Kedua-dua orang tua pastinya menjadi insan yang paling gembira pada hari itu kerana anak-anak dan cucu-cucu pulang ke kampung halaman.

Namun tidak semua orang tua akan melalui detik-detik gembira itu kerana ada antara mereka diabaikan oleh anak masing-masing.

Begitulah juga nasib yang menimpa seorang warga emas yang hanya mahu dikenali sebagai Fatimah.

Dia yang telah hampir empat tahun tinggal di sebuah rumah jagaan orang tua di Kajang, Selangor kini seakan-akan telah diabaikan oleh dua anaknya.

Setelah kematian suami, zuriatnya sepakat menghantar Fatimah untuk tinggal di situ.

“Saya langsung tidak menyangka akan menghabiskan sisa-sia kehidupan di sini.

Hijrah

“Kadang-kadang bila menjelang hari raya nenek teringin untuk menyambutnya bersama anak-anak dan cucu-cucu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Anak-anak jarang menjenguknya di situ memandangkan masing-masing telah mempunyai keluarga.

Dalam pada itu, Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Zaid Ahmad berkata, perubahan demografi yang menyebabkan penghijrahan dari desa ke bandar sedikit sebanyak menyebabkan masalah itu berlaku.

Jelasnya, pembangunan di negara kita tidak seimbang dan ramai anak-anak muda terpaksa berhijrah ke bandar untuk mencari kehidupan.

“Apabila berlaku penghijrahan secara keterlaluan dan tidak terkawal akan menyebabkan mereka sukar menyantuni ibu bapa yang ditinggalkan di kampung halaman.

“Bagi ibu bapa yang masih berkeupayaan dari segi fizikal dan mental mungkin mereka masih boleh tinggal di rumah sendiri. Tapi bagaimana pula bagi mereka yang telah uzur? Mungkin antara penyelesaian terakhir ialah menghantar ibu bapa mereka ke rumah jagaan,” katanya.

Kepada sebahagian yang lain pula membawa ibu bapa tinggal bersama di bandar. Barangkali kesibukan kerja dan kehidupan harian akan mendorong perkara sedemikian berlaku.

Namun, Zaid menjelaskan, sistem nilai masyarakat kita iaitu Melayu dan beragama Islam adalah menitikberatkan tanggungjawab penjagaan terhadap ibu bapa.

Sehubungan itu, tegasnya, institusi penjagaan mestilah menjadi pilihan yang terakhir.

“Jika anak-anak masih mempunyai kemampuan untuk menjaga kedua-dua ibu bapa, mereka perlu tunaikan tanggungjawab itu. Jangan kita lepas tangan dengan menghantar mereka ke pusat penjagaan walhal kita masih mampu untuk menjaga mereka.

“Tidak dinafikan, terdapat juga kes sesetengah ibu bapa sendiri yang mahukan anak-anak menghantar mereka ke rumah jagaan. Tetapi, sebagai anak haruslah sentiasa mengunjungi dan mengambil berat tentang mereka di sana walaupun ibu bapa pergi atas kerelaan sendiri,” katanya.

Zaid menekankan, isu yang sering terjadi dalam masyarakat kita adalah sikap lepas tangan. Apabila menghantar ibu bapa mereka di pusat jagaan ada sesetengah langsung tidak mempedulikannya.

Ujian

Sementara itu, penceramah bebas, Ustaz Mohd. Farid Ravi Abdullah berkata, ibu bapa yang lanjut usia adalah ujian yang Allah berikan kepada anak-anak.

Jelasnya, Allah mahu melihat sejauh mana kita menguruskan ibu bapa terutamanya yang sudah lanjut usia.

“Pada waktu itu, segalanya kita akan diuji dari segi tanggungjawab, emosi dan kesabaran. Apabila lanjut usia mereka mungkin sudah tidak sempurna dari segi kudrat, ingatan dan sebagainya.

“Oleh itu mereka yang masih mempunyai ibu dan bapa perlulah mengambil peluang itu untuk berbakti kepada kedua-duanya,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa adalah penyebab dan tiket untuk seseorang itu masuk ke syurga. Jika berbakti dengan sebaiknya terhadap ibu bapa sebelah kaki si anak sudah di syurga.

Dalam pada itu, Mohd. Farid Ravi berkata, sebenarnya jasa ibu bapa kepada anak-anak begitu besar dan tidak dapat dibalas oleh anak-anak.

Kongsinya, ada satu kisah pada zaman Rasulullah SAW bagaimana seorang pemuda telah mendukung ibunya untuk melakukan tawaf sewaktu mengerjakan haji.

“Pemuda itu bertanya kepada Rasulullah adakah jasanya terhadap ibunya terbalas setelah berbuat demikian. Rasulullah menjawab masih belum cukup,” ujarnya.