Misalnya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan golongan belia daripada usia 19 hingga 29 tahun, manakala Bank Dunia pula mengkategorikan belia dalam kalangan umur 15 hingga 25 tahun.

Namun begitu, tidak kira berapa pun umur yang dinyatakan, kelompok berkenaan disifatkan sebagai golongan produktif, idealistik dan bakal pemilik masa depan.

Golongan belia juga sering menjadi agenda utama dalam sesebuah negara termasuklah dalam pengurusan kewangan bagi menangani kadar muflis bagi golongan itu.

Baru-baru ini, negara menunjukkan penurunan statistik kes muflis akibat kad kredit yang melibatkan generasi bawah 30 tahun.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, statistik menunjukkan individu yang diisytiharkan muflis bagi tempoh Januari hingga September tahun ini ialah sembilan orang.

Kad kredit

“Jumlah itu dilihat berkurangan berbanding tahun lalu iaitu seramai 22 orang muda diisytiharkan muflis, manakala 17 orang (2015) dan 12 orang (2014),” ujarnya sambil memberitahu golongan muda adalah pemegang kad kredit paling ramai di negara ini.

Bagi mengekal atau mengurangkan lagi jumlah belia muflis di negara ini, Othman berkata, Bank Negara telah mengambil pelbagai langkah bagi memastikan hanya pengguna yang benar-benar layak boleh memohon kad kredit.

“Langkah itu termasuklah memperketatkan syarat pengeluaran kad kredit seperti menaikkan pendapatan minimum pemegang kad daripada RM18,000 kepada RM24,000,” jelasnya.

Melihat kepada jumlah penurunan berkenaan, sebenarnya tidak mustahil jika angka itu dapat dikurangkan lagi pada masa akan datang.

Pengarah Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI), Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, kini lebih ramai golongan berkenaan yang celik kewangan disebabkan terdapat pelbagai program di universiti dan seminar kewangan dianjurkan.

“Seminar-seminar yang dianjurkan dengan kerjasama industri seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) banyak membantu meningkatkan lagi kesedaran mereka.

“Malah tidak dinafikan, laporan-laporan penulisan di media massa juga membantu mendorong mereka meningkatkan ilmu kewangan, ia adalah satu bacaan yang sangat bagus dan menggalakkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Nuradli, faktor lain berlakunya penurunan angka tersebut ialah negara sedang mengalami kewangan ketat, jadi semua dalam keadaan berhati-hati dan tidak mahu berhutang.

Sementara itu, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat AKPK, Khalil Jamaldin berkata, usaha yang berterusan harus dijalankan bagi mengurangkan lagi jumlah kes muflis akibat kad kredit.

Celik kewangan

“Sejak penubuhan AKPK pada 2006 sehingga 31 Oktober 2017, lebih daripada 648,295 pelanggan telah mendapatkan perkhidmatan kaunseling dengan 203,079 orang telah dibantu melalui Program Pengurusan Kredit (PPK) kami.

“Daripada jumlah itu, 14,973 kes berjaya diselesaikan melalui PPK dengan jumlah keseluruhan bernilai RM600 juta,” jelasnya.

Katanya lagi, pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan AKPK tergolong daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Dalam kebanyakan kes, faktor yang menyumbang kepada masalah hutang dan ketidakupayaan membayar balik pinjaman disebabkan oleh perancangan kewangan yang lemah, tidak mempunyai pengetahuan kewangan dan tidak hidup mengikut kemampuan.

“Apa yang diharapkan, agar lebih ramai lagi masyarakat terutamanya golongan belia celik kewangan demi kesejahteraan kehidupan masing-masing pada masa akan datang,” ujarnya.