Watak utama yang sinonim berbaju kemeja putih, berseluar coklat dan bertali leher merah itu mengisahkan kehidupan satu karakter bernama SpongeBob iaitu sejenis spesies span laut dan tinggal di dalam sebuah rumah berbentuk nanas di dasar laut bersama seekor haiwan peliharaannya berupa siput bernama Gary.

Mengambil judul yang sama de­ngan nama watak utama iaitu SpongeBob SquarePants, siri animasi tersebut diserikan lagi dengan kehadiran beberapa watak lain seperti Patrick Star yang merupakan karakter tapak sulaiman, Squidward Tentacles (sotong kurita), Eugene H. Krabs (udang kara) dan Sandy, seekor tupai betina berpakaian angkasawan.

Gambaran yang diketengahkan melalui siri animasi SpongeBob SquarePants itu sendiri cukup menarik apabila ia menceritakan tentang kehidupan penduduk hidupan laut di sebuah bandar dipanggil Bikini Bottom di Lautan Pasifik.

Walaupun watak SpongeBob diadaptasi daripada sejenis spesies hidupan laut iaitu span laut yang sepatutnya berbentuk bulat, karakter yang ditonjolkan dalam siri animasi itu lebih kelihatan seperti span pencuci pinggan berbentuk segi empat.

Bagaimanapun, para peminat siri animasi SpongeBob SquarePants baru-baru ini telah dikejutkan dengan kematian pencipta dan pengarah siri kartun tersebut, Stephen Hillenburg, 57, yang meninggal dunia pada 27 November lalu akibat penyakit neurone motor yang menjejaskan otak dan sarafnya.

Berita tentang kematian Hillenburg itu sememangnya sangat mengejutkan dan dirasai oleh peminat siri berkenaan terutamanya dalam kalangan kru produksi Nickelodeon yang menjadi penyiar rasmi siri kartun tersebut di televisyen.

“Kami sangat sedih atas kehilangan Hillenburg dan pasti akan dirindui,” ujar pihak Nickelodeon yang menyifatkan karya SpongeBob SquarePants adalah suatu animasi hebat dan bernilai.

Guru sains

Rata-rata rakan sekerja dalam kalangan pihak produksi menyifatkan Hillenburg sebagai seorang pengkarya animasi genius dan mempunyai imaginasi yang tinggi bagi memba­yangkan keadaan dan suasana hidupan dasar laut dalam bentuk realiti.

Bagi pemilik suara yang memegang watak utama sebagai SpongeBob, Tom Kenny berkata, Hillenburg merupakan seorang pengarah yang sering berfikir di luar kotak fikiran.

Bahkan, walaupun karakter yang ditonjolkan menerusi watak SpongeBob kadangkala menjengkelkan dan menyakitkan hati, namun Hillenburg cuba menyampaikan mesej-mesej positif seperti semangat setia kawan dan tanggungjawab terhadap karakter tersebut.

“Peminat siri SpongeBob SquarePants pasti tahu bahawa Squidward yang merupakan jiran dan rakan se­kerja kepada SpongeBob sangat benci dan tidak sukakan span kuning itu.

“Walaupun begitu, SpongeBob masih lagi bersifat positif dan tidak pernah melakukan kejahatan terhadap watak sotong kurita tersebut,” ujar Kenny.

Dilahirkan pada 21 Ogos 1961 di Fort Sill, Lawton di Oklahoma, Amerika Syarikat, Hillenburg sememangnya seorang pencinta khazanah laut dan amat mengagumi suasana yang ada di dasar laut.

Kerana rasa cinta pada hidupan laut, Hillenburg telah melanjutkan pengajiannya di Humboldt State University di Arcata, California dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan dan Interpretasi Sumber Asli pengkhususan kepada sumber-sumber laut pada tahun 1984.

Selepas menamatkan pengajian, Hillenburg telah berkhidmat sebagai guru mata pelajaran sains dan biologi marin di Institut Marin Orange atau kini dikenali sebagai Institut Lautan di Dana Point, California.

Bikini Atoll

Ketika mengajar, Hillenburg sering menggunakan kaedah imaginasi dan gambaran cerita kehidupan di dasar laut sebagai alat pengajaran kepada pelajar-pelajarnya.

Gambaran yang dia gunakan itulah telah menjadi watak-watak yang diwujudkan sebagai sebahagian daripada penghuni di Bikini Bottom.

Kreativiti dan bakat seninya dikembangkan apabila pengarah itu menyambung pengajiannya dalam jurusan Animasi Eksperimen dan Seni Halus di Institut Seni California di Valencia, California selepas mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai guru pada tahun 1992.

Sekitar tahun 1993, Hillenburg mula terlibat dalam dunia produksi selepas menyertai Nickelodeon sebagai kru di belakang tabir sebelum diberi kepercayaan sebagai penulis dan pengarah sehinggalah karya sulungnya iaitu SpongeBob SquarePants dikeluarkan pada 1 Mei 1999.

Ironinya, SpongeBob Square­Pants bukanlah sekadar siri animasi khayalan semata-mata.

Bandar kecil yang menjadi tempat tinggal penghuni dasar laut di dalam SpongeBob SquarePants iaitu Bikini Bottom misalnya memang wujud di dunia sebenar.

Menurut Hillenburg da­lam satu wawancara bersama Nickelodeon memberitahu, di dunia sebenar, bandar Bikini Bottom di­sebut sebagai Bikini A­toll (se­butan Pikinni Atoll) yang merupakan sebuah kawasan yang mempunyai beberapa buah pulau yang terletak berhampiran Kepulauan Marshall di Lautan Pasifik.

Kepulauan Marshall merupakan bekas tanah jajahan AS dan mempunyai beberapa buah pulau lain yang tersebar di kawasan seluas satu juta kilometer persegi di Lautan Pasifik.

Bikini Atoll merupakan lokasi yang digunakan oleh pihak berkuasa AS untuk menjalankan ujian senjata nuklear yang mana lebih daripada 67 bom atom diuji sekitar tahun 1946 dan 1958.

Populariti yang dikecapi siri kartun tersebut terus mencetuskan fenomena di seluruh dunia apabila ia telah dialih bahasa sehingga 60 bahasa termasuk Urdu, bahasa Malaysia, Maori dan Tagalog.

Kulat baharu

Bahkan pada tahun 2011, sekumpulan penyelidik daripada San Francisco State University (SFSU), California, menemui sejenis spesies kulat baharu dan telah menamakan kulat tersebut sebagai Spongiforma squarepantsii bersempena nama siri kartun SpongeBob SquarePants.

Kulat tersebut yang kelihatan mirip seperti span laut dan berwarna oren cerah telah ditemui penyelidik dari SFSU sewaktu mereka menjalankan aktiviti meredah hutan di Taman Negara Bukit Lambir, Miri, Sarawak.

Menurut salah seorang penyelidik yang terlibat, Dr. Dennis Desjardin, memberitahu, kulat tersebut diberi nama sama se­perti karakter SpongeBob kerana sifatnya seakan-akan mirip seperti watak kartun tersebut walaupun ia berwarna oren dan bukannya kuning.

“Permukaan kulat ini berlubang-lubang dan ia kelihatan seperti span laut seperti SpongeBob,” ujar Desjardin yang turut memberitahu bahawa kulat yang ditemui itu juga mengeluarkan bau hapak.

Dakwa Desjardin, dia bersama pasukannya telah mengembara ke dalam hutan seluruh dunia selama berbulan-bulan untuk mencari spe­sies baharu kulat dan telah menemui 20 hingga 30 peratus spesies kulat baharu.

Penemuan kulat Spongiforma squarepantsii yang telah diterbitkan di dalam jurnal saintifik, Mycologia itu telah menunjukkan bahawa siri kartun SpongeBob SquarePants sebenarnya mempunyai pengaruh yang besar bukan sahaja dalam kalangan penonton kanak-kanak, bahkan oleh ahli akademik.

Selepas hampir dua dekad, siri ini telah menjadi antara siri kartun paling popular keluaran Nickelodeon dengan sejumlah 334 episod telah ditayangkan menerusi sembilan musim.

Selain itu, siri animasi kartun tersebut juga telah dihasilkan untuk tayangan di pawagam iaitu The SpongeBob SquarePants Movie pada tahun 2004 dan The SpongeBob Movie: Sponge Out of Water (2015) dengan jumlah kutipan masing-masing sebanyak AS$140 juta (RM583.2 juta) dan AS$325.2 juta (RM1.3 bilion).

Sejak tahun 2000, SpongeBob SquarePants telah tercalon sebagai siri kartun paling popular sepanjang tahun menerusi anugerah Emmies dan telah memenangi pelbagai pengiktirafan seperti di Anugerah Emmy, Anugerah Annie dan Anugerah ASACP sebagai animasi terbaik dan Anugerah Pilihan Kanak-Kanak Nickelodeon sebanyak lima kali berturut-turut sejak 2014.