran pemuzik yang mengiringi penghibur berkenaan tidak mempunyai nilai, melainkan cukup sekadar menjadi tempelan mahupun sekadar muzik iringan sahaja.

Sukar untuk menafikan kewujudan sentimen tersebut, pemuzik yang mengiringi persembahan seharusnya turut diberi perhatian kerana tanpa muzik, persembahan seseorang artis tidak lengkap. Muzik adalah elemen penting dalam sesebuah persembahan.

Bukan mengharapkan agar diberi penghargaan mahupun anugerah istimewa, tetapi seharusnya usaha mereka yang melibatkan kemahiran itu perlu diiktiraf oleh masyarakat.

Hargai

Bukan dalam bentuk wang tunai mahupun trofi bers alut emas, cukup sekadar menghargai usaha keras mereka dan tidak terlalu menganaktirikan terutama buat pihak stesen radio.

Pandangan tersebut diluahkan oleh pemain gitar popular, Joe yang membina nama bersama band rock legenda tanah air, Wings yang kini telah menganggotai kumpulan Prime Domestic. Menurutnya, dia tidak berniat untuk menyelar tanggungjawab pihak stesen radio tetapi hanya ingin memberikan pendapat.

“Terdapat beberapa bahagian lagu yang diputarkan di radio telah dipotong terutama melibatkan pemuzik gitar solo. Ia bukan sahaja memberikan gambaran seperti usaha pemuzik itu tidak dihargai dan memperlekehkan bakat yang ada.

“Setiap yang berlaku itu mempunyai kesan baik dan buruk. Biarpun bahagian tersebut dipotong, tetapi ia secara tidak langsung membantu penjualan album apabila peminat lebih tertarik untuk mendengarnya secara penuh berbanding di radio.

“Namun, ia satu keadaan yang tidak sihat kerana sekiranya keadaan seperti ini berterusan ia akan menyebabkan pemuzik seperti hilang posisi dalam industri,” terang Joe atau nama lengkapnya, Abdul Zamin Abdul Kadir.

Pada masa sama, Joe turut tidak menafikan kreativiti generasi baharu terutama pelapis muda yang kurang ‘menyengat’ berbanding pemuzik dahulu menjadikan mereka sukar mencuri tumpuan peminat.

Katanya, sebagai individu berpengalaman dalam industri, dia melihat sebahagian pemuzik muda masa kini mengambil jalan pintas dengan cara ‘mencedok’ idea pihak lain dan kemudian melakukan susunan muzik baharu. Tidak kurang juga, komposer dan penyanyi lebih mementingkan melodi berbanding keunikan persembahan teknikal dari segi susunan muzik.

“Berbanding dahulu, peminat mengenali sesebuah kumpulan tidak hanya vokalis tetapi, mereka turut mengenali pemuzik lain seperti pemain gitar dan drum. Keadaan sebaliknya berlaku kepada penggiat seni masa kini. Tidak perlu terkejut sekiranya peminat tidak mengenali anggota melainkan nama kumpulan.

“Peminat mengenali vokalis kerana sememangnya itu yang sering diberi penekanan berbanding kemahiran pemuzik.

“Pemuzik masa kini juga perlu mempunyai gaya tersendiri serta berbeza daripada individu lain agar peminat dapat mengenali sekali gus menyerlahkan bakat,” jelasnya yang mengharapkan agar pemuzik tempatan mewujudkan persatuan bagi membantu membela nasib mereka dalam industri hiburan.

Beri peluang

Selain memiliki imej tersendiri, pemuzik juga harus diberi peluang untuk menyerlahkan bakat masing-masing terutama golongan siswazah yang menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi.

Peluang kerja yang terhad menjadi kekangan kepada mereka untuk meneruskan usaha setelah berhempas pulas menuntut pengajian sekitar dua hingga tiga tahun dengan harapan berjaya merealisasikan impian menceburi industri seni.

Menurut konduktor muzik terkenal, Datuk Mokhzani Ismail, pemuzik turut memainkan peranan penting bagi memastikan persembahan penyanyi disampaikan dengan baik.

Sekiranya tiada pemuzik yang mengiringi, suasana persembahan pasti kelihatan hambar selain sukar untuk terlalu bergantung harap terhadap kekuatan vokal penyanyi.

