Para pesertanya yang semuda lapan tahun berdepan dengan halangan selama tiga hari yang menguji mereka dengan perkataan-perkataan bahasa Inggeris, campuran perkataan bahasa Jerman dan Perancis diikuti perkataan pinjaman daripada bahasa-bahasa seluruh dunia.

Diambil daripada seleksi 470,000 perkataan di kamus Merriam-Webster menjadikan ia satu permainan yang adil.

Cabaran mereka adalah untuk tidak disingkirkan daripada pertandingan dengan mengeja perkataan secara tepat. Perkataan-perkataan itu selalunya kabur dan melibatkan kombinasi huruf yang mempunyai bunyi hampir sama dalam bahasa Inggeris.

Bagi murid sekolah yang telah berlatih sepanjang tahun untuk acara itu, tekanannya begitu besar. Mereka bersaing untuk merebut hadiah utama AS$40,000 (RM159,000) di bawah cahaya terang saluran kabel, ESPN yang biasanya menyiarkan sukan tenis dan papan selaju.

“Ketika saya bersaing dulu, ia benar-benar seperti berada di dalam periuk tekanan, apatah lagi pada hari ini,” kata Nupur Lala, 33, yang menjadi bintang dokumentari Spellbound apabila dia berjaya mengeja logorrhea untuk memenangi pertandingan Bee 1999.

“Sekarang ia menjadi pertandingan menempah bahaya dengan perkara yang anda tidak lihat sebelum ini apabila seorang murid lapan tahun mengeja perkataan Jerman atau terlampau banyak suku kata yang saya sendiri pun tidak pernah dengar,” kata Lala.

Baru-baru ini, lebih daripada 500 peserta dari AS dan lapan negara asing menyertai Scripps National Spelling Bee ke-91 yang didakan di Oxon Hill, Maryland.

Membawa harapan jutaan orang di sekolah-sekolah, peserta-peserta yang berusia antara lapan hingga 15 tahun itu termasuklah dua pasangan kembar pertama Bee iaitu kembar lelaki dari Utah dan Mississippi.

 

Senaman intelektual

Seorang pakar linguistik daripada University of California Berkeley, Geoffrey Nunberg berkata, Bee lebih kepada senaman intelektual berbanding praktikal kemahiran berbahasa apabila hampir tidak ada orang pun gunakan perkataan peringkat akhir Bee seperti marocain, nunatak dan guetapens.

“Ia hampir sama seperti menggunakan basikal BMX untuk menunggang basikal di jalan,” kata Nunberg merujuk kepada satu lagi sukan lasak yang lazim diberikan liputan oleh ESPN.

Anamika Veeramani yang memenangi Bee 2010 dengan mengeja stromuhr menyifatkan pertandingan itu sebagai sejarah Amerika yang menajamkan bahasanya, walaupun hampir setiap perkataan yang dipelajarinya tidak pernah terpacul dalam kegunaan harian.

“Jika anda melakukan segalanya pun, saya tidak fikir yang kita sebagai manusia akan menggunakan separuh daripada perkataan itu,” kata Veeramani, seorang graduan Yale yang tidak lama lagi akan ke Sekolah Perubatan Harvard.

Sam Rega yang menerbitkan dan mengarahkan dokumentari Breaking the Bee tentang masyarakat India Amerika yang mendominasi Bee selama dua dekad berkata, para pesertanya seperti atlet berprestasi tinggi. Kini, apa yang mereka perlu lakukan selain daripada menguasai sistem ejaan bahasa Inggeris yang berserabut ialah mereka perlu mementingkan stamina dan ketajaman konsentrasi.

“Hanya anda di atas pentas dengan sebuah mikrofon bersama pengetahuan anda,” katanya.

Spelling Bee yang wujud sejak kurun ke-18 di benua Amerika, mempunyai populariti yang dianggap rakyatnya sebagai penunjuk aras kebolehan membaca selain sistem ganjaran berasaskan merit, kata Numberg.

Ia menjadi keraian kebanggaan dalam kalangan komuniti, sekolah selain lambang kerumitan bahasa Inggeris.

“Kita sangat bangga dengan sistem ejaan kita yang cerewet pada perincian kecil,” katanya sambil menggunakan perkataan persnickety (cerewet pada perincian kecil) yang mungkin mencabar kebanyakan rakyat Amerika untuk mengejanya secara tepat. – REUTERS