Mendokumentasikan secara visual lima penceritaan spesies haiwan terancam terdiri daripada harimau, singa, cimpanzi, penguin dan anjing liar Afrika, saluran televisyen BBC Earth menghabiskan masa lebih kurang empat tahun untuk menyiapkan sebuah dokumentari epik berjudul Dynasties.

Duduk semeja dengan penerbit eksekutif dokumentari berkenaan, Dr. Mike Gunton minggu lalu di TGV One Utama, Damansara, Selangor, beliau bercerita lebih lanjut tentang kepayahan, kemelut dan semestinya, kejayaan merealisasikan lima episod epik tersebut.

“Menjalani penggambaran dokumentari Dynasties adalah satu pengalaman yang amat mengujakan. Kami berjaya merakamkan kisah paling intim dan intensif spesies haiwan yang kian pupus.

“Dokumentari ini juga menonjolkan cabaran kepimpinan dan kesungguhan haiwan-haiwan yang terancam demi melindungi keluarga mereka. Justeru, saya amat teruja untuk berkongsi dokumentari epik ini dengan audiens di Malaysia,” ujar Gunton ramah membuka bicara.

Momen semula jadi

Dinaratifkan oleh David Attenborough, Dynasties memfokuskan perincian visual yang ‘tidak pernah dilihat’ membabitkan satu spesies setiap episod; penguin Emperor di kawasan salji Antartika, cimpanzi di Sahara, Senegal, singa di Kenya, anjing liar Afrika di kawasan sungai Zimbabwe dan sang harimau di Banghavgarh, India.

Melanjutkan wawancara, Gunton berkata, idea untuk penghasilan dokumentari Dynasties hadir lebih kurang lima tahun lalu. Pada waktu tersebut, beliau terlebih dulu mencipta fenomena tersendiri menerusi siri dokumentari seperti Planet Earth dan The Blue Planet.

“Waktu itu, saya merasakan sudah banyak yang dilakukan untuk dua projek tersebut dan ia sudah menjadi amat popular.

“Saya tertanya-tanya, kalau ada cara lain untuk menceritakan kisah tentang dunia semula jadi hidupan liar. Kita tidak pernah menghabiskan masa dengan haiwan atau benar-benar faham kedalaman cerita mereka.

“Pada pandangan saya, kalau projek ini menjadi, penonton akan berasa seperti sedang menyaksikan drama William Shakespeare versi haiwan. Ia akan menjadi amat luar biasa dan saya berbangga dengan dokumentari ini,” kongsi pemenang Primetime Emmy itu dalam kategori Dokumentari Terbaik menerusi Planet Earth II.

Ditanya tentang momen dalam Dynasties yang bakal memberikan impak besar terhadap penonton, Gunton memberitahu, terlalu banyak perkara indah yang dicetuskan secara semula jadi daripada lima spesies haiwan dalam dokumentari tersebut.

“Setiap dokumentari mempunyai momen indah tersendiri. Penonton akan dibekalkan dengan pergelutan bersifat ‘heroic’ (pemilihan siapa hero) antara haiwan. Ada juga momen luar biasa hubung kait antara penonton yang membawa sifat empati.

“Sebagai contoh, dalam episod cimpanzi, terdapat kisah luar biasa apabila ada golongan bawahan bersekutu sesama sendiri untuk menjatuhkan ketua mereka iaitu cimpanzi bernama David. Keesokan paginya, kru kami mendapati David sudah mati kerana diserang.

“Saya tidak boleh beritahu anda apa yang berlaku seterusnya, namun apa yang boleh saya dedahkan, itu adalah antara kisah paling luar biasa saya pernah tonton dalam dokumentari hidupan liar,” tutur Gunton lagi.

Cabaran

Sementara itu, pengarah dan penerbit episod cimpanzi, Rosie Thomas mendedahkan dalam satu kenyataan bahawa proses untuk menyiapkan dokumentari berkenaan merupakan antara kerja paling sukar.

“Sangat memenatkan! Kebanyakan masa kami berjalan kaki. Ketika berada di lokasi penggambaran, kami bangun seawal pukul 4 pagi dan kemudian menghabiskan masa bersama kawanan cimpanzi sebelum fajar.

“Kadang-kadang, kami berjalan sekurang-kurangnya lapan kilometer (km). Ada hari juga kami berjalan sejauh 24km. Kru yang terlibat pula membawa beban beg kira-kira 80 kilogram bawah suhu terik 40 darjah Celsius,” ujar Thomas.

Dedah Thomas lagi, salah satu cabaran terbesar adalah berdepan bahaya disengat lebah apabila berjalan di kawasan hutan Sahara.

“Lebah merupakan masalah terbesar. Mereka akan menghurung kepala kami dan cuba untuk masuk ke dalam mata dan telinga sepanjang hari. Sesetengah kawasan memang sangat teruk dan saya bersama kru hanya berharap cimpanzi tidak ‘lepak’ di kawasan yang banyak sarang lebah.

“Lebih memburukkan keadaan, cimpanzi suka makan lebah dan apabila itu berlaku ketika kami sedang merakamkan gelagat mereka, kami yang diserang lebah sehingga mata dan kepala kami bengkak. Namun itu semua satu pengalaman yang amat menarik!,” katanya.

Thomas turut berkongsi kisah haiwan lain yang perlu ‘dielakkan’ dengan langkah berjaga-jaga yang sewajarnya. Katanya: “Banyak ular besar apabila kami ingin terus mengikut kawanan cimpanzi terutama apabila berjalan pada waktu malam di mana memang kami tidak nampak apa-apa.

“Banyak juga haiwan lain yang berbisa seperti kala jengking. Ada satu ketika, jurukamera sedang duduk dan asyik merakamkan aksi cimpanzi dan secara tiba-tiba seekor kala jengking merayap di bahagian kakinya. Dia melompat ketakutan dan sejak itu, kami berhati-hati apabila duduk dan lebih selesa berdiri.”

Cerita Thomas lagi, wujud momen berbahaya terutama apabila cimpanzi bergaduh antara satu sama lain. Katanya, kekuatan spesies berkenaan adalah lebih besar daripada manusia biasa.

“Waktu yang paling bahaya adalah apabila mereka bergaduh. Mereka akan berkejaran dan mengangkat batu yang saya sendiri tidak mampu angkat. Cimpanzi amat kuat! Jauh lebih kuat daripada manusia.

“Kami agak ketakutan kerana tidak mahu cedera dibaling batu yang berat akibat pergaduhan mereka. Bagaimanapun, cimpanzi tidak pernah mengganggu kerja kami. Saya rasa mereka tahu diekori namun tidak melakukan kekacauan dan membiarkan kerja kami dilakukan dengan lancar,” kongsi Thomas.

Selain episod cimpanzi (The Ruler), terdapat empat episod epik lain iaitu penguin Emperor (The Survivor), singa (The Defender), anjir liar Afrika (The Rebel) dan harimau (The Protector) yang semestinya bakal mencetuskan fenomena terutama dalam kalangan penggemar dokumentari hidupan liar.

Dynasties akan mula ditayangkan secara eksklusif di Malaysia melalui saluran BBC Earth (unifi TV - saluran 501) pada Ahad ini, 11 November pukul 8.30 malam. Pelanggan Unifi TV juga boleh menonton siaran ulanganya pada Isnin, 12 November pukul 9.55 malam.