Meskipun melibatkan persembahan akustik, penyanyi tetap diiringi dengan alunan alat muzik seperti gitar, piano dan biola. Semua itu memerlukan kemahiran yang dipelajari selama bertahun-tahun selain kesungguhan dan kesabaran.

“Setiap tahun kita menerima ratusan pelajar yang mengambil jurusan muzik tidak mengira di institusi awam mahupun swasta. Bagaimanapun, adakah mereka akan mendapat peluang pekerjaan seperti yang diharapkan.

“Kebanyakan mereka mempunyai bakat untuk menjadi pemuzik hebat namun, disebabkan peluang yang terhad menjadikan ada sebahagian mereka terpaksa mengubah haluan dengan memilih kerjaya berbeza daripada dipelajari di universiti,” katanya dengan harapan agar golongan pemuzik muda diberi ruang untuk mencipta nama dalam industri.

Tambahnya, pemuzik yang bertungkus lumus mengiringi persembahan artis bukan sekadar latar mahupun penghias pentas agar kelihatan dramatik terutama sekiranya melibatkan kerjasama dengan kumpulan orkestra.

Memberi penekanan terhadap pemuzik yang melibatkan diri dengan persembahan orkestra, beliau menyimpan harapan besar agar golongan berkenaan mampu mencipta nama dalam industri hiburan sekali gus meraih pendapatan yang setimpal.

“Kebanyakan pemuzik dahulu memulakan kerjaya mereka di kelab malam atau persembahan majlis kenduri kahwin. Situasi sekarang pula, mereka memiliki sijil yang diiktiraf dan menuntut dengan golongan terpelajar.

“Jadi, mereka ini perlu diberi peluang agar dapat membentuk masa depan yang lebih cerah selain membawa resolusi baharu kepada industri muzik tempatan,” terangnya.

Peralihan sistem

Sementara itu, pemain dram kumpulan XPDC, Lola atau nama sebenarnya, Saiful Rizla Kamarudin tidak menafikan peralihan sistem muzik daripada analog kepada digital menjadi salah satu penyumbang pemuzik masa kini sukar untuk mendapatkan pekerjaan.

Situasi itu bagaimanapun bukan satu masalah serius buat dirinya yang menganggotai kumpulan rock terkenal selain aktif dalam persatuan pemain dram tempatan.

Ujarnya, keistimewaan persatuan terbabit yang banyak membantunya untuk mendapatkan peluang pekerjaan sekiranya anggota kumpulan berkenaan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti persembahan.

"Peluang untuk mendapatkan pekerjaan buat pemuzik masa kini tidak ubah seperti permintaan sedikit berbanding penawaran. Syukur, persatuan banyak membantu dan kami saling bertukar-tukar tawaran kerja sesama ahli.

Mengulas mengenai peralihan sistem digital, sekiranya dahulu mereka mampu menyumbangkan tenaga mengiringi artis sewaktu menjalani sesi rakaman di studio, perkara itu bagaimanapun berbeza apabila kemunculan sistem digital yang lebih mudah dan mampu melakukan susuan dan menghasilkan muzik menggunakan medium elektronik.

“Cara dahulu berbeza dengan sekarang terutama melibatkan susunan muzik yang dilakukan secara digital pada masa sekarang. Berbeza dahulu, pemuzik perlu memainkan alat muzik di studio.

“Selain itu, mereka banyak memberi penekanan untuk membuat persembahan secara live tetapi tidak dalam album. Kreativiti mereka seakan tidak mempamerkan kualiti yang sebenar,” ujarnya serius.

Meskipun setiap perkara dilakukan mempunyai pro dan kontra, namun golongan pemuzik perlu mendapat kedudukan tersendiri agar dapat mencetuskan daya saing antara satu sama lain.

Pada masa sama, peminat tidak hanya perlu memberi tumpuan kepada penyanyi semata-mata, tetapi menghargai usaha pemuzik yang mengiringi bagi memastikan kualiti persembahan serta memberi kepuasan kepada penonton.

Ibarat kata pepatah bagaikan aur dengan tebing, begitulah akrabnya persahabatan yang melengkapkan sesebuah persembahan nyanyian menerusi kepakaran barisan pemuzik.