Berdas-das tembakan dilepaskan ke udara. Penduduk yang berani menentang akan dibelasah dan ditawan di tempat mereka sendiri. Selama beberapa jam warga desa diselubungi ketakutan.

Penyerang terbabit turut meruntuhkan sekatan jalan menghala ke lombong bijih emas yang dibina penduduk. Menggunakan beberapa trak, kumpulan penceroboh itu kemudiannya rakus mengangkut keluar logam berharga tersebut.

Selama bertahun-tahun penduduk kampung membantah kegiatan melombong emas yang dikendalikan Tungkum Ltd. (Tungkum) kerana aktiviti itu menyebabkan kawasan penempatan kampung Na Nong Bong tercemar dengan bahan kimia berbahaya seperti sianida, arsenik dan merkuri.

Namun, penduduk tidak pernah menyangka tentangan yang diberi itu akan mengancam nyawa dan keselamatan mereka.

Keganasan

“Ketika dipukul dan ditangkap saya fikir ini bukan Thailand tanah air saya. Saya seperti berada di zon perang di negara asing.

“Saya tidak pernah berasa begitu lemah dan tidak berdaya seperti malam itu,” ujar Ranong Kongsaen mengimbau peristiwa hitam yang berlaku empat tahun lalu itu.

Wanita itu ketika ditemui duduk di atas tikar dewan komuniti kampung bersama beberapa anggota kumpulan Khon Rak Ban Kerd (KRBKG) yang bermaksud orang yang mencintai tanah air.

Keganasan di Na Nong Bong tampak dengan sengaja menyasarkan kaum wanita yang mengetuai bantahan mengejutkan para aktivis.

Wakil kumpulan advokasi Fortify Rights, Sutharee Wannasiri berkata, selepas melakukan siasatan selama tiga tahun, pihaknya telah menerbitkan laporan mendesak kerajaan Thailand melakukan siasatan dan mendakwa penyerang tersebut ke muka pengadilan.

“Selama bertahun-tahun, penduduk kampung secara aman meminta agar penutupan lombong dan pemulihan tanah itu supaya mereka dapat meneruskan kegiatan pertanian,” katanya.

Selain kampung Na Nong Bong, komuniti lain di merata tempat di Thailand turut menentang kegiatan perlombongan emas.

Sebagai tindak balas, kerajaan tentera Thailand menggantung semua operasi perlombongan emas sejak Januari 2017 berikutan ia memberi kemudaratan kepada penduduk tempatan dan alam sekitar.

Dalam hal ini, kerajaan memerintahkan syarikat perlombongan memulihkan kawasan terjejas selain meminta agensi kerajaan terlibat menangani sebarang kesan berbahaya termasuk kepada kesihatan penduduk terlibat.

Dari aspek tindakan dan pelaksanaan arahan, tidak banyak usaha dilakukan untuk memperbaiki keadaan.

“Proses menuntut pampasan dan memulihkan tanah juga bagaikan tidak berpenghujung biarpun setelah lombong ditutup,” luah Sor Rattanamanee Polkla, seorang peguam yang mewakili penduduk Na Nong Bong.

Pada bulan Februari tahun ini, Tungkum diisytiharkan muflis oleh mahkamah Bangkok. Ramai yang masih berjuang di mahkamah dengan penduduk kampung tetap takut untuk menanam padi atau minum air sungai dan telaga kerana mempunyai kandungan unsur logam seperti mangan dan kadmium.

Penduduk juga dinasihati supaya tidak makan siput sungai yang menunjukkan tanda-tanda pencemaran arsenik.

Dahulu, di kampung Na Nong Bong, penduduk menangkap ikan di sungai yang bersih dan jernih. Mereka menanam padi, pisang, mangga dan betik di tanah subur wilayah Loei yang dikelilingi gunung-ganang dan hutan tebal.

Pencemaran

Namun, keadaan itu berubah selepas Tungkum beroperasi pada tahun 2006. Penduduk mula terganggu dengan pencemaran bunyi dan debu membuatkan mereka kerap jatuh sakit.

Kajian Tungkum menganggarkan terdapat 1 juta tan bijih tertanam di bukit-bukit Loei. Penilaian impak alam sekitarnya sekadar menyebut, impak kesan buruk adalah terhad.

Apabila penduduk merasai kesan projek itu kian buruk penduduk enam kampung di daerah Wang Sa Phung membentuk KRBKG.

“Sebelum mereka datang, kami menguruskan pekerjaan tradisi iaitu bertani dan menangkap ikan dengan baik.

“Tetapi perlombongan itu mengubah segala-galanya. Tanah yang kami pijak ini adalah kehidupan kami, kesihatan kami dan ketenangan jiwa kami,” tegas ketua KRBKG, Pornthip Hongchai. 
– Reuters