Jika sebelum ini lokasi itu hening dan hanya menerima kunjungan pengguna kolam kira-kira pukul 9 pagi, namun berbeza pada pagi itu.

Walaupun ketika itu jam baru menunjukkan pukul 7.30 pagi, dari jauh sudah kedengaran muzik rancak berserta bunyi kocakan air yang kuat melatari persekitaran.

Semakin mendekati kolam renang, bunyi itu kian jelas kedengaran disulami dengan suara wanita yang melakukan kiraan pergerakan.

Rupa-rupanya terdapat sekumpulan terdiri daripada 40 orang wanita sedang melakukan senaman kecergasan dikenali akua zumba. Akua zumba merupakan senaman yang memerlukan seseorang itu bersenam di dalam air.

Melihat peserta-peserta tersebut melakukan pergerakan pantas dan rancak di dalam air, pasti ia memerlukan tenaga yang banyak kerana perlu ‘berlawan’ dengan tekanan air. Namun, siapa sangka, ada antara mereka yang hampir berusia 50 tahun.

Salah seorang peserta, Amalina Ma’Radzi, 44, berkata, akua zumba merupakan aktiviti yang paling sesuai untuk dilakukannya selepas mengalami masalah lutut sejak tahun lalu.

“Sebelum ini saya merupakan seorang wanita yang aktif memasuki larian maraton, mendaki dan berbasikal namun, selepas mengalami masalah lutut saya terpaksa memperlahankan aktiviti sedemikian.

“Jadi saya buat aktiviti yang kurang memberi impak pada lutut dan akua zumba adalah pilihan terbaik,” katanya ketika ditemui K2 di kolam renang tersebut baru-baru ini.

Wanita berasal dari Puchong, Selangor itu mengalami masalah osteoartritis (OA) sendi lutut iaitu penyakit kerosakan dan kemerosotan tulang rawan (kartilaj) yang berlaku secara perlahan-lahan.

Terapi

Disebabkan penyakit itu, Amalina disarankan untuk tidak melakukan aktiviti yang memberi impak terlalu kuat pada kakinya seperti berlari atau memanjat bukit.

Turut bersetuju dengan perkara itu ialah seorang lagi peserta Ainun Mahani, 48.

Ainun berkata, menerusi senaman akua zumba, aktiviti itu bukan sahaja dapat mengurangkan rasa sakit pada lutut dan pinggangnya, malah memudahkannya bersolat.

“Kalau bersenam atas darat, kaki saya jadi sakit dan tidak selesa kerana kaki perlu dihentakkan di atas permukaan keras. Walaupun begitu, ia bukan halangan untuk saya terus bersenam.

“Pada Disember 2018, saya diperkenalkan dengan senaman akua zumba oleh rakan dan kini saya tidak mempunyai masalah untuk kekal cergas malah, solat pun lebih mudah,” ujarnya yang bekerja sebagai pegawai bank di Negeri Sembilan.

Zumba adalah program kecergasan senaman yang dicipta oleh penari dan koreografer dari Colombia, Alberto Beto Perez pada tahun 1990-an.

Zumba melibatkan pergerakan tarian seperti hip-hop, soca, samba, salsa, merengue dan aerobik yang dilakukan dengan iringan muzik bertenaga.

Tidak ketinggalan zumba turut melibatkan beberapa teknik senaman seperti squats (senaman seolah-olah mencangkung) dan lunges (menurunkan badan dengan ditampung sebelah kaki).

Sementara itu, senaman dalam air pula sudah lama diperkenalkan sejak berpuluh tahun lalu sebagai ritual agama atau terapi dalam perubatan.

Ia kemudian berubah dan diterima bukan sahaja untuk latihan terapeutik tetapi juga dalam senaman aerobik.

Akua zumba di Malaysia boleh dikatakan masih baharu dan tidak sepopular aktiviti kecergasan lain, namun ia wujud dan lazimnya dikendalikan syarikat kecergasan yang bertauliah.

Juruterapi senaman dan konsultan kecergasan serta kesihatan, Adasandha Anuar, 34, berkata, banyak manfaat yang boleh diperoleh dengan menyertai akua zumba terutamanya kepada mereka yang mengalami masalah berat badan atau obes.

Lazimnya, bagi peserta yang mempunyai masalah berat badan mereka akan berasa sakit pada kaki, pinggang atau belakang badan selepas melakukan senaman.

Lesen

“Namun, jika melakukan senaman ini, gaya gerakan di dalam air kolam yang lebih perlahan dan lembut menjadikan pergerakan itu tidak kelihatan kuat atau kasar.

“Daya apungan air pula mampu mengurangkan berat badan dan membolehkan tubuh seseorang terapung,” terangnya.

Tambah graduan Sarjana Muda Sains Sukan dan Rekreasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu, senaman akua zumba juga bukan sahaja sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah berat badan, malah ibu mengandung digalakkan menyertainya kerana setiap pergerakan dalam senaman akua zumba tidak berbahaya.

“Terkejut atau tidak apabila ada dalam kalangan peserta saya yang turun berat badan sebanyak 44 kilogram dengan hanya melakukan senaman akua zumba.

“Akua zumba mampu membakar kalori sehingga tiga kali ganda berbanding melakukan senaman di gimnasium namun, ia bergantung kepada metabolisme dan intensiti pergerakan badan masing-masing,” terangnya.

Jika senaman itu dilakukan dengan bersungguh-sungguh ia mampu membakar 600 hingga 900 kalori dalam satu-satu masa berbanding senaman biasa sekitar 300 kalori sahaja.

“Individu yang mempunyai berat badan berlebihan akan membakar lebih banyak kalori daripada mereka yang kurus tetapi jika yang kurus turut sama melakukan gerakan bersungguh-sungguh, dia juga mampu membakar kalori sama seperti orang berbadan lebih besar,” katanya yang mempunyai studio kecergasan di Seri Kembangan, Selangor.

Tambah Adasandha, ramai mengakui zumba di dalam air lebih berkesan berbanding di darat. Walaupun amat letih kerana perlu menggerakkan otot dengan lebih kuat untuk melawan tekanan air, namun ia berbaloi.

Sejak 2004 lagi, Adasandha sudah memulakan latihan mengajar akua zumba. Walaupun pada dahulunya, akua zumba tidak dikenali ramai namun kini ia semakin diminati.

Pada awalnya semasa membuat carian untuk mendapat lesen menjadi jurulatih akua zumba, kebanyakan pusat kecergasan popular tidak menyediakan kemudahan itu kerana dikatakan tiada keperluan dan permintaan.

“Jadi saya mencari lokasi yang lebih dekat iaitu sekitar Asia dan menjumpai satu lokasi di Singapura. Selain mengambil lesen sebagai jurulatih akua zumba, saya turut mengambil lesen akua zumba boost yang memberi penekanan pada aspek pergerakan.

“Dengan memiliki lesen tersebut, saya turut berkelayakan melatih atlet sukan,” katanya yang turut aktif menjadi jurulatih syarikat korporat.

Tidur lena

Lebih istimewa kelas akua zumba yang dikendalikan Adasandha tidak mengenakan harga yang mahal. Yuran dikenakan tidak tetap dan ia bergantung kepada kadar sewa kolam renang antara RM400 ke RM1,000 sejam. Kumpulan itu tidak bergantung kepada satu lokasi kolam sahaja untuk melakukan akua zumba sebaliknya berpindah ke beberapa kolam lain dari semasa ke semasa.

Kongsinya, apa yang menjadi kekangan adalah kesukaran untuk mendapatkan kolam renang yang sesuai dan adakalanya lokasi itu mengenakan yuran yang mahal untuk disewa.

Menyedari ramai dalam kalangan pesertanya berusia 40 tahun ke atas, wanita itu sentiasa komited untuk membantu mereka kekal sihat supaya dapat menguruskan rumah tangga dengan lebih baik dan kekal bertenaga menguruskan kehidupan.

Raja Zarina Raja Othman, 47, berkata, selepas mengikuti kelas senaman akua zumba yang dikendalikan Adasandha dia selalunya akan tidur lebih lena dan bangun lebih segar.

“Walaupun hanya melakukan senaman sekitar 45 minit tetapi terasa sungguh segar dan sihat.

“Hidup terasa lebih positif dengan menyertai akua zumba bersama rakan-rakan lain,” katanya yang turun berat badan daripada 68 kilogram kepada 56 kilogram.

Akua zumba mampu membakar kalori sehingga tiga kali ganda berbanding melakukan senaman di gimnasium, namun ia bergantung kepada metabolisme dan intensiti pergerakan badan masing-masing.