Mencari ikan laga di paya dan sawah padi merupakan aktiviti harian Bobby Chua di pekan Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka pada sekitar tahun 1970-an.

Balik sahaja dari sekolah sesi petang, dia dan beberapa orang kawan sekolahnya pasti akan berlumba-lumba untuk mencari sebanyak mungkin ikan laga tetapi pada masa itu hanya untuk koleksi peribadi.

Daripada sekadar hobi memiliki ikan laga yang biasa-biasa sahaja, anak jati Melaka ini mula secara serius bereksperimen untuk menghasilkan ikan laga jenis giant atau besar sesuai dengan nama ikan laga atau pelaga.

Idea itu tercetus selepas melihat kehebatan ikan laga jenis giant milik rakannya yang menewaskan ikan laga lain lalu memasang impian untuk membeli ikan yang hebat itu. Rakannya membeli ikan laga dengan harga RM5 namun bagi Bobby ia terlalu mahal pada masa itu.

Seperti ikan laga yang terkenal dengan sifat tahan lasak, kekecewaan itu bagaimanapun menyuntik semangat untuk dia bereksperimen bagi menghasilkan ikan laga yang bukan sahaja cantik, tetapi garang berasaskan pemerhatiannya terhadap habitat asal ikan laga.

Kegigihan Bobby terbukti apabila eksperimennya berjaya membuahkan hasil. Daripada sekadar hobi semasa kecil, ikan laga atau Betta kini menjadi perniagaan buat Bobby yang berkelulusan dalam bidang ukur bahan dari sebuah universiti di Britain.

Dia mula serius menerokai bidang perniagaan ikan laga ini sekembalinya ke tanah air dari Britain pada sekitar tahun 1990-an. Kini, Bobby yang berusia 45 tahun merupakan seorang penternak ikan laga berjaya menerusi perniagaan ladang ternakan Betta4U di Durian Tunggal selain merupakan pengasas Persatuan Ikan Betta Malaysia (BSM).

Eksperimen

Bobby juga merupakan seorang pengadil pertandingan ikan laga peringkat antarabangsa dan pernah mengadili pertandingan di Taiwan dan Singapura.

Berkongsi kisah awalnya menjalankan eksperimen ikan laga, Bobby yang ketika itu berusia sekitar lapan tahun berkata, dia mengumpul air dari paya, bukit dan sawah padi untuk mencari sumber air yang paling sesuai untuk menghasilkan ikan bermutu.

“Setiap hari tanpa rasa jemu saya memunggah dua baldi air untuk eksperimen dan akhirnya selepas beberapa kali berusaha, saya berjaya menghasilkan ikan laga bersaiz besar dengan menggunakan teknik ‘pembiakbakaan kacuk’ melibatkan beberapa induk spesies ikan tempatan,” katanya kepada Bernama di Durian Tunggal baru-baru ini.

Bertitik tolak kejayaan tersebut, Bobby terus melakukan kajian sehingga hari ini bagi menghasilkan baka ikan laga bermutu tinggi dengan menggunakan kaedah alam semula jadi.

“Antara spesies ikan yang saya hasilkan adalah Super Red Betta, Super Black Betta, Giant Koi Betta, Giant Galaxy Betta, Black Dragon Pradise Betta dan banyak lagi,” katanya sambil menambah komuniti Betta antarabangsa turut mengiktiraf ikan laga jenis solid colour yang dihasilkannya sebagai antara ikan laga terbaik di dunia.

Bobby berkata kebanyakan daripada pembeli dari luar negara seperti dari Jepun, Taiwan, Hong Kong dan Singapura lebih berminat dengan ikan laga jenis Super Red Betta.

Bobby berkata, ikan laga yang dihasilkan menggunakan kaedah alam semula jadi yang mempunyai kelebihan dari segi warna, saiz dan jangka hayat lebih lama berbanding ikan yang dibela menggunakan kaedah akuarium.

“Kita tahu habitat asal ikan ini adalah air yang kotor serta hitam dan bukannya air jernih seperti air yang terdapat dalam akuarium.

“Daripada pemerhatian dan perkongsian dengan penternak lain, rata-rata ikan laga yang mereka bela boleh hidup dalam jangka masa dua atau tiga tahun sahaja berbanding ikan yang saya bela boleh hidup sehingga tujuh tahun,” katanya.

Jelasnya, ini adalah kerana ikan laganya dibiarkan hidup dalam cuaca panas, air berlumpur, terdedah pada hujan tanpa perlindungan seperti pada habitat asalnya.

Bagi memastikan ikan laga yang dibela dapat hidup lama, Bobby membina kolam asuhan anak ikan laga di luar bangunan agar anak ikan tidak manja dan tahan lasak. Sehingga kini, dia mempunyai 70 buah kolam untuk tujuan berkenaan.

Kualiti

Tambah Bobby, biarpun perkembangan industri ikan laga di negara ini agak terkebelakang berbanding negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, namun spesies ikan laga yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan mempunyai keistimewaannya tersendiri.

“Kita mungkin tidak dapat bersaing dari segi kuantiti namun pengusaha kita mampu menghasil ikan yang mempunyai kualiti yang hampir sempurna,” katanya.

Sementara itu, bagi seorang penghidap penyakit buah pinggang, Muhamad Arif Harithah Hariul Nizam, 22, ikan laga mempunyai makna besar yang telah mengubah hidupnya.

Sesetengah orang mungkin menganggap ikan laga sebagai ikan picisan tetapi tidak bagi diri penghidap penyakit kronik itu yang juga merupakan penternak ikan laga di Duyong, Melaka.

Dia yang lebih mesra dengan panggilan Arif dikesan menghidap penyakit buah pinggang tiga tahun lalu dan perlu menjalani dialisis sekali seminggu.

Penyakit ini juga membuatkan dirinya terpaksa melupakan impian untuk menggenggam segulung ijazah apabila terpaksa menangguhkan pengajiannya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor dalam bidang kejuruteraan elektrik.

“Kira-kira seminggu sebelum menduduki peperiksaan semester enam saya disahkan menghidap penyakit buah pinggang, doktor memberitahu bahawa kedua-dua belah buah pinggang saya rosak menyebabkan saya terpaksa menangguhkan pengajian.

“Saya kerap keluar masuk hospital dan banyak masa dihabiskan di atas katil hospital,” katanya yang hampir berputus asa dengan keadaan dirinya itu.

Namun segalanya berubah apabila ibunya, Zuriana Jasmani, 48, membelikan seekor ikan laga untuk menghilangkan rasa bosannya duduk di hospital.

Unik

Bagi Arif, ikan laga bukan hanya cantik dipandang malah menjadi pembakar semangat untuk dirinya meneruskan kehidupan serta berjuang terus melawan penyakit yang dihadapinya.

Semasa terbaring di katil hospital, ikan laga yang dibelikan oleh ibunya itu menjadi penghibur hati.

“Ikan ini nampak kecil tetapi berbanding dengan binatang peliharaan lain, ikan laga mempunyai sifat unik. Ia mempunyai semangat juang yang tinggi dan tidak putus asa ketika bertarung biarpun mengalami kecederaan pada bahagian badan,” katanya.

Pada peringkat awal, Arif membela ikan laga hanya sebagai hobi. Dia memelihara sepasang ikan laga yang dibelinya dengan harga RM5 seekor sebelum cuba membiak ikan laga jenis Halfmoon Betta.

Apabila cubaan itu berjaya, dia terdorong untuk memulakan perniagaan ikan laga dengan menumpang di satu sudut kedai haiwan peliharaan ibunya yang terletak di perkampungan Duyong.

Menurutnya, usaha membiak ikan laga bukan satu perkara yang mudah kerana pada peringkat awal dia hanya mempelajari teknik pembiakan dengan bergurukan laman sosial.

“Setelah beberapa bulan gagal, akhirnya saya berjaya menghasilkan benih anak ikan dan dari situlah saya mendapat idea untuk memulakan perniagaan ikan laga secara kecil-kecilan,” katanya.

Rentetan daripada kejayaan itu, Arif semakin gigih dan berani melakukan eksperimen membaik baka ikan laga yang lebih mahal iaitu koi Betta dari keluarga plakad Betta yang boleh dijual pada harga pasaran RM30 hingga RM100 seekor bergantung kepada kualiti.

Arif kini mempunyai lebih kurang 500 pelbagai jenis ikan laga yang dijual pada harga serendah RM5 hingga ratusan ringgit bergantung kepada jenis, warna dan saiz.

Antara jenis ikan laga yang terdapat di kedainya ialah jenis koi, fancy, dumbo, giant, half moon, double tail, solid colour dan crown tail.

Arif berkata pendapatan daripada menjual ikan laga tidak tetap dan ia bergantung kepada musim. Biasanya permintaan terhadap ikan laga akan meningkat pada musim cuti sekolah.

Arif berkata secara purata beliau dapat menjual 300 ekor ikan laga sebulan tidak termasuk jualan secara borong.

“Bagi saya apa yang penting adalah tidak cepat putus asa dan saya tidak berhenti cuba melahirkan baka ikan laga baharu. Saya kini dalam usaha menghasilkan baka kacukan sendiri satu hari nanti,” katanya. – Bernama