Kini, anjing juga boleh menikmati layanan sama apabila sebuah hotel mewah di India dibuka khusus buat haiwan tersebut.

Hotel Critterati yang terletak di Gurugram di utara India itu menawarkan layanan mewah kepada anjing dengan bayaran AS$70 (RM285) bagi satu malam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hotel Critterati, Deepak Chawla, dia mewujudkan hotel tersebut kerana cukup sayangkan anjing dan berasa haiwan itu perlu menerima layanan mewah sama seperti manusia.

“Kata orang, anjing merupakan kawan baik manusia. Anjing juga merupakan seekor haiwan yang cukup setia. Oleh itu, apa salahnya jika mereka dimanjakan dengan layanan lima bintang,” katanya.

Mengulas lanjut, Chawla berkata, di India terdapat lebih 30 juta ekor haiwan terbiar dan kebanyakannya adalah anjing jenis St. Bernard, Labrador dan Lhasa Apso.

Dengan tertubuhnya Hotel Chitterati, haiwan-haiwan tersebut boleh menikmati layanan mewah yang mampu membuatkan mereka bertambah gembira dan ceria.

“Terdapat banyak pusat penja­gaan haiwan di sekitar India namun ada antaranya yang tidak menjaga atau memberikan la­yanan yang sebaiknya kepada haiwan-haiwan ini.

Layanan mewah

“Saya pasti, tiada sesiapa pun yang sanggup membiarkan anjing-anjing peliharaan mereka mahu pun anjing terbiar untuk tinggal di pusat-pusat penjagaan yang kurang memuaskan hati,” ujarnya memetik laporan Mail Online.

Hotel empat tingkat itu cukup elegan dan mewah, sesuai dengan status hotel lima bintangnya.

Suite-suite buat anjing dalam hotel tersebut dihias cantik dan ada antaranya memiliki balkoni sendiri dengan pemandangan memukau.

Anjing-anjing tinggal di situ juga boleh berenang di kolam renang peribadi yang disediakan dan diurut dengan urutan Ayurvedik selepas selesai berenang.

Bukan itu sahaja, Hotel Critterati juga menyediakan servis tata rias kepada anjing. Staf hotel akan membersihkan bulu anjing dengan bersih, selain mencukur bulu mereka sekiranya perlu.

Bukan itu sahaja, sebuah restoran lima bintang turut dise­diakan di aras bawah hotel tersebut. Ia menyajikan menu enak se­perti nasi bersama ayam panggang.

Selain itu, anjing-anjing yang tinggal di situ juga boleh menikmati pencuci mulut seperti kek cawan, penkek dan ais krim premium.

Berbelanja

Hotel Critterati juga menyediakan minuman bir tanpa alkohol yang diimport khas dari Belgium untuk dinikmati anjing-anjing di situ sambil bersantai.

Di hotel berkenaan, hari seekor anjing bermula seawal pukul 7 pagi. Mereka akan bangun dan diberikan sarapan pagi sebelum dibiarkan bermain.

Kemudian, mereka akan berenang, bermain semula dan menikmati makanan enak di restoran yang disediakan.

Chawla berkata, kebanyakan pengunjung tidak kisah berbelanja besar kerana ia ibarat berbelanja mewah untuk anak-anak mereka.

Menurut seorang pengunjung, Ashish Arora, dia tidak kisah untuk berbelanja besar kerana cukup sukakan layanan yang diberikan oleh Hotel Critterati.

“Saya memiliki seekor anjing jenis Labrador yang dipanggil Rubo. Ia cukup suka minum air kelapa dan makan ayam.

“Oleh itu, saya mahu Rubo me­rasai suasana mewah sama seperti manusia dan ia amat gembira,” ujarnya.

Hotel Critterati di India tawarkan servis lima bintang kepada anjing dengan bayaran AS$70 (RM285) satu malam.