Demokrasi berparlimen bermaksud rakyat melibatkan diri dalam sistem pemerintahan negara dan raja-raja Melayu menjadi lambang taat setia rakyat.

Sejak dahulu lagi, institusi diraja cukup dihormati dan dipandang tinggi oleh segenap lapisan masyarakat.

Namun begitu, keutuhan tersebut nampaknya sedikit tercabar dengan tindakan segelintir individu yang baru-baru ini mempertikai dan memulaukan majlis angkat sumpah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man.

Malah, tindakan menggesa Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail tidak mencampuri urusan pentadbiran negeri itu dilihat tidak menghormati kuasa yang diperuntukkan ke atas baginda.

Peruntukan

Dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmad Marthada Mohamed berkata, berdasarkan Perkara 39(4) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis menyatakan bahawa Raja Perlis berkuasa melantik Menteri Besar sama ada mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau sebaliknya.

“Kuasa dan hak baginda dalam pelantikan Menteri Besar jelas dan tidak boleh dipertikaikan mana-mana pihak termasuk ahli politik.

“Dalam hal ini, ia merupakan perkara asas kepada konsep raja berperlembagaan dan adalah sesuatu yang mendukacitakan sekiranya ada pihak yang cuba mempertikaikannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Sehubungan itu, Ahmad Marthada berkata, sebarang tentangan terhadap keputusan pelantikan Menteri Besar tidak seharusnya berlaku sekiranya semua pihak menghormati konsep raja berperlembagaan.

Ahmad Marthada berkata, peruntukan undang-undang itu juga menyebabkan Perlis unik berbanding negeri-negeri lain kerana merupakan satu-satunya negeri yang membolehkan seseorang Menteri Besar dilantik tanpa memerlukan sokongan majoriti wakil-wakil rakyat.

Oleh itu, Ahmad Marthada berkata, institusi beraja perlu dipertahankan dalam apa jua keadaan kerana ia menjadi lambang maruah dan bangsa Melayu serta agama Islam.

“Sama ada kita suka atau tidak, kemerdekaan yang dikecapi hari ini adalah atas usaha institusi raja-raja Melayu.

“Maka, seseorang pemimpin itu perlu lebih rasional serta tidak terikut-ikut dengan kehendak dan ideologi yang berbeza kerana boleh memberikan contoh yang kurang baik terutamanya kepada anak muda,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Marthada mencadangkan supaya sistem pendidikan terus diperkasakan dalam usaha menambah pengetahuan generasi muda terhadap institusi beraja di negara ini selain mempergiatkan kempen kesedaran.

“Anak muda perlu faham perlembagaan negara dan perkara-perkara yang tidak boleh disentuh di dalamnya kerana dikhuatiri akan mengakibatkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.

“Tanpa pengetahuan dan kesedaran, mereka akan bertindak melulu dan ia boleh mencetuskan masalah yang serius,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz berkata, undang-undang sedia ada sudah memadai untuk menjaga dan melindungi institusi beraja di negara ini.

Perundangan

“Kecenderungan menghasut, membenci, menghina atau membangkitkan perasaan tidak setia kepada raja atau kerajaan adalah di bawah Kanun Keseksaan pada asalnya namun telah dimasukkan ke dalam Akta Hasutan.

“Dalam kes penghinaan terhadap institusi raja oleh mana-mana individu atau kumpulan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Bagaimanapun, Shamrahayu berkata, dalam konteks kes pertikaian Menteri Besar Perlis masih belum dikategorikan sebagai menghasut.

“Ia sebenarnya adalah satu ekspresi emosi yang dizahirkan secara melulu dan belum sampai pada tahap hasutan,” katanya.

Bagi Shamrahayu, undang-undang sahaja tidak mampu menyelesaikan masalah sekiranya tiada kesedaran mendalam di dalam diri seseorang itu.

Justeru, Shamrahayu berkata, masyarakat khususnya pemimpin perlu mempunyai kesedaran dalaman yang tinggi dan berfikir secara rasional sebelum berkata-kata.

“Mungkin sudah tiba masanya perlu diwujudkan satu mekanisme yang baharu untuk menyedarkan masyarakat tetapi bukan melalui hukuman,” ujarnya.