Ia diperoleh menerusi pelbagai platform media sosial terutamanya WhatsApp, Facebook, Instagram, YouTube, Twitter dan blog.

Bagaimanapun, terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan platform media sosial itu untuk menyebarkan pelbagai berita serta maklumat palsu.

Situasi itu seakan-akan menjadi barah dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan muda.

Ketua Program Psikologi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Rozmi Ismail berkata, penyebaran berita palsu mampu menggugat kestabilan negara.

Mudah percaya

Jelasnya, ini kerana kebanyakan pengguna media sosial di Malaysia mudah mempercayai sesuatu berita yang disebarkan tanpa menyelidik kebenarannya terlebih dahulu.

“Secara psikologinya, orang ramai mudah mempercayai berita atau maklumat yang diketengahkan dalam media sosial.

“Ia kemudiannya akan dikongsi bersama rakan-rakan lain sehingga menyebabkan berita palsu itu menjadi seperti sesuatu yang benar-benar berlaku,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Beberapa hari lalu, Persidangan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar (ATB) 2018 yang bertujuan untuk mengekang penyebaran berita palsu dan mewujudkan langkah-langkah pencegahan.

Akta itu mentafsirkan berita tidak benar sebagai sebarang berita, maklumat, data dan laporan yang sebahagian atau sepenuhnya palsu, sama ada disiarkan dalam bentuk rencana, visual, rakaman audio atau bentuk-bentuk lain.

Akta itu turut membabitkan sebarang berita tidak benar yang dikaitkan dengan Malaysia atau rakyat Malaysia.

Individu atau mana-mana pihak yang menyiarkan berita tidak benar, walaupun kesalahan itu dilakukan di luar negara dan bukannya dilakukan rakyat Malaysia, tindakan juga boleh diambil mengikut akta tersebut.

Pesalah di bawah akta itu boleh dikenakan hukuman penjara maksimum selama enam tahun dan denda maksimum sebanyak RM500,000.

Mengesan pesalah

Menurut Rozmi, pihak berkuasa perlu menggariskan secara jelas setiap berita yang bersifat palsu atau tidak.

Tambahnya, pihak berkuasa juga perlu sentiasa memantau setiap kandungan dalam media sosial bagi mengesan pesalah dan tidak hanya menunggu laporan.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara, Melaka, Shafezah Abdul Wahab berkata, RUU ATB 2018 dilaksanakan tepat pada masanya.

Katanya, akta itu mampu mendidik pengguna media sosial supaya lebih berhati-hati dalam menyebarkan sesuatu maklumat yang tidak sahih.

“Akta ini diperkenalkan tepat pada masanya terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 tidak lama lagi.

“Sepanjang tempoh pilihan raya ini, peranan media sosial sangat besar. Jadi, ia perlu dikawal dengan akta yang mampu menyaring berita atau maklumat palsu,” katanya.

Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang memperkenalkan undang-undang antiberita palsu kerana ia turut dilaksana oleh negara lain seperti Jerman dan Brunei.

Menurut Shafezah, dia yakin bahawa akta tersebut diwujudkan bukanlah untuk menghukum, sebaliknya mendidik masyarakat.

Dia menjelaskan, masyarakat perlu dididik supaya lebih peka terhadap sesuatu berita atau maklumat yang diperoleh sebelum menyebarkannya.

“Saya tidak rasa akta ini akan menyebabkan media sosial menjadi bosan atau kurang menarik disebabkan tiada lagi berita bersifat khabar angin.

“Sebaliknya, setiap fakta yang diketengahkan menjadi lebih realistik, sekali gus memberi manfaat kepada pengguna media sosial,” katanya.