“Saya benar-benar berharap kesemua mereka sihat dan boleh datang ke Rusia kerana ia akan menjadi satu momen penyatuan yang indah,” begitulah tulis Presiden FIFA, Gianni Infantino kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand pada 8 Julai lalu.

Pada 23 Jun lalu, seramai 12 orang remaja berusia antara 11 hingga 16 tahun bersama jurulatih mereka berusia 25 tahun berkunjung ke Gua Tham Luang yang terletak di Chiang Rai selepas selesai menjalani latihan bola sepak.

Begitu pun, hujan lebat dan banjir menyebabkan kesemua mereka terperangkap dan gagal keluar daripada gua tersebut.

Sebaik sahaja mendapat tahu kesemua mangsa telah terperangkap, usaha menyelamatkan kanak-kanak tersebut bersama jurulatih mereka dijalankan oleh sepasukan penyelam daripada tentera laut Thailand.

Pelbagai kesukaran terpaksa ditempuhi pasukan keselamatan dalam usaha mengeluarkan kesemua mangsa yang terperangkap selama 17 hari.

Lebih menyayat hati, seorang bekas penyelam tentera laut Thailand, Saman Kunan meninggal dunia ketika misi untuk menyelamatkan semua mangsa yang terperangkap pada 7 Julai lalu.

Kulat gua

Keadaan semakin suram dan janji Infantino dijadikan sebagai pendorong kepada kesemua mangsa agar terus bertahan dan yakin bahawa mereka akan berjaya dikeluarkan daripada Gua Tham Luang.

Akhirnya, pada 8 Julai lalu, empat daripada 12 orang kanak-kanak yang terperangkap berjaya dikeluarkan dan dikejarkan ke Hospital Chiang Rai Prachanukroh untuk mendapatkan rawatan.

Dua hari kemudian, kesemua mangsa termasuk jurulatih pasukan Wild Boars akhirnya berjaya diselamatkan, sekali gus melenyapkan kegusaran orang ramai tentang nasib mereka.

Begitu pun, wakil perubatan Cable News Network (CNN), Dr. Sanjay Gupta dalam satu kenyataan kemudiannya memberitahu bahawa kesemua mangsa yang terperangkap berkemungkinan mendapat penyakit histoplasmosis.

“Histoplasmosis merupakan satu penyakit yang lazimnya menyerang individu yang melawat gua.

“Kesemua mangsa berada di dalam gua dalam satu tempoh yang amat panjang iaitu melebihi dua minggu.

“Selain menghidap hipotermia, kesemua mangsa juga menghadapi kekurangan zat makanan yang sudah tentunya menjejaskan kesihatan mereka,” ujarnya seperti dipetik portal CNN.

Histoplasmosis atau nama lainnya reticuloendotheliosis juga dikenali sebagai penyakit gua disebarkan melalui spora fungus Histoplasma capsulatum yang terhasil daripada najis kelawar dan burung yang tinggal di dalam gua.

Tanah lembap

Histoplasma capsulatum boleh dijumpai di dalam tanah gua dan terhasil daripada tahi kelawar yang lama dan mula mereput.

Udara daripada Histoplasma capsulatum sekiranya dihidu boleh mendatangkan kesan buruk kepada paru-paru manusia. Sekiranya tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kematian.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), penyakit tersebut disebarkan oleh kulat yang amat kecil dan tidak boleh dikesan dengan mata manusia. Ia bagaimanapun tidak berjangkit.

Mereka yang mempunyai sistem pertahanan tubuh yang lemah berisiko tinggi untuk terkena serangan penyakit gua.

Antara simptom histoplasmosis ialah batuk-batuk, sakit kepala, sakit dada dan kepenatan.

Terdapat pelbagai jenis komplikasi kesihatan yang boleh menyerang seseorang sekiranya mereka berada terlalu lama di dalam gua.

Profesor Dee Carter yang merupakan seorang profesor Jabatan Kehidupan dan Sains Kesihatan Persekitaran University of Sydney, Australia memberitahu, penyakit gua mempunyai pelbagai peringkat.

Sekiranya kulat sudah merebak ke anggota badan yang lain, ia diklasifikasikan sebagai bahaya.

“Biasanya, simptom-simptom awal histoplasmosis ialah demam dan batuk-batuk. Bagaimanapun, simptom penyakit ini biasanya muncul agak lewat iaitu sekitar 12 hingga 14 hari selepas pesakit disahkan menghidap histoplasmosis.

“Biarpun tidak berjangkit, pesakit perlu dikuarantin kerana rambut dan pakaian mereka mungkin tercemar dengan kulat dan bakteria yang sememangnya terlalu banyak di dalam gua,” ujarnya.

Menurut Profesor Carter, histoplasmosis biasanya akan mula menyerang paru-paru sebelum merebak ke anggota badan yang lain.

Tidak berjangkit

“Dalam beberapa kes sebelum ini, sekiranya bakteria Histoplasma capsulatum sudah merebak ke anggota badan yang lain, pesakit akan menunjukkan tanda-tanda yang sama seperti pneumonia iaitu kesukaran untuk bernafas.

“Bentuk rawatan yang akan diberikan kepada pesakit yang menghidap histoplasmosis ialah ubat antikulat sama ada dalam bentuk pil atau cecair yang disuntik ke tubuh pesakit,” ujarnya.

Begitu pun, jika penghidapnya memiliki sistem imunisasi yang lemah, mereka perlu menjalani rawatan kemoterapi bagi membunuh kulat dan mengelak ia daripada merebak ke anggota lain.

Menurut Setiausaha Kementerian Kesihatan Thailand, Jedsada Chokedamrongsook, selepas diselamatkan, kesemua mangsa terpaksa diletakkan dalam bilik kuarantin.

“Semasa ditemui, kanak-kanak dalam kumpulan pertama yang diselamatkan berada dalam keadaan yang lemah dan suhu badan mereka juga amat rendah.

“Dua daripada kanak-kanak itu juga mungkin mengalami radang paru-paru,” ujar Chokedamrongsook sambil menambah ahli keluarga mangsa hanya dibenarkan untuk melihat mangsa daripada tingkap bilik.

Salah seorang daripada kanak-kanak dalam kumpulan kedua yang diselamatkan dalam kejadian itu pula mempunyai degupan jantung yang amat perlahan, namun tubuhnya bertindak balas dengan baik terhadap ubat antibiotik yang diberikan.

Semasa ditemui, kesemua mereka berada dalam keadaan baik dan mereka tidak demam biarpun terperangkap dalam gua untuk satu jangka masa yang lama. Mereka mempunyai semangat juang yang tinggi untuk terus hidup.

Rabu lalu, kesemua kanak-kanak tersebut termasuk jurulatih mereka tampil di khalayak ramai selepas dibenarkan keluar daripada hospital.

Mereka cukup gembira dan menyifatkan bahawa semua yang berlaku merupakan satu keajaiban.