Brossard menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 26 Jun lalu pada umur 79 tahun di Quebec, Kanada. Menurut Montreal Gazette, Brossard meninggal dunia kerana kanser paru-paru dan telah dimasukkan ke hospital sejak pertengahan Jun lalu.

Agensi berita Britain, BBC  menyifatkan dirinya sebagai manusia yang tidak dapat dipisahkan daripada serangga.

Brossard telah meninggalkan kerjayanya dalam bidang undang-undang ketika berusia 38 tahun untuk mengembara ke seluruh dunia bagi mengumpul lebih daripada 250,000 spesimen serangga.

Dia juga mengasaskan sebuah muzium serangga, Insectarium de Montreal yang menjadi salah satu daripada lokasi paling banyak dikunjungi di Montreal.

Bukan sahaja menabur jasa di Kanada, lelaki ini juga telah mewujudkan muzium serangga di negara-negara lain seperti China dan Afrika Selatan.

Memberikan inpirasi kepada jutaan penonton melalui penampilan-penampilannya dalam rancangan televisyen, dia telah mengubah tanggapan serta salah faham masyarakat dunia terhadap makhluk-makhluk kecil iaitu serangga.

Mendiang dilahirkan pada tahun 1940 di sebuah kawasan ladang di La Prairie, Quebec, Kanada. 
Dia merupakan anak kepada Georges-Henri iaitu pengasas bandar Brossard, sebuah bandar kecil di Quebec yang diambil namanya bersempena nama Bossard. 

Mengambil ilham daripada kelas mata pelajaran Sains, sejak di bangku sekolah rendah lagi dia telah membuat koleksi serangga pertamanya.

Koleksi pertama
Jelasnya, di dalam almari di sekolahnya, terdapat spesimen-spesimen serangga yang dikumpulnya antaranya rama-rama.

“Saya sanggup melihat serangga-serangga itu selama berjam-jam. Pada ketika itulah saya mula sedar yang saya begitu tertarik dengan serangga,” ujarnya dalam satu wawancara televisyen pada tahun 1989. 

Meskipun koleksi awalnya dimusnahkan oleh semut dan labah-labah, ia tidak menghalangnya untuk bercita-cita menghasilkan koleksi yang lebih besar.

“Apabila melihat koleksi yang musnah, saya seolah-olah disambar petir, namun ia mencetuskan keyakinan bahawa suatu hari nanti saya akan menjadi seorang pengumpul serangga antarabangsa yang hebat. Saya membayangkan diri saya menerangkan mengenai serangga di depan masyarakat dunia,” katanya.

Namun, cita-citanya itu tertangguh untuk direalisasikan apabila Brossard melanjutkan pengajian undang-undang di Universiti Ottawa, Amerika Syarikat sebelum bekerja sebagai notaris iaitu orang yang diberi kuasa oleh Kementerian Kehakiman untuk mengesahkan atau menyaksikan sesuatu perjanjian.

Tetapi pada lewat 30-an, dia telah memutuskan untuk kembali menumpukan kepada bidang yang dicintainya iaitu mengkaji mengenai serangga atau entomologi dan alam sekitar.

Brossard bersama isterinya Suzanne yang dikurniakan tiga cahaya mata kemudian mengambil keputusan untuk mengembara ke seluruh dunia. 

Menjelang tahun 1985, Brossard telah berjaya mengumpulkan 250,000 spesies serangga dari lebih 100 buah negara.

“Saya memberitahu diri sendiri bahawa semua haiwan di bumi terutamanya serangga memberikan banyak manfaat kepada manusia kerana serangga dapat menghasilkan madu, sutera, lilin, kulit dan pewarna,” tegasnya.

Bagaimanapun, katanya, serangga sering menjadi sasaran manusia sebagai makhluk paling dibenci dan sukar untuk difahami sehingga terciptanya racun serangga dan kulat. 

“Itulah antara punca mengapa saya memutuskan untuk mendalami bidang ini,” katanya.

Filem

Sejurus itu, pada tahun sama, dia bertemu dengan Datuk Bandar Montreal, Jean Drapeau, dan memberitahu bahawa dia ingin mencipta sebuah muzium serangga di bandar.

Niat murninya itu telah berjaya menemukannya bersama Pengarah Montreal Botanical Garden, Pierre Bourque bagi memulakan usaha mengumpul dana untuk projek itu. 

Pada tahun 1987, Brossard telah mendermakan ratusan ribu koleksinya kepada bandar itu sehinggalah terbinanya Insectarium de Montreal. Ia mula dibuka pada Februari 1990.

Muzium serangga itu yang dilengkapi bahagian insektarium, biodome, planetarium dan taman botani telah merekodkan sebanyak 2.2 juta pelawat sehingga 2017.

Brossard juga berjaya memikat hati ramai penonton sebagai pengacara program-program alam semula jadi, termasuk Discovery Channel’s Insectia yang ditonton lebih 150 buah negara.

Kisah hidupnya juga pernah diadaptasikan dalam sebuah filem The Blue Butterfly pada tahun 2004. Ia mengisahkan mengenai kejadian pada tahun 1987 apabila Brossard dihubungi sebuah yayasan kebajikan kanak-kanak untuk merealisasikan impian seorang budak, David Marenger yang menghidap kanser otak dan mahu mencari dan menangkap rama-rama berwarna biru.

Demi memenuhi impian budak itu, Brossard bersama budak lelaki tersebut kemudiannya telah memasuki hutan di Mexico untuk mencari rama-rama Blue Morpho sehingga mereka berdepan dengan pelbagai cabaran yang nyaris meragut nyawa. Blue Morpho ialah salah satu rama-rama terbesar di dunia yang mempunyai sayap sepanjang 20 sentimeter (sm).

Keadaan kanak-kanak yang berusia enam tahun itu sangat lemah dan Brossard harus memikulnya meredah hutan sehingga mereka menemui rama-rama berkenaan.

Setelah pulang daripada pengembaraan itu, suatu yang menakjubkan terjadi apabila ujian-ujian perubatan menunjukkan kanser kanak-kanak itu semakin beransur baik.

David kemudian menulis sebuah buku mengenai pengalamannya itu yang diberi judul On The Wings of the Blue Butterfly.

Kesedaran

Brossard pernah memberitahu bahawa daripada semua haiwan yang hidup di bumi ini rama-rama adalah suatu yang mengagumkan kepada manusia terutama kanak-kanak.

“Serangga tersebut sangat cantik dan anggun tetapi malangnya rapuh. Oleh sebab itu, kanak-kanak ingin mengetahui tentangnya lebih mendalam kerana bagi mereka, rama-rama seperti sebuah cerita dongeng yang membawa impian mereka,” katanya.

Hasil kerja dan sifat dermawan Brossard telah melayakkannya menerima anugerah Order of Canada pada tahun 1999.

Seorang pejuang serangga dari Kanada, Anne Charpentier memberitahu BBC bahawa mendiang telah membuat berjuta-juta orang mempunyai kesedaran yang lebih baik mengenai alam sekitar dan dunia serangga yang menarik.

“Warisannya sangat besar dan memori bersamanya akan tetap dikenang,” katanya.
Tambahnya, Brossard sentiasa berpesan bahawa manusia dapat mempelajari banyak perkara daripada serangga yang sangat disayanginya.