AKHBAR Kosmo! baru-baru ini melaporkan bahawa terdapat kebimbangan berikutan isu terdapat ramai anak muda di Malaysia menjadikan ibu bapa seperti ‘bank segera’ apabila masih lagi meminta bantuan kewangan walaupun sudah bekerja. Duit yang digunakan antara lain untuk tujuan membeli kereta, rumah dan berkahwin.

Berdasarkan laporan Kuasa Perlindungan HSBC Bank Malaysia Berhad (HSBC Malaysia) berjudul Mendepani Masa Depan, kira-kira 57 peratus ibu bapa di Malaysia masih memberi sokongan kewangan kepada anak-anak mereka berusia lebih 18 tahun.

Kajian itu mendapati bidang pendidikan merupakan perkara paling banyak dibantu oleh ibu bapa iaitu sebanyak 69 peratus, menyokong dari segi kos kehidupan harian termasuk bil utiliti, barang keperluan dapur dan pembaikan kediaman (41 peratus), aspek perubatan dan penjagaan pergigian (38 peratus) dan 27 peratus dalam kos kemudahan atau sewa.

Sebagai rekod, ibu bapa di negara ini berada pada kedudukan keempat peringkat global dalam menyokong kewangan anak-anak mereka yang dewasa dengan Emiriyah Arab Bersatu berada di tempat teratas diikuti Indonesia dan Mexico, masing di tangga kedua dan ketiga.

Dengan ramai ibu bapa membiayai anak-anak dewasa, perkara ini dilihat memberi beban tambahan lagi-lagi dengan faktor usia mereka yang sudah lanjut dan sebahagian besarnya sudah bersara daripada pekerjaan masing-masing. Bagi mendapatkan maklumat lanjut, wartawan Kosmo! Ahad, NOR IDAYU BOSRO menemu bual Pensyarah Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Profesor Madya Dr. Rumaya Juhari di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Siapakah golongan anak muda yang dilihat cenderung menjadikan ibu bapa mereka sebagai bank segera?

RUMAYA: Anak-anak ini boleh terdiri daripada mereka yang benar-benar memerlukan sokongan kewangan atau mereka yang mengkehendaki sokongan kewangan berkenaan atas apa jua sebab termasuk untuk memenuhi kehendak dan keperluan hidup.

Walaupun sebagai keperluan, pergantungan terhadap sokongan kewangan daripada ibu bapa tidak boleh berterusan apatah lagi duit ibu bapa tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk memenuhi kehendak anak-anak terhadap barangan, perkhidmatan, aset atau hiburan yang bersifat tidak mampu dimiliki oleh anak pada masa berkenaan secara sendiri. Sokongan boleh diberi secara berhemah dan jelas terma serta syaratnya supaya tidak wujud budaya ambil kesempatan.

Pada pendapat Dr., apakah yang menyebabkan mereka berbuat demikian?

Ini juga terdiri daripada berbagai-bagai faktor berbeza. Ia mungkin didorong oleh faktor tidak cukup duit kerana belum bekerja, gaji tidak mencukupi dan tiada tabungan. Sebagai contoh, pada zaman serba canggih ini, keperluan generasi muda terhadap gajet sangat tinggi. Oleh yang demikian, ada sebahagian besar yang sanggup berhabis duit untuk membeli gajet terbaharu itu kerana sedar kemahuan tersebut mungkin tidak ditunaikan kalau minta daripada ibu bapa. Bagi mereka, tanggungan lain seperti makan minum, sewa rumah dan sebagainya masih di bawah tanggungjawab ibu bapa. Dalam situasi ini, kita tidak nampak individu begini bertanggungjawab sepenuhnya ke atas perbelanjaan kewangan mereka. Selain itu, tiada rasa segan dan tidak bertanggungjawab terhadap ibu bapa juga merupakan antara faktor lain. Kepelbagaian faktor ini merencamkan penerangan kerana kes adalah banyak dan berbeza.

Perubahan demografi di Malaysia telah membesarkan saiz keluarga kelas menengah sehingga mempunyai pendapatan agak tinggi. Ada pihak berpendapat, golongan ini memberi kesenangan kepada anak-anak kerana tidak mahu merasai dan mewarisi kesusahan yang pernah ditanggung suatu ketika dahulu. Apa komen Dr.?

Bagi saya, ia tidak terhad kepada golongan kelas menengah sahaja. Susah mana pun ibu bapa, tiada yang mahu lihat anak mereka menjalani kehidupan sukar. Secara psikologinya, saya rasa ia adalah fitrah kerana dengan membantu anak akan membuatkan mereka berasa gembira. Bagaimanapun, sebagai ibu bapa yang berperanan sebagai penyumbang dalam keluarga, mereka perlu ambil pendekatan tegas dengan anak-anak agar mereka tidak sewenang-wenangnya mengambil kesempatan di atas rasa belas dan kasihan yang diberikan.

Ibu bapa juga kena tahu letak sempadan dalam membantu anak-anak. Perlu diingat apabila anak sudah terbiasa ditanggung, bagaimana dia mahu belajar cara hidup dan berusaha kalau selalu disuap. Ini suatu yang saya rasa ibu bapa secara tidak langsung menjadi penyumbang kepada kegagalan anak itu berdikari. Sebab kita kena sedar dalam konteks hubungan suami isteri, kita tidak tahu bila pasangan akan meninggalkan kita. Konsep ini sama juga dengan kebergantungan anak terhadap ibu bapa. Pokoknya, kalau anak ini tidak diajar untuk berdikari dan mencari duit sendiri, kelak dia akan mencakar-cakar seorang diri dan tidak tahu apa yang perlu dibuat dengan hidupnya.

Apakah impak jika ibu bapa terus memberikan duit serta kesenangan kepada anak walaupun mereka sudah boleh berdikari?

Pada pendapat saya, asuhan sedemikian tidak membantu untuk mengajar anak berdikari. Sokongan berterusan ini hanya akan membuatkan mereka malas, tiada nilai-nilai murni dan tidak matang serta bertanggungjawab. Impaknya sudah tentu pada generasi akan datang kerana sikap itu akan menjadi ikutan cucu dan seterusnya melahirkan masyarakat dan negara yang tidak sihat. Kelemahan ibu bapa mendidik anak dengan tidak bertegas dan terlalu kasihankan anak sehingga tidak mahu mereka berasa susah juga hanya memudaratkan keadaan. Mereka perlu tahu menerusi pengalaman kesukaran yang dilalui anak untuk mendapatkan wang, itulah yang akan mengajar mereka untuk mencari duit dan mampu menyara hidup sendiri.

Apakah pula kesannya terhadap kelangsungan hidup ibu bapa menuju hari tua mereka jika wang persaraan habis digunakan untuk anak-anak?

Perkara ini membimbangkan kerana kita tidak mahu ibu bapa menjadi mangsa di atas sikap anak-anak kerana mereka akan memasuki peringkat kehidupan lain sebagai warga emas. Pada peringkat ini, sekiranya ibu bapa tidak memiliki wang simpanan yang mencukupi, ia tidak dapat menampung rawatan kesihatan dan penjagaan yang boleh membantu mereka menjalani kehidupan tua yang selesa khususnya bagi yang kurang berkemampuan.

Sepatutnya, ibu bapa tidak boleh membuat andaian atau menyimpan harapan bahawa anak-anak pasti akan menjaga mereka apabila tua suatu hari nanti. Bagi saya, perkara sebegini tiada jaminannya dan untuk itu, ibu bapa harus melindungi diri mereka terlebih dahulu. Saya bukan mahu ajar konsep pentingkan diri sendiri tetapi perlu diingat, sekurang-kurangnya kalau ibu bapa ada simpanan, ia akan menyenang dan memudahkan mereka.

Bagaimanakah Dr. melihat isu ini dapat dibendung daripada terus melarat dalam kalangan masyarakat?

Dalam hidup ini, setiap manusia ada tugas perkembangan dan sebagai ibu bapa, kita perlu mendewasakan anak agar mereka boleh berdikari di atas kaki sendiri. Ini penting supaya anak itu juga boleh meneruskan tugas sosial dalam persekitarannya. Bagi saya, komunikasi yang betul dan berkesan antara ibu bapa dan anak sangat penting supaya kedua-dua pihak bermanfaat daripada hubungan kekeluargaan itu. Ibu bapa perlu tegas dan meletakkan sempadan dalam memberi bantuan kewangan. Jika perlu, jelaskan ia dilakukan bukan untuk suka-suka tetapi sebagai peluang untuk anak belajar menjadi dewasa dan peringatan bahawa hidup bukan semudah yang disangka. Ia juga sebagai pendedahan kerana suatu hari nanti mereka perlu meneruskan kehidupan keluarga sendiri.

Anak pula jangan ambil mudah pengorbanan ibu bapa. Mereka perlu menilai semula tingkah laku ini dan tanya diri sendiri adakah ia adil kepada kesejahteraan orang tua. Jangan sampai keselesaan ataupun keselamatan kewangan masa depan untuk hari tua mereka terjejas angkara perbuatan diri kita sendiri